Saturday, January 1, 2011

TITIPAN KEINSAFAN

Firdaus memandang jauh. Pandangan itu seakan menembusi dinding yang terbina di hadapannya. Semakin jauh dan semakin jauh. Wajah layunya saat ini, mata kuyunya kala ini mampu meretakkan dinding simen itu. kepalanya ligat memutarkan kembali memori tentang satu realiti yang hukumannya menyeksakan. Dada yang bidang itu mengundang sebak. Membekam kuat di pangkal hatinya yang bersalut dengan kesakitan. Kesakitan dalaman dan luaran. Mata kuyu itu pula mula bertukar warna. Dari cahaya yang putih bersih menjadi merah. Menjemput mesra titisan air mata menuruni lekuk pipi yang kini dinodai oleh kepalsuan duniawi. Pandangannya kabur dek air jernih yang semakin menyesakkan nafasnya. Disatukan kedua-dua kelopak mata. Menggamit air jernih itu semakin laju menyembah bumi. Kegelapan pandangannya kini menampakkan satu persatu apa salah yang telah diperbuat. Kenangan terimbau lagi. Seperti hari kelmarin yang sentiasa menjengah dirinya. Setelah puas kesakitan itu berlabuh, panahan realiti itu akan pergi meninggalkannya dengan senyuman. Seakan gembira dengan apa yang dilalui oleh anak muda itu. Perginya hanya sementara kerana hari-hari kelmarin, kesakitan itu sentiasa menemani. Tidak terlepas juga untuk hari esok. Akalnya pasti.

Suasana yang sesak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menampakkan susuk tubuh Firdaus yang berusaha melepaskan diri dari kesesakan itu. bagasinya ditarik menuju pintu keluar. 15 minit yang lalu pesawat dari Mesir yang membawa dirinya selamat mendarat. Pandangannya dilontarkan ke kiri dan kanan. Mencari keluarganya. Tepukan lembut di bahunya dari bahagian belakang mengundang  anak muda itu untuk memalingkan wajah. Wajah itu terus tersenyum apabila wajah usang kedua-dua orang tuanya memandangnya mesra. Senyumannya semakin marak apabila terpandang kawan-kawan dan bakal isterinya turut sama berada di situ. Entah bagaimana dia terlepas pandang tadi. Pelukan dihadiahkan untuk orang tua dan kawan-kawannya yang muhrim.
“ Tahniah ustaz. Lepas ni tanggungjawab kau untuk pastikan anak bangsa kita takkan terbabas dari landasan ilahi. Itu perjuangan kau. Jangan sia-siakan apa yang kau dapat selama ini. Bantu anak bangsa kita untuk sentiasa membawa bekalan ke akhirat kelak.” Karim menoktahkan kata-kata itu dengan mengeratkan pelukannya sekali lagi di badan Firdaus.
“ Kau ni ada-ada je la. Kita semua sama jer. Tak de beza pun. Apa yang aku dapat sekarang ni rezeki daripada Allah.” Firdaus memperdengarkan ayat untuk indah di pendengaran semua.
“ Mak harap kau akan sentiasa ingat anugerah Allah ini. Mak hantar kau belajar di Mesir supaya kau takkan terpesong. Semoga lepas ni kau akan bantu semua insan yang lalai. Mak doakan kau.” Firdaus sekali lagi memeluk mesra ibunya. Dulu perginya ke Mesir dengan iringan doa yang tidak pernah pudar dari bibir kedua-dua orang tuanya. Untuk sentiasa memberinya kesedaran agar sentiasa berjalan lurus menuju pintu ilahi. Kini pulangnya seakan selangkah ke depan apabila dia pulang dengan gelaran baru di pangkal namanya. Ustaz.

“ Woi! Orang macam kau ni tak layak untuk bagi ceramah depan semua orang. Kau patut ceramah diri kau sendiri. Belajar je tinggi-tinggi tapi…..”
“ Encik jangan nak buat kecoh kat sini. Ini tempat untuk penyebaran ilmu akhirat.” Kata-kata lelaki yang tidak dikenali itu dipotong. Pegawai keselamatan yang bertindak pantas itu terus menyeret lelaki yang tidak dikenali itu keluar dewan.
“ Ustaz kenal ke dengan lelaki tu? Apa yang dia cakap tadi? Ada masalah ker?”
“ Saya tak kenal lelaki tu. Entah apa yang dia cakap pun saya tak tahu. Itu baru saya nampak muka dia. Selama ini rasanya tak pernah jumpa lagi. Tak apalah ustaz. Mungkin salah orang tu.” Firdaus menepuk bahu kawan yang turut sama dijemput oleh ahli jawatankuasa dewan bagi menyampaikan ceramah pada petang itu.
Setelah menghabiskan sesi ceramahnya pada petang itu, Firdaus melangkah gagah ke arah kereta yang diparkir elok di kawasan yang disediakan. Namun dia mengeluh saat kakinya menyentuh simen yang setapak menghampiri tayar keretanya. Keluhannya sedikit kasar. Tayar keretanya pancit. Entah bagaimana tayar itu pancit dia sendiri tidak mahu memikirkannya. Alasannya mudah. Mungkin kerana terkena paku atau sesuatu yang tajam sehingga mampu mencacatkan tiub keretanya. Namun dahinya berkerut apabila terpandang sekeping kertas yang diselitkan di celahan bahagian depan keretanya. Diambil kertas itu dan dibuka perlahan-lahan. Dibaca satu persatu apa yang tertera.
“ Ini amaran untuk kau kali yang pertama. Kau dah sesatkan aku. Aku takkan lepaskan kau. Kau akan dapat balasan yang setimpal dengan apa yang kau lakukan. Aku takkan pernah maafkan kau untuk seumur hidup ni. Mungkin sekarang kau masih boleh bersenang lenang. Tapi aku akan pastikan langkahan kaki kau akan menuju ke tempat yang selayaknya untuk kau selepas ini. Kau jadikan aku mangsa. Dan aku juga akan lakukan perkara yang sama pada kau. Jangan sekali-kali fikir yang kau akan terlepas. Untuk hukuman dunia dan juga akhirat.”
Firdaus melipat kembali kertas yang tertera nota daripada insan yang tidak meninggalkan nama itu. Otaknya ligat berpusing. Memikirkan apa salah yang telah diperbuat kepada lelaki itu. Namun tidak lama. Hanya sesaat cuma. Mungkin hanya sekadar ugutan yang tidak akan memberikan kesan yang berpanjangan. Fikirnya lagi. Terus dibuka kot yang tersarung kemas di badannya. Diletakkan di dalam kereta. Selepas itu langkahnya menuju ke bonet kereta untuk mencari tayar ganti yang tersedia. Dia perlu melakukan kerja itu seorang diri. Hatinya berbelah bagi. Melemparkan rungutan seketika. Kemudian tidak melayani perasaan itu. malas untuk bersangka buruk bahawa tayar keretanya pancit kerana dikhianati walaupun sudah jelas dengan apa yang dibaca di dalam kertas yang ditinggalkan untuknya.

Setelah memperdengarkan ceramah yang dirasakan hebat di pendengaran semua yang hadir, Firdaus melemparkan senyuman untuk tepukan gemuruh yang diterimanya. salam tangan yang dihulurkan disambut mesra apabila pandangannya terpaut pada rakan ulama di sebelahnya. Mengucapkan tahniah. Ceramah yang disampaikan dengan penuh kepandaian dan diisi dengan keilmuan yang memberikan kekaguman. Tiada apa yang kurang dan sumbang dirasakannya. Melihat kepuasan di wajah hadirin yang hadir seakan memberikan kemenangan di hatinya. Dirinya diangkat sebagai ustaz muda yang dikagumi kerana mampu memberikan kesan terhadap setiap ceramah yang diperdengarkannya. Kadangkala memberikan keinsafan terhadap insan yang terbabas dan diselaputi dengan kepalsuan duniawi. Ramai yang mengangkatnya untuk dijadikan sebagai satu ikon yang mampu untuk memperjuangkan anak bangsa dalam memartabatkan jalan keduniaan yang setepatnya.

Ketukan yang bertalu-talu di pintu hadapan rumah menghilangkan kesabaran Firdaus. Dipandang wajah Kamarul di hadapannya. Seorang anak murid yang kini dalam kesusahan. Firdaus memandang wajah itu yang ketakutan. Diunjukkan telunjuknya sebagai amaran untuk lelaki itu mengetahui batasnya. Firdaus bangun apabila lelaki itu memberikan persetujuan. Setelah mempersiapkan diri, langkah kaki menuju ke pintu utama dilakukan. Saat matanya tepat memandang wajah mereka yang berdiri di luar rumahnya, wajah Firdaus bertukar warna. Debaran mula menghuni hatinya. Namun dia berusaha untuk tenang dan cuba mewaraskan kembali situasi yang berada di hadapannya sekarang.
“ Ustaz Firdaus. Kami daripada Jais. Kami mendapat maklumat bahawa di rumah ini ada berlaku perbuatan maksiat. Boleh kami masuk?” Firdaus menelan liurnya berkali-kali. Manik-manik peluh mula menghiasi dahinya. Sedaya-upaya dia cuba bertenang. Diperhatikan setiap mata tetamu yang tak diundang. Kesemuanya memandang dirinya dari atas ke bawah. Memandang yang dirinya tidak lengkap berpakaian. Hanya dibaluti dengan sehelai tuala.
“ Mungkin kamu semua sudah salah faham. Takkanlah orang seperti saya akan lakukan apa yang kamu fikir. Saya orang yang dihormati. Untuk itu, saya harapkan kerjasama dari pihak encik untuk turut melakukan perkara yang sama. Saya orang yang dikenali. Bukan sahaja pada pendidikan saya. Tetapi juga dengan kerja saya sebagai seorang penceramah agama.”
“ Kami hanya menjalankan tugas kami. Ustaz juga takkan terlepas dari hukum seandainya maklumat yang kami terima tidak salah. Tolong berikan kerjasama. Dan jika sebaliknya yang kami dapat, kami terpaksa melakukan kekasaran. Bukan untuk kurang ajar dan bersikap tidak menghormati. Tetapi untuk membetulkan apa yang salah seandainya benar ada yang perlu diperbetulkan.”
“ Kamu tak boleh buat saya macam ni.”
“ Kalau Ustaz betul. Apa yang Ustaz khuatirkan?”
“ Kamu bukan tetamu saya dan saya tak mahu berlaku apa-apa yang tidak menyenangkan berlaku di sini.”
“ Buktikan kami kalau kami salah.” Setelah diungkap kata-kata itu, badan Firdaus yang menghalangi pintu dirempuh sedikit kasar. Tanpa sebarang amaran, Firdaus hanya mampu kaku saat rumahnya diceroboh.
“ Memang kamu semua tak salah.” Semua mata yang ada memandang ke arah lontaran suara itu. Kamarul perlahan-lahan melabuhkan duduknya di atas sofa di ruang tamu. Dirinya dibaluti selimut.
“ Saya telah dikejami dengan cara yang tidak sepatutnya ada pada diri seorang Ustaz. Saya telah dikhianati hanya kerana keikhlasan saya untuk mendapatkan ilmu. Saya telah diugut untuk bersubahat dengan lelaki jijik yang selama ini menjadi kemuliaan di sisi semua orang. Lelaki itu tidak layak mendapat apa yang dirinya ada sekarang. Dia tidak layak untuk mendapat tempat di sisi masyarakat. Walaupun hanya sebagai seorang yang hina. Kerana dirinya lebih jijik daripada itu.” Ada titisan air mata yang menuruni pipi lelaki yang bernama Kamarul.
“ Boleh terangkan dengan lebih jelas tentang apa sebenarnya yang berlaku?” Salah seorang lelaki yang berkopiah putih itu mengutarakan soalan untuk sebuah jawapan.
“ Saya telah diliwat. Dan pelakunya adalah lelaki yang kononnya dihormati oleh semua orang itu.” Jari telunjuk diangkat dan dituding tepat ke arah Ustaz Firdaus yang selama ini dikagumi. Firdaus memejamkan matanya. Dia terperangkap kini. Gelap pandangannya yang terpejam itu seakan gelap yang akan menyinari harinya pada hari esok. Debaran hatinya terundang lagi. Kali ini lama untuk surut. Kakinya seakan tidak mempunyai kekuatan untuk menampung badannya. Segalanya lembik. Terduduk dalam keresahan dan ketakutan yang kian menghuni jiwanya.

Firdaus memicit kepalanya yang dirasakan pening. Pening dengan apa yang sedang melanda hidupnya. Dirasakan nafasnya sesak. Ketukan di pintu yang kedengaran sedikit mambuatnya tersentak apabila mata yang layu itu mahu sahaja terlelap. Digagahkan kakinya untuk menuju destinasi.
Pintu dibuka dan pandangannya kian kabur apabila dilihat dua orang tetamu yang berpakaian seragam. Bersama seorang lelaki yang seakan pernah dilihatnya sebelum ini. Ya! Lelaki itu yang pernah membuat kecoh semasa penyampaian ceramahnya satu masa dulu. Apa lagi musibah yang bakal berlaku padanya kali ini?
“ Kenapa Encik?”
“ Kami mempunyai waran tangkap terhadap Ustaz.”
“ Waran tangkap?”
“ Ya! Untuk semua jenayah yang telah Ustaz lakukan. Kami mempunyai laporan daripada mangsa yang telah dikhianati oleh Ustaz. Banyak laporan yang kononnya menjadi mangsa liwat Ustaz.”
“ Mungkin kau dah lupakan aku. Tetapi aku takkan pernah lupakan kau. Perbuatan kau untuk membawa aku ke jalan yang terpesong dengan menjebakkan diri aku ke dalam kancah hubungan sonsang takkan pernah aku lupakan.” Lelaki yang tidak dikenali itu memperdengarkan apa yang terbuku di hatinya selama ini.  Untuk kali ini, tanpa sebarang amaran, lelaki yang dikenali sebagai Ustaz itu tersungkur ke lantai. Rebah menyembah bumi. Pandangannya gelap.

“Firdaus kamu ada pelawat.” Suara kasar pegawai penjara yang menegurnya itu membawa kembali lelaki itu ke alam realiti. Juraian air mata yang menghiasi wajahnya disapu dengan belakang tangan. Ruangan keinsafan yang mengisi lubuk hatinya kini membawa dirinya kembali ke pangkal jalan ilahi. Sudah enam bulan dirinya berada di dalam ruang yang bertiraikan besi itu. Buat pertama kalinya dirinya mmempunyai pelawat.
“ Siapa?” pertanyaan itu hanya dibiarkan sepi. Langkahan kakinya dibawa menuju tempat pelawat.

“ Mak” deraian air mata yang laju membawa dirinya untuk memeluk tubuh yang selama ini tidak pernah curang dengan kasihnya. Dilihat di sisi wanita tua itu berdiri seorang wanita yang dulu dikenali sebagai bakal isterinya.
“ Maafkan saya mak. Saya terpesong dan kalah dengan percaturan ilahi. Saya sedar sekarang mak. Selama ini saya gunakan agama untuk mendapat kemewahan. Saya minta duit dengan orang ramai. Saya banyak berdosa dengan semua orang.”
“ Baguslah kalau kau sudah insaf. Mak tak harapkan anak mak melakukan kesalahan yang sebegini berat. Selama ini mak percaya yang ada orang yang menggunakan agama untuk kepentingan di dunia akhir zaman ini. Tapi mak tak sangka langsung yang anak mak yang mak tatang selama ini curang dengan keberkatan ilahi. Mak doakan kau nak. Mak ampunkan segala salah silap kau. Mak mahukan anak mak yang mak kenali dulu. Bukan Ustaz Firdaus yang diagung-agungkan. Mak hanya nak anak mak. Mak akan sentiasa sokong kau. Mak Cuma harap kau kembali. Maafkan mak kerana bersikap tidak peduli selama enam bulan kamu menjalani nasib di sini.”
Deraian air mata yang menghuni wajah ketiga-tiga insan yang berada di situ turut memberikan tempias kepada pegawai penjara yang menemani langkahan Firdaus sebentar tadi.
“ Keinsafan yang saya dapat sekarang mungkin adalah bekal untuk saya menuju akhirat. Saya takkan terpesong lagi kali ini mak. insyaAllah. Nurul, maafkan semua salah dan silap saya. Seandainya saya bukan yang terbaik untuk Nurul, bawalah langkahan kaki Nurul untuk mencari kebahagiaan yang jauh lebih baik daripada apa yang saya boleh berikan. Saya redha dengan semua yang ditakdirkan olehNya”
“ InsyaAllah apa yang ditunjukkan ilahi di dunia yang nyata ini akan memperlihatkan peribadi yang seeloknya untuk kita di akhirat nanti. Selagi saya berdaya untuk menghadapi semua kerumitan, selagi itu kasih saya takkan tumpah untuk seseorang yang lain. insyaAllah.”
Kata-kata yang singgah di telinganya itu seakan memberikan satu lagi kenikmatan yang perlu disedari. Cinta ilahi tidak pernah mengkhianatinya. Cinta kekasih hatinya tidak pernah dirampas oleh percaturan takdir. Semoga cinta itu akan menjadi bekalannya jua untuk ke akhirat kelak. InsyaAllah.

Sahabat pena;
NURUL JANNAH BINTI MAT SIDIK
SEKOLAH PENGAJIAN SENI (PENULISAN)
UNIVERSITI MALAYSIA SABAH  

No comments:

Post a Comment