Iskandar memandang wajah Amy yang kepenatan. Dilihat raut wajah itu. Cantik! Indah kalau diserikan dengan secalit senyuman. Tanpa dia sedar, wajah yang dipandangnya itu tersenyum mesra padanya. Dia kalut! Darah merah menerjah mukanya apabila sedar akan keasyikan pandangannya itu dapat ditangkap oleh Amy. Dia malu sendiri.
“ Apa yang Is pandang?” Amy bertanya manja.
“ Tak ada apa. Is bersyukur Insan secantik Amy menjadi teman yang teristimewa di hati Is.”
“ Ada-ada je Is ni. Amy biasa jer. Is tu yang hensem. Sepatutnya Amy yang patut bersyukur kerana mengenali Is.”
“ Apa sebab utama yang menyebabkan Amy sayang Is? Adakah hanya sebab jiwa Is yang suka meluahkan kata-kata yang mengasyikkan?”
“ Itu salah satu sebabnya. Tapi sebab yang utama adalah sebab Amy yakin yang Is lelaki yang boleh Amy harapkan. Sebab kata orang, lebih baik kita mencintai seseorang yang mencintai kita daripada kita mencintai seseorang yang hanya kita yang mencintainya. Satu perbezaan yang besar yang akan kita dapat. Kasih sayang akan jadi lebih sempurna kalau kita saling menyintai.”
“ Maksud Amy?”
“ Tak ada maksud yang tersirat pun. Secara senangnya, Amy mencintai Is kerana Is mencintai Amy dan Amy yakin yang Amy boleh harapkan Is untuk satu kehidupan dan satu perkongsian yang untuk selamanya. Bukan hanya untuk sementara.”
“ Mungkin Amy tahu yang perangai Is selama ini selalu suka bergaul dan mengayat gadis-gadis. Jadi kenapa Amy yakin dengan Is?”
“ Sebab Amy dapat lihat kejujuran dari mata Is. Amy pun tak pernah dengar yang Is keluar dengan mana-mana gadis lagi sejak kita saling menyuarakan rasa hati.” Iskandar melemparkan senyum. Bahagia! Memang dia akui sejak Amy hadir dalam hidupnya, dia tidak lagi melakukan aktivitinya itu. Hatinya hanya untuk Amy. Dia benar-benar belajar bagaimana untuk menghargai dan merasai erti sebuah kasih sayang yang tidak pernah dikhianati.
“ Is pernah dengar tak sebuah rancangan radio yang bertajuk Cinta. Setiap isnin jam 7 malam. Di stesen Seni FM.”
“ Tak pernah. Kenapa? Apa yang istimewa sangat dengan rancangan tu?”
“ Amy suka dengan akak deejay yang mengendalikan rancangan tu. Dia seakan dapat menyelami setiap hati insan yang dilamun cinta. Rancangan tu memang mendapat sambutan. Kata-kata akak tu banyak memberi keyakinan kepada Amy. Terutama untuk mengenali Is dengan lebih dekat.”
“ Wah! Power betul akak tu.”
“ Bencilah Is ni. Jangan pandang ringan pada akak tu tau. Dia dah jadi idola Amy tau.”
“ Yelah! Yelah! Kita lupakan tentang hal ni. Is tak minat sangat dengan semua ni. Is bukannya suka dengar radio pun. Jarang sangat.” Amy menjeling Iskandar yang membuat muka selamba. Sedikit geram. Namun, hanya untuk seketika sahaja apabila Iskandar membalasnya dengan jelingan manja yang penuh menggoda. Hati Amy kembali lembut.
Amy memicit-micit kepalanya yang terasa pening. Bahang mentari semakin menyiksa dirinya. Dia melabuhkan duduk di atas kerusi yang tersedia di bus stop. Dia menyalahkan dirinya apabila tidak melayani nasihat kawannya untuk menemaninya ke Bandar. katanya lebih selesa menggunakan kemudahan awam.
Bas yang ditunggu sejak sepuluh minit yang lalu masih juga tidak muncul-muncul. Senyuman dilemparkan kepada seorang akak yang mahu turut sama menumpang duduk di kerusi panjang yang didudukinya.
“ Adik tak sihat ker? Nampak muka macam pucat jer.”
“ Tak adalah cuma kepala saya pening sikit. Biasalah kak. Sekarang ni cuaca tak menentu. Sekejap panas sekejap hujan.”
“ Emm akak pun hari-hari macam ni. Tunggu bas. Dah lali dah dengan semua tu. Kita kena bersyukur. Semuanya kehendak Tuhan.”
“ Akak dari mana?”
“ Akak ada kerja sikit. Biasalah kerja macam akak ni kena cari bahan.”
“ Akak kerja apa?”
“ Biasa je dik. Kerja sekadar untuk cukup makan jer. Pakwe tak ambik ker? Takkanlah orang secantik adik ni tak ada pakwe.”
“ Emm dia selalu sibuk. Dulu dia tak adalah macam ni. Senang nak tengok muka. Sekarang ni bayang pun susah nak Nampak. Entah apalah yang dikejarnya. Saya pun belajar jugak tapi tak adalah sampai lupakan orang yang saya sayang.”
“ Mungkin sebab sayang adik la dia perlu kukuhkan tanggungjawab dia. Dia rasa bertanggungjawab untuk membawa dirinya ke satu kedudukan yang kukuh agar dapat membuat adik rasa sempurna bila bersamanya.”
“ Kalau ya pun janganlah selalu tak ada masa dengan saya. Call pun jarang.”
“ Habis apa yang adik rasa bila dia buat macam tu?”
“ Saya rasa terabai. Macam saya ni tak penting.”
“ Tapi kalau adik yakin yang dia sayangkan adik, adik takkan fikir macam tu.”
“ Saya tahu yang dia sayangkan saya. Tapi kalau nak kukuhkan kewangan dan nak dapatkan target dia pun agak-agaklah kak.”
“ Apa target dia?”
“ Dia cakap yang dia mahu saya rasa sempurna. Macam akak cakap tadi la. Tapi, saya nakkan perhatian. Dia cakap yang dia mahu kerja kerasnya untuk masa sekarang tak sia-sia. Dia mahu ada kereta, rumah dan segala apa yang dia rasakan lengkap untuk saya.”
“ Baguslah tu. Adik sepatutnya sokong dia. Faham dia macam mana dia sampaikan cara dia sayangkan adik.” Amy sekadar mengangguk.
“ Maaflah kalau adik rasa terkilan dengan cara akak. Akak cuma tak nak adik melepaskan apa yang boleh buat adik rasa cukup sempurna untuk kehidupan di dunia ni. Akak memang kagum dengan perasaan manusia. Cinta itu suci. Akak tak mahu adik kalah hanya dengan keegoan yang sengaja kita ciptakan hingga tanpa sedar kita mula terbabas dan melepaskan kesucian kasih sayang itu pergi tanpa dapat kita meggapainya kembali.”
“ Jiwa akak sama macam akak deejay kat Seni FM. Akak pernah dengar rancangan cinta yang setiap isnin jam 7 malam? Nama akak deejay tu Maria.” Hanya senyuman yang dilemparkan untuk Amy. Tiada satu perkataan pun yang keluar dari bibir itu. Amy tidak meneruskan kata-katanya apabila bas yang ditunggu muncul. Amy bergegas untuk mendaki tangga bas. Sebaik kakinya mencecah tangga bas, Amy berpaling kepada akak yang masih setia menunggu bas untuk ke destinasinya.
“ Gembira berjumpa dan berbual dengan akak. Lupa nak tanya nama akak. Apa nama akak?”
“ Maria.” Sepatah sahaja perkataan yang diluncurkan. Amy terkedu. Mulutnya sedikit ternganga. Nama yang menerjah telinganya itu seakan terngiang-ngiang. Bas yang bergerak meneruskan perjalanan menyedarkan Amy. Seketika kemudian, dia tersenyum dan melambai kepada akak tersebut.
Iskandar melemparkan pandangannya ke arah sesuatu yang dia sendiri tidak pasti. Fikirannya indah. Seindah pandangannya. Kehadiran Haikal di sebelahnya langsung tiada gangguan buatnya. Sesuatu yang tidak disedari oleh akalnya.
“ Apa yang kau duk pandang tu Is? Ni mesti tiada kerja lain. Kat kepala tu mesti terbayang wajah Amy je.” Iskandar sekadar tersengih apabila kawan baiknya itu mampu menyelami akal fikirannya.
“ Is, apa yang buat kau cintakan dia ek?”
“ Aku menyayangi sifat-sifatnya yang aku yakin tiada bercambah di tubuh lain. Sehingga aku dapat rasakan aku tak perlu lagi menoleh untuk mengingati hari-hari kelmarin yang aku lewati berlorongkan kesuraman.” Haikal gelak mendengar bicara kawannya itu.
“ Kau tahu tak, patah perkataan kau memang boleh buat orang jatuh cinta. Hmm beruntunglah si Amy dapat mamat jiwang macam kau ni.” Iskandar tersenyum hambar sambil sekali lagi melemparkan pandangannya di kejauhan. Memang dia akui, Amy menerima cintanya kerana kata-katanya mempunyai melodi yang mengasyikkan. Sebenarnya dia sendiri tidak menyangka yang Amy terpikat padanya kerana itu semua. Tapi, itulah yang membahagiakan dirinya. Memiliki cinta insan yang dicintainya dalam diam sejak sekian lama.
‘ Sejak dilahirkan, dunia tak pernah sunyi dan tak akan sunyi daripada detak cemburu dan rasa iri. Manusia pula tak pernah gembira tanpa melihat manusia yang lain sedang mendaki kejayaan, jatuh tersungkur ke lurah ketewasan. Ini sudah macam satu kemestian.’
Bait kata-kata itulah yang membawa kepada permulaan Amy mendekati dirinya. Sesuatu yang dia amat hargai. Selama ini dia sudah benci bermesra dengan titisan air mata yang sentiasa menemani hidupnya kerana nasib yang menikam belakangnya.
Setelah menamatkan kelas pada pagi selasa yang mendung itu, Iskandar dihampiri oleh Amy. Segala pergerakan Iskandar menjadi kaku. Dia kelu untuk menuturkan segala apa patah perkataan. Satu senyuman yang teramat ikhlas dilihat terpamer di garis wajah insan yang semakin mendekatinya.
“ Tahniah Is! Saya suka dengan jiwa awak. Kalau boleh, saya nak kita kenal lebih rapat lagi. Saya mahukan irama jiwa awak turut bermesra menyelami hati saya.” Iskandar menyambut kemas genggaman tangan gadis yang sekian lama dalam perhatiannya. Iskandar sedar selama ini dia galak untuk menyapa setiap gadis-gadis. Tetapi dia tewas apabila lidahnya mahu menuturkan bicara terhadap insan di hadapannya kini. Ada sesuatu yang mampu membuatkan jantungnya terhenti. Kesenyapan sentiasa mengunci mulutnya. Saat ini, mata mereka bersalam mesra. Genggaman jari mereka yang bertemu benar-benar membuatkan jantung Iskandar bergetar.
Hampir sebulan Amy dikenali secara rapat, mata mereka bertemu erat sambil mengucapkan rasa yang menguntum hati. Iskandar segan untuk melafazkan cintanya. Namun, dia terlampau gembira apabila dia dapat mengesan di wajah Amy bersinar rasa bahagia dalam menyedut udara dan suasana kegembiraan yang agung. Angin sepoi-sepoi yang sejuk bertiup perlahan-lahan mendakap tubuh mereka dalam kesegarannya.
“ Is percaya tak pada cinta?”
“ Cinta seperti angin yang berengsot perlahan-lahan dalam alunan manja belantara khatulistiwa.”
“ Maksudnya?”
“ Cinta itu mempunyai kisah yang perjalanannya kabur untuk kita lihat tapi pasti untuk kita rasa. Cinta yang penuh kegembiraan sememangnya membahagiakan. Ada cinta yang terlalu agung. Kasih yang dibina tiada sempadan. Tinggi dan tidak terusik oleh apa pun. Manakala cinta yang duka pula membuatkan seseorang ingin melepaskan bukuan perasaan yang semakin padu menyentak-nyentak kewarasan setiap tindakannya. Dia dibelit kehampaan. Sayangnya, perlahan-lahan rebah terbunuh. Pembunuhan yang hujungnya bukan kematian tetapi tumbuh satu kehidupan. Penghidupan yang hanya rasa rindu dalam teratak hati.”
“ Is pernah kecewa dalam cinta?”
“ Sebuah kisah duka.”
“ Macam mana kalau cinta yang agung itu hadir?”
“ Ketakutan akan menghilang.”
“ Marilah kita berusaha membina kekuatan cinta itu. Bersama-sama mengagungkan dan menguburkan segala ketakutan kisah duka.” Iskandar memandang Amy tepat. Ada keikhlasan di sinaran mata itu. Badan Iskandar menggeletar. Rahangnya ketat tiba-tiba. Ayatnya mati dan meruap dalam ketakjuban. Dia hampir tidak percaya tetapi hatinya membenarkan bahawa bibir gadis itu berbicara seketika tadi. Iskandar tersedar dan mengambil perlahan-lahan tangan lembut itu dan membawa tepat ke dadanya.
“ Terima kasih cinta.” Akhirnya Dia menjadi saksi pengucapan kasih. Iskandar menjadi pasti bahawa kasihnya akan tertumpah melebihi selautan buat cinta hatinya.
Haikal menepuk kuat bahu kawannya yang sedari tadi tidak mengendahkannya.
“ Susah betul kalau kena penyakit angau macam kau ni.” Lamunan Iskandar yang terpesong sejak tadi terhenti saat mendengar keluhan daripada kawannya itu. kisah yang terlakar di benaknya tentang bagaimana dirinya dan Amy boleh bergelar kekasih melayang entah ke mana. Jam di pergelangan tangan dipandang. Sedikit riak terkejut menyentak hatinya.
“ Haikal sorry! Aku dah lewat. Aku ada date dengan Amy. Nanti apa-apa hal kita bincang dalam bilik. Aku kena pergi sekarang.”
“ Amy lagi.” Haikal menggeleng kepalanya dengan tingkah teman sebiliknya di Universiti Malaysia Sabah itu.
Larian Iskandar terhenti apabila kakinya tepat menyinggahi lantai kafeteria. Tengkuknya dipanjangkan mencari Amy. Gadis yang dicintainya. Langkahnya diatur apabila insan itu dikenalpasti.
“ Sorry. I’m late.”
“ It’s ok. Baru lima minit je Amy kat sini.” Jawapan itu melegakan Iskandar. Pandangannya terarah tepat memandang wajah jelita Amy. Gadis bertudung itu lemas dalam pandangan tajam yang mempesonakan itu.
“ Boleh tak jangan pandang Amy macam tu? Malu la orang tengok.” Iskandar gelak.
“ Is cuma sekadar melepaskan rasa rindu menatap nur di wajah Amy.” Untuk kali ini, Amy pula yang tergelak.
“ Betul la tu. Entah-entah cakap macam tu sengaja nak mengada-ngada. Yelah! Kata orang rahsia hati seseorang adalah sedalam lautan yang luas.”
“ Sejak bila pandai berkias-kias ni?”
“ Sejak jadi kekasih Is lah!” kedua-duanya tergelak. Segala suka dan duka dikongsi tanpa curiga. Iskandar terpaksa mengakui kini bahawa dia sememangnya lemas dalam lautan cinta yang amat membahagiakan dirinya.
‘ Aku sungguh kesepian. Wajahmu yang ku pandang masih dan bermain-main di ruang hatiku. Dingin malam terus membisikkan nada cinta. Buat masa ini hanya bulan yang mampu menyimpan rahsia hatiku. Masa tidak mungkin dapat memadamkan ingatanku padamu. Kau terlalu istimewa! Aku lemas didakap rindu. Saat ku pandang ke angkasa, bintang-bintang tersenyum riang. Tapi, jiwaku tetap meruntun pilu. Aku terlalu merindui dirimu!’
“ Dik, kenapa tak diangkat handphone tu? Dah banyak call yang masuk. Mesej pun dah banyak.” Tersentak apabila telinga disapa ramah teguran insan di sebelah. Segera lamunan berderai menghilang.
“ Mengganggu akak ke? Maafkan saya.”
“ Tak! Tapi akak kasihankan insan yang berada di hujung talian tu. Mungkin dia benar-benar perlukan adik.”
“ Maafkan saya kak. Mengganggu akak je kan? Nanti saya off!”
“ Eh! Tak payahlah. Akak okey je. Akak tengok adik macam terbeban sangat. Seperti tewas dengan sesuatu. Maafkan akak dik. Mungkin akak tak dapat merasai beban adik. Tapi, mungkin akak boleh jadi pendengar yang setia.”
“ Tak apalah kak. Selama ini pun semua beban saya tanggung sendiri.”
“ Akak bersedia untuk berkongsi dik. Ceritalah!”
“ Betul akak nak dengar?”
“ Ceritalah!”
“ Kalau begitu dengarlah! Satu kisah tentang perasaan. Seorang insan yang mempunyai sekeping hati yang sentiasa tulus menyintai dan sentiasa riang dicintai. Sekeping hati yang sanggup berkorban apa saja untuk membuktikan ketulusan dan keikhlasan cintanya.
Sanggup melalui segala susah senang. Segala kepahitan insan yang dicintai adalah racun bagi insan yang menyintai. Segala kemanisan insan yang dicintai adalah madu bagi insan yang menyintai. Keduanya bahagia dalam menyatukan ikatan. Tiada langsung kecacatan dalam perhubungan.
Setiap saat menjadi kenangan yang terindah. Ikatan itu tidak pernah dikhianati. Pada suatu hari, insan yang menyintai terserempak dengan insan yang dicintai menyemai kasih bersama insan lain. Tiada kata yang dapat diungkap. Hanya air mata jawapan kepada sebuah kekecewaan. Kekecewaan yang teramat.
Akhirnya bibir yang kelu itu bersuara. Meluahkan kebebasan kepada insan yang dicintainya. Memutuskan ikatan suci yang disedari telah dikhianati. Apakah itu realiti yang setepatnya? Fikirannya ligat membenarkan. Tangan yang tak pernah diangkat untuk menyakiti wajah insan yang dicintai, akhirnya diangkat.
Tapi, tidak kepada wajah itu. Sebaliknya tepat mengenai cermin di sisinya. Segalanya berderai. Insan itu lebih rela menyakiti dirinya. Jauh lebih rela begitu. Hati insan itu berbicara. Tangan itu sakit. Cermin itu berderai. Tapi, hatinya hancur.
Doktor yang merawat tangan insan itu meluncurkan perkataan gila kepada insan tersebut. Memang! Gilakan seorang insan yang terlalu dicintainya. Insan itu cuba melarikan diri dari kenangan, tempat kediaman dan dari segalanya. Dia ingin melarikan diri bersama-sama cinta sucinya.
Jika insan itu tidak layak untuk dicintai, biarlah dia membawa rasa cintanya untuk menemani setiap langkahan. Ikatan yang telah berakhir mengajarnya untuk memulakan satu langkahan yang baru.
Melarikan diri.
Pengecut?
Mungkin. Namun, insan itu pasrah. Pasrah dengan segalanya.”
“ Sebab tu adik berada di atas bas ni kan?”
“ Jadi tiada sebab untuk insan ini menjawab semua panggilan dan membaca mesej itu kan?”
“ Adik benar-benar tewas. Andainya akak ada ketulusan seperti adik. Akak kagum dengan adik. Adik pergi dengan cinta yang suci. Tangan adik yang berbalut menggambarkan segala kekecewaan. Cinta suci adik terlalu indah untuk dipersiakan.
Adik tak menyesal melepaskan insan yang dicintai itu pergi?”
“ Mungkin akak pernah dengar supaya kita merelakan kebahagiaan orang yang dicintai jika kita betul-betul menyintainya. Itulah yang saya lakukan kak.”
“ Dengan melarikan diri begini?”
“ Pasti ada kesudahan di sebalik pelarian.”
“ Itulah apa yang menjadi racun kepada seseorang yang tulus menyintai. Apakah kehancuran hatinya bisa diubati? Rakaman di luar pengetahuan insan yang menyintai ini diharap singgah di telinga insan yang dicintai.
Maafkan akak dik kerana menyiarkan rentetan kisah hidup yang menjadi duri kepada kebahagiaan adik. Di manakah adik saat ini? Apakah sekarang adik sedang redha atau pasrah? Redha itu rela dan pasrah itu menyerah. Apa pun yang adik sedang rasai, akak tahu yang keduanya amat menyakitkan. Salam sayang buat adikku…. Iskandar.
Sebelum berpisah renunglah kata-kata ini. Anda pastinya akan lebih menghargai diri anda. ‘ Seringkali di dalam hidup, setiap orang akan merasa saat kejatuhan, hati hancur ataupun dihina. Hinggakan suatu ketika, kita akan merasa bahawa diri kita tidak berguna langsung. Tapi, apa pun yang telah terjadi, atau yang akan terjadi, anda tidak akan pernah hilang harga diri. Bersih atau kotor, renyuk atau licin, anda tetap berharga.
Terutama pada mereka yang anda sayangi. Harga diri kita bukan datang daripada apa yang kita lakukan atau siapa yang kita kenal tapi siapa sebenarnya kita.’
Salam penuh ingatan untuk anda semua di luar sana. Daripada saya Maria. Deejay yang sentiasa menemani hari duka anda. Salam sayang untuk semua.
Di satu sudut di dunia yang luas ini, ada esakan tangis yang menggila. Lahirnya dari seorang insan yang tulus dicintai.
Amy mengatur langkah mendekati Iskandar yang sedang asyik bergelak ketawa dengan beberapa orang pak cik yang menghuni rumah orang tua di sebuah daerah di Negeri Johor. Sudah sebulan Iskandar menetap di situ sebagai sukarelawan. Hatinya yang tercalar dibawa ke situ untuk diubati dengan menjemput sedikit kasih sayang orang-orang tua yang menghuni rumah itu. Hatinya memerlukan ketenangan dengan balasan kasih sayang yang dicurahkan oleh warga emas yang prihatin akan kelukaan hatinya. Amy mendekati Iskandar yang membelakanginya.
“ Is” Gelak ketawa Iskandar terhenti. Namun, wajahnya masih tidak memandang gerangan insan yang memanggil namanya. Seakan dikenali suara itu. Dadanya berdebar hebat. Perlahan-lahan badannya dipalingkan. Raut wajah Amy menyapa matanya.
Iskandar melabuhkan duduknya di bangku yang menghadap tasik. Sengaja dibawa Amy ke tempat itu apabila kehadiran yang tidak diundang itu muncul mengisi harinya.
“ Maaf. Amy tahu yang kehadiran Amy tak diundang. Sudah puas Amy mencari. Tak sangka yang Is mahu habiskan cuti semester di sini. Menjadi sukarelawan. Amy yang paksa Haikal untuk membuka rahsia ke mana Is menghilang.”
“ Amy menyesal kerana tidak dapat menyelami hati Is. Amy sepatutnya sedar yang Is mahu mengejar kebahagiaan kita untuk masa hadapan. Tapi Amy tewas. Amy rasa terabai apabila Is lebih pentingkan pelajaran Is daripada Amy. Sebab tu Amy berlaku curang. Tapi, Amy silap. Andainya masa itu dapat diputarkan kembali, Amy akan sentiasa menghargai saat-saat perhubungan kita.” Amy menarik nafasnya dalam dan dihembuskan perlahan.
“ Amy kesal dengan sikap dan tingkah Amy. Maafkan Amy Is. Amy faham apa yang Is rasa. Amy…” Iskandar memotong pantas. Sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
“ Amy tak faham.”
“ Amy faham. Semua orang faham. Semua orang mendengar luahan hati Is. Semua orang tahu kisah Is. Kisah kita. kecurangan Amy.” Iskandar mengerutkan keningnya tanda tidak memahami apa yang cuba disampaikan oleh Amy.
“ Luahan hati Is sebulan yang lalu. Kepada seorang akak yang sanggup menjadi pendengar yang setia. Di dalam sebuah bas. Segala apa yang Is bicarakan sebenarnya dirakam dalam diam. Dan akak tu sebenarnya deejay yang selama ini menjadi idola Amy. Kerana rakaman dan kata-kata akak itulah yang membawa Amy ke sini. Mencari kembali langkah yang telah Amy sumbangkan dan cemarkan dalam perhubungan kita. Amy insaf Is. Amy mahu betulkan semua salah itu. Amy menyesal Is. Izinkan Amy kembali untuk menyambung ikatan itu. izinkan Amy ubati kekecewaan yang menghuni hati Is.”
Iskandar membawa langkahnya perlahan-lahan mendekati tasik. Matanya dipejamkan. Ada air hangat yang seakan-akan ingin keluar dari kelopak matanya. Ditahan rasa yang sedang membekam dadanya.
“ Tiada apa yang perlu disambung dan diperbetulkan. Semuanya dah memberikan satu pengajaran yang amat bererti untuk Is. Hati kita tidak seiring. Jiwa kita tidak sehaluan. Kehadiran Amy hanya andai untuk mengubati, hati Is sudahpun terubat dengan kasih sayang sejati yang Is dapat kerana menjadi sukarelawan di tempat ini. Ketulusan mereka buat Is sedar akan kasih sayang sebenar.”
“ Is, kita perbetulkan segalanya. Kita kembali seperti dulu.”
“ Semuanya sudah ternoktah. Biarlah ia terus begitu.”
“ Tapi Is, takkan sampai macam ni sekali Is hukum Amy. Cuma satu kesilapan kecil yang Amy lakukan.”
“ Kesilapan kecil?” Mata Iskandar tajam merenung mata Amy. Giginya diketapkan kerana geram dengan apa yang diperkatakan oleh insan di hadapannya.
“ Bukan satu kesilapan kecil kalau sesuatu yang melibatkan perasaan. Amy tidak cukup matang untuk menjiwai semua ini. Pergilah! Kembali ke tempat di mana Amy berpijak sebelum melangkah menemui Is di sini. Kembali kepada orang yang berjaya mencuri hati Amy sehingga Is tewas dengan dirinya.”
“ Tapi Amy sayangkan Is.”
“ Sayanglah Is sebagai sahabat. Is takkan padamkan ikatan sebuah persahabatan. Selamat tinggal.” Langkahan diatur menjauhi Amy.
“ Is… Iskandar….”
Suara Amy yang singgah di pendengaran Iskandar dibiarkan sepi. Dia tidak mahu berpaling untuk melukakan hatinya lagi. Dia perlu kuat untuk memulakan satu langkahan yang baru. Dia tidak mahu berpaling walaupun dia tahu yang dihatinya masih ada Amy. Untuk kali ini, setitik air matanya gugur jua. Melepaskan titisan air mata itu seakan merelakan Amy keluar dari perasaan yang menghuni hatinya.
No comments:
Post a Comment