Saturday, January 1, 2011

TERSURAT PERJALANAN ITU

Dia mendekati diriku dengan perasaan marah yang beraja. Tergambar jelas di wajahnya akan kemarahan yang bakal meletus itu. Aku menelan liur. Menanti dengan penuh sabar untuk apa yang bakal diluahkan oleh suara itu. Entah apa yang tidak kena. Aku tidak dapat berfikir dengan waras apabila melihat langkahan kakinya yang semakin mendekat. Apakah rasa amarahnya akan menyebabkan sesuatu yang bercambah kesakitan akan terbit di badan aku? Sekali lagi aku menelan liur. Pahit! Tidak pernah aku melihat raut wajahnya yang sebegitu sejak aku rapat dengannya. Entah apa yang menghantui dan menguasai dirinya saat ini. Aku turut bimbang.
 Apakah kemarahannnya itu berpunca daripada aku? Selama ini tidak pernah dia akan melempiaskan marahnya kepada aku walau semarah mana pun dirinya. Jika perkara yang menghasut rasa amarahnya itu bukan lahir daripada aku, dia takkan pernah menghampiri aku untuk melepaskan rasa marah yang membuak. Aku tidak pernah dicari untuk menjadi pendengar kepada kemarahannya. Malah, aku dicari untuk menghilangkan sisa-sisa amarah itu.Ketenangan dijumpai di sudut wajah aku. Itu katanya. Tapi kenapa kali ini dia mendekati aku dengan wajah yang bengis sebegitu? Apakah salah yang telah aku lakukan? Langkahan kakinya semakin mendekat. Kakiku seakan tidak memijak lantai di hadapan pintu masuk tandas. Terasa kerongkongku tersekat dari mengeluarkan bicara. Namun aku gagahku juga.

“ Kenapa ni?” Soalan itu aku ajukan. Dengan suara yang jelas ada getaran. Bodohkah soalan itu? Aku tidak dapat memikirkan jawapannya. Terus terbiar persoalan itu bermain di kepala.
“ Mana janji kau? Kenapa kau beritahu dia tentang apa yang sepatutnya menjadi rahsia antara kita?” Jelaslah aku kini. Rahsia yang sepatutnya menjadi rahsia telah terbongkar. Apa yang paling aku takuti semasa membuka rahsia itu adalah hal itu akan diketahui oleh dia. Dan sekarang hak itu terjadi. Telah sampai di telinganya tentang kemungkiran janji yang telah aku buat. Memang aku yang salah. Tetapi……
“Kenapa kau tak jawab soalan aku?” Aku tersentak. Gugup! Hampir terjatuh beg galas belakang yang aku bawa. Jerkahannya betul-betul menusuk jantung aku. Aku tidak tahu apa yang sepatutnya aku perkatakan. Aku tidak tahu apa jawapan yang selayaknya untuk aku menjawab persoalan itu.
“ Aku….” Pantas perbicaraanku dipotong.
“ Kau tak ada alasan. Kau tak layak untuk bagi alasan. Kau sepatutnya memahami perjanjian yang telah kau buat. Kenapa kau bagitahu dia tentang semua tu? Kenapa?”
“ Maafkan aku. Aku tertekan. Aku tak tahan untuk menanggung semua itu.”
“ Ada sekarang aku tak bahagiakan kau? Ada sekarang aku lukakan hati kau? Ada sekarang aku buat sesuatu yang kejam pada kau? Hah! Ada?” Sekali lagi jerkahannya kasar. Aku kecut perut. Sememangnya aku tidak pernah melihat dia semarah itu.
“ Aku….” sekali lagi percakapanku dipintas.
“ Aku marah! Serius aku marah!”
“ Aku tahu aku salah. Aku cuma…”
“ Walau apa pun alasan kau, kau tak patut jaja maruah aku. Kau tak patut sewenangnya memberi aku rasa yang aku rasa saat ini. Aku ikhlas menyayangi kau. Aku tidak pernah sedikitpun mengkhianati rasa keikhlasan itu. Aku sentiasa berusaha untuk melakukan apa yang terbaik untuk kau. Aku sentiasa melebihkan kau dalam setiap apa yang aku lakukan. Kepentingan kau melebihi kepentingan aku sendiri. Aku tidak pernah kisah dengan semua pengorbanan itu. Tapi kenapa kau terlalu buta untuk menghargai aku? walau hanya sezarah cuma. Dan hadiah yang paling istimewa yang aku terima daripada kau saat ini, ini sebagai balasan? Ini sebagai balasan kepada semua erti sayang aku selama ini? Kenapalah aku buta untuk menilai dan melihat mata hati kau. Kenapalah aku perlu memberi ruang kepada hati aku untuk manusia yang sekejam kau?
 Ikhlas….hati aku terluka. Kecewa yang aku rasa sekarang berganda melebihi rasa sayang yang ada untuk kau. Kau yang merelakan hati aku untuk membuat rasa sakit ini singgah di situ. Begitu kejam kau mempermainkan jiwa aku. Sekarang, ikhlas dari sudut hati aku yang telah hancur, aku buatkan satu janji. Takkan ada lagi pandangan mata ini untuk menentang wajah kau. Takkan ada lagi pengorbanan masa dan jiwa raga untuk kau. Dan apa yang paling terusik di hati ini, takkan ada lagi rasa cinta dan sayang yang akan wujud untuk meninggikan diri kau. Takkan pernah ada lagi sekelumit kebaikan untuk membelai diri kau. Kau telah wujudkan satu rasa baru yang akan sentiasa segar untuk aku membajainya. Satu rasa yang penuh dengan kebencian. Hanya rasa benci. Selamat tinggal.” Kakinya mula melangkah menjauhi diriku. Aku seakan terpana dengan setiap apa yang diperkatakannya. Serius. Aku telah membuat dia merasa terlalu kecewa. Zalimkah aku? Segera aku tersedar dari kelenaan suaranya seketika tadi. Pantas aku kembali ke alam realiti untuk aku menahannya dari berlalu.
“ Nanti! Seandainya itu hukuman untuk semua kesalahan aku, seandainya silaturrahim kita terputus dengan sindiran tajam kau, aku memohon ampun dan maaf untuk setiap langkah sumbang di pandangan kau yang telah aku lakukan.”
“ Lontarkan kata maaf kau di sudut dunia ini yang paling sunyi. Aku takkan pernah menjengah sudut itu. walaupun selepas ini hati aku akan merajai sudut itu, aku takkan pernah berpaling untuk mendengar kata maaf kau. Takkan pernah sehingga roh direntap dari jasad aku.”
“ Aku yakin yang kau takkan sekejam itu.”
“ Aku perhambakan diri untuk menjadi yang paling baik untuk kau. Dan sekarang kau akan kenali diri aku yang paling jahat.”
“ Ikhlaskah kata-kata itu?”
“ Keikhlasan rasa sayang yang aku berikan akan aku teruskan dengan seikhlasnya menyinari rasa benci yang kau terbitkan. Selamat tinggal.” Tiada lagi kata yang mampu terbit dari bibirku. Salahkah apa yang telah aku lakukan? Hatinya begitu tercalar dengan setiap tingkah yang aku buat. Berdosakah aku? seandainya aku tidak membuka bicara kepada kawan baikku seminggu yang lalu, pasti perkara ini tidak akan terjadi. Pasti hatinya tidak akan kecewa sedemikian rupa. Masih jelas lagi setiap patah yang aku bicarakan dengan Iskandar  seminggu yang lepas.

Suasana kafeteria yang sibuk dengan pelanggan yang merupakan pelajar universiti di kolej kediaman menyesakkan nafas aku yang telah lima minit menunggu kedatangan Iskandar. Aku nekad. Aku perlu melakukan sesuatu pembocoran yang selama ini menjadi rahsia. Rahsia antara aku dengan dia. Iskandar perlu mengetahui tentang apa yang membebankan aku selama ini. Kisah aku dan dia. Kewujudan kasih sayang dan cinta antara aku dan dia. Seseorang yang selama ini banyak membantu aku tanpa pernah menghiraukan susah dan payah. Namun, aku perlu membocorkan rahsia antara aku dan dia. Iskandar perlu diberitahu. Mungkin Iskandar adalah orang yang paling layak untuk mengetahui rahsia antara aku dan dia. Aku yakin yang Iskandar takkan mengkhianati aku.
Tepukan di bahu membuatkan aku tersentak. Hilang segala lamunan yang aku khayalkan.
“ Ada apa yang penting sangat yang kau nak jumpa aku? Sampai tak boleh tunggu esok? Macam lah esok tak jumpa dalam kelas. Mengganggu tidur aku jer hari cuti ni.”
“ Ah! Lupakan fasal cuti kau. Itu semua tak penting. Yang penting sekarang masalah yang tengah berserabut kat kepala aku ni. Kau kena tolong aku.”
“ Apa dia? Macam berat jer masalah tu?” Tanpa segan  Iskandar mengambil gelas yang berisi minuman aku. Terus dihirupnya. Aku hanya memandang tanpa apa-apa perasaan.
“ Aku segan nak ceritakan hal ni pada kau. Tapi aku harap kau dapat bantu aku. aku bukan nak merumitkan lagi keadaan. Tapi aku tak ada cara lain. Aku tertekan dengan keadaan yang aku laui sekarang. Macam-macam hal yang aku fikir.”
“ Kau ni kenapa? Cuba kau cakap satu-satu.”
“ Aku tak tahu nak mulakan dari mana. Aku tak tahu macam mana nak cakap.”
“ Alah kau cakap jelah. Apa yang kau nak segankan. Kau dengan aku dah berapa lama berkawan. Selama ni tak ada pulak kau nak segan-segan dengan aku. Macam lah tak biasa.” Aku menarik nafas lama. Menghembuskan perlahan-lahan. Mencari sedikit kekuatan. Selanjur itu, aku susun ayat satu persatu. Entah tersusun atau tidak aku sendiri tidak pasti.
“ Sebenarnya selama ini aku bercinta dengan Amar.”
“ Jadi bercinta je la. Apa masalahnya.” Mata Iskandar liar memandang ke kiri dan kanan. Entah apa yang dicarinya. Aku geram dengan reaksi yang diberikan olehnya terhadap apa yang aku perkatakan sebentar tadi. Selamba. Macam tiada apa-apa.
“ Is kau dengar tak? Aku bercinta dengan Amar.” Serentak dengan itu air yang diminumnya yang masih tersisa di dalam mulut tersembur keluar. Mengenai sedikit mukaku. Seakan dia baru menyedari tentang apa yang aku perkatakan.
“ Kau bercinta dengan Amar kawan baik kita?” Soalan pertama yang diajukannya. Aku mengangguk perlahan. Mengiayakan apa yang diraguinya.
“ Kau bercinta dengan Amar?”  Aku mengangguk sekali lagi. Menberikan reaksi yang lebih jelas untuk menjamah pandangan matanya.
“ Tapi kamu…”
“ Aku tahu. Sebab itu aku nak minta pendapat kau.”
“ Sejak bila kamu….” Iskandar tidak dapat menruskan ayatnya. Namun aku memahami.
“ Sejak tiga bulan yang lepas. Entah kenapa aku rasakan aku juga sayangkan dia lebih dari seorang kawan. Sejak itu lah wujudnya hubungan melebihi seorang kawan antara aku dan dia.”
“ Jadi sekarang kau nak aku buat apa?”
“ Aku tahu kau setuju kalau aku katakan yang aku mahu putuskan hubungan cinta antara aku dan dia.”
“ Habis tu macam mana dengan perasaan dia?”
“ Itulah yang buat aku pening. Selama ini mungkin kau sendiri nampak banyak pengorbanan yang dia lakukan untuk aku. Sebenarnya semua itu dia lakukan sebab dia sayangkan aku. Bukannya kerana sebuah persahabatan. Dia mahukan hubungan yang lebih dari seorang kawan.”
“ Kamu berkawan baik. wujudnya perasaan sayang tu tak salah. tapi kenapa boleh ada rasa cinta antara kamu. Sepatutnya hal ini tak berlaku.”
“ Aku mahu bebas dari menjadi kekasih dia. Aku tak mahu lagi peningkan kepala aku dengan semua ini. Aku akan buang rasa cinta ini. Tapi aku tak mahu musnahkan persahabatan kami. kau kena tolong aku.”
“ Tapi macam mana? Kau jangan bermain dengan perasaan. Nanti kesakitan yang dia rasa akan menghancurkan hubungan persahabatan yang dulunya terjalin.”
Aku buntu. Tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Aku mahu bebas daripada terikat dengan Amar. Keyakinan aku seratus peratus yang dia bukan cinta aku. Bukan masa depan aku.

Rempuhan di bahu kiri yang agak kuat menyentak diriku. Aku kembali ke alam realiti. Berterbangan segala ingatan aku terhadap Iskandar yang bermain di fikiranku sejak tadi. Aku memandang lelaki yang merempuh bahuku tadi. Dia tersenyum mengejek.
“ Lain kali jangan halang jalan orang.” Sesudah mengucapkan itu terus dia berlalu tanpa ada kata maaf.
Aku kembali memandang langkahan yang ditinggalkan Amar sebentar tadi. Jasadnya sudah tidak kelihatan. Menghilang dengan hatinya yang telah terbit rasa benci untuk aku. Entah apa yang diperkatakan Iskandar sehingga Amar begitu memarahi aku. Jelas yang Amar tidak dapat menerima kenyataan.
‘ Maafkan aku Amar. Cinta kita takkan pernah direstui. Ada sempadan yang dibina oleh Yang Esa. Kita akan dilaknat sekiranya meneruskan cinta yang telah kita bina sejak tiga bulan yang lalu. Jiwa kita tidak sepatutnya bersatu untuk satu hubungan yang tidak direstui. Kita sama. Kita perlu mencari seseorang yang berbeza dari diri kita. Untuk melengkapkan penciptaan yang direstui Yang Maha Esa.’
“ Syam maafkan aku buat kau tunggu lama. Perut aku memulas. Tak boleh tahan sangat. Ni kes makan jeruk semalam la kot.” Aku memandang Iskandar yang baru sahaja keluar dari tandas. Pandanganku kosong.
“ Kenapa dengan kau? Muka macam ayam berak kapur jer. Patutnya aku yang buat muka macam tu.” Pertanyaan Iskandar itu aku biarkan sepi. Biarlah apa yang telah diperkatakan oleh Iskandar kepada Amar. Aku malas untuk ambil kisah. Mungkin semua itu ada hikmahnya yang tersendiri. Hubungan aku dan Amar sudah terputus seperti yang aku mahukan. Walaupun kesudahannya membuatkan terbitnya rasa benci lelaki itu untuk aku. Aku redha. Kami terus beriringan untuk menuju ke kelas. Aku pasti yang di dalam kelas nanti aku tidak akan menemui wajah Amar. Maafkan aku Amar. Sememangnya hubungan terlarang kita takkan ke mana-mana. Allah telah tentukan kita bukan untuk satu sama lain. Perasaan takut untuk Yang Esa melebihi perasaan takut aku untuk kehilangan seorang sahabat yang baik seperti kau. Aku takut akan pembalasan akhirat yang akan menyeska kita seandainya kita terpesong. Semoga hidayah yang aku dapat akan turut sama menyinggah hati kau. Aku doakan.

No comments:

Post a Comment