Saturday, January 1, 2011

AWAN.....JANGAN SESEKALI KAU MENUTUPI MATAHARIKU

Petang yang mendung menjengah lagi. Rina menyandarkan badannya pada pokok tanjung yang dua kali ganda besar dari badannya. Dia merenung padang kehijauan yang terbentang luas di hadapan matanya. Pandangan yang sayu itu menyimpan rahsia yang selama ini ditanggungnya dalam diam. Selama bertahun-tahun, tiada sesiapa yang mengetahui akan realiti hidup yang selama ini tersimpan kemas di dalam jiwanya.
            Dirinya kini sudah melewati umur 17 tahun. Tiga hari yang lepas, tiada sesiapa pun yang meraikan hari kelahirannya. Namun Rina tidak melatah dengan semua itu. Malah dia tidak mengaharapkan semua itu. Baginya, mengucapkan syukur yang tidak terhingga pada Ilahi adalah sambutan hari lahir yang sempurna. Rina mengeluh perlahan.
            Dilontarkan pandangannya ke arah padang yang luas. Kehijauan rumput seakan memberinya kedamaian. Walaupun waktu persekolahan telah berakhir tiga jam yang lalu, berat kakinya untuk melangkah pulang. Pengalamannya bertahun-tahun menjadi anak yang dimusuhi ayah sendiri amat memeritkan.
            ‘ Apakah dosa yang telah aku lakukan sehingga aku dihukum sebegini?’ hati kecil itu bermonolog. Rina menyelak lengan baju sekolah yang dipakainya. Jelas kelihatan kesan luka yang masih belum pulih selepas dipukul ayahnya beberapa hari yang lalu. Semenjak dilahirkan, dunianya hanya ayahnya. Emaknya meninggal kerana melahirkan dirinya. Jiran sebelah rumah yang dipanggilnya Mak Bedah telah memberitahunya bahawa perangai ayahnya berubah selepas kematian ibu kandungnya.
Seakan kelahirannya di dunia ini merupakan punca kepada perpisahan emak dan ayahnya. Namun, siapa dia untuk melawan takdir yang telah ditentukan ilahi? Tidak pernah dipinta untuk sebuah kelahiran seandainya hati ayahnya begitu tercalar dengan pemergian emaknya 17 tahun yang lalu.
Disapu air jernih yang turun membasahi pipinya. Hanya dirinya yang memahami akan kesakitan batin kerana dimusuhi oleh satu-satunya insan yang menjadi dunianya selama kehidupannya. Kasih sayang yang diperolehinya tidak pernah sebanyak yang dimiliki oleh insan-insan yang sebaya dengannya. Yang turut sama mempunyai ayah.
‘Sampai bilakah semua ini akan berakhir?’ Jiwanya galak berbisik. Menungannya kembali diteruskan dengan pandangan untuk mencari ketenangan. Dia merasa bebas apabila melemparkan pandangannya sebegitu.
“ Assalamualaikum.” Hati Rina tersentak dengan apa yang menginggah telinganya. Sedikit geram kerana dikejutkan oleh suara itu walaupun sangat lembut sapaannya. Namun, pandangannya terasa malas untuk menjurus kea rah suara garau itu. Seakan tahu siapa yang menegurnya kala itu.
“ Maaf kalau saya buat awak terperanjat. Tidak terniat langsung di hati saya.” Rina menjeling Adham yang turut sama melabuhkan duduk dan menyandarkan badannya rapat pada pokok tanjung yang menjadi sandaran Rina sejak tadi.
“ Awak buat apa kat sini? Nak cari nahas? Kalau orang syak kita buat benda bukan-bukan berduaan kat sini siapa yang nak tanggung?” Rina meluahkan kata-kata itu dengan suara yang bersahaja. Adham senyum.
“ Jika dibenarkan, saya nak turut sama berkongsi kesakitan awak.” Rina memandang wajah yang galak bersuara itu.
“ Berkongsi kesakitan? Tak payah lah awak nak membebel tak tentu hala kat sini.” Rina senyum mengejek. Hatinya menaruh debaran dengan apa yang diucapkan lelaki itu. Apa yang diketahui oleh lelaki itu? Apakah rahsianya sudah terbongkar? Sejak bila? Rina menggeleng dengan pertanyaan yang tidak terjawab. Tidak mahu memikirkan tentang pertanyaan yang ditujukan kepada dirinya sendiri itu.
“ Saya mahu berkongsi segalanya. Kiranya permintaan saya itu tidak keterlaluan.”
“ Apa yang awak nak cakapkan sebenarnya ni Adham. Apa yang awak nak kongsikan?”
“ Saya bukan bercakap untuk awak menjadikannya teka teki. Sudahlah! Awak tahu apa yang saya maksudkan. Cuma orang bodoh jer yang tak nampak perubahan yang awak lakukan dari hari ke hari. Mata sembab awak tu dah menjelaskan ada sesuatu yang tak kena. Yang perlu dikongsikan dengan seseorang.” Rina kembali melontarkan senyumnya. Seakan lucu dengan percakapan lelaki itu. Namun debarannya sentiasa bersisa.
“ Tak payahlah Adham. Tak ada apa yang perlu dikongsikan. Cukuplah perkongsian saya dengan Yang Maha Esa.”
“ Tapi….” Perbualan itu menjadi serius dengan bantahan Adham. Geram apabila melihat Rina dengan wajah yang bersahaja. Seakan kehadirannya yang ikhlas di situ tidak pernah dijemput. Nafasnya ditarik dalam. Dia sedar yang emosi tidak akan membantu untuk menyelesaikan masalah.
“ Please Rina. Saya tahu yang jiwa awak tertekan. Ceritakan pada saya apa yang sebenarnya berlaku? Tangan awak tu. Kenapa boleh jadi macam tu? Awak dipukul?”
Rina sekali lagi tersentak. Baru menyedari akan lengan baju yang diangkatnya seketika tadi masih belum dijatuhkan. Dia mendengus seketika dengan kelalaiannya itu.
“ Sudahlah Adham. Saya tak perlukan sesiapa.”
“ Itulah masalah awak…”
“ Habis yang kau pulak? Nak cari masalah?” Adham menelan liurnya apabila melihat Pak Badar turut berada di situ. Entah bila jasad lelaki tua itu muncul.
“ Ayah!” Rina memandang ayahnya dengan perasaan yang sukar untuk dimengertikan. Pantas dia bangun dari labuhan duduknya.
“ Apa yang kamu berdua buat di sini?”
“ Pak cik, kami…”
“ Pang!” Ayat itu ternoktah dengan sentuhan tangan yang kasar di pipi Adham. Disentuh pipinya yang terasa pejal. Perit dirasakan.  Rina memandang Adham dengan perasaan bersalah yang beraja. Diberikan isyarat supaya lelaki itu berlalu dari situ. Namun, tindakan itu tidak merelakan kaki Adham. Langkahnya masih mati di tempatnya berdiri. Pak Badar mendengus kuat dan menarik kasar tangan Rina supaya mengikut rentaknya. Terhuyung-hayang tubuh kecil itu diperlakukan sedemikian.

Rina merenung siling di dalam biliknya. Kejadian seminggu yang lalu berbekas kemas di dalam hatinya. Adham, lelaki yang disayangi dalam diam sejak sekian lama turut sama terjebak dengan masalahnya. Sejak kejadian itu juga, dia tidak dibenarkan ke sekolah.
“ Rina.” Bagai halilintar suara itu bergema. Pasti turut sama jelas kedengaran di rumah jirannya. Rina mengucap di dalam hati. Pantas dia bangun dari katilnya.
“ Ada apa ayah?” Bagai tidak terkeluar lunak suaranya.
“ Ada orang  nak jumpa kau. Katanya cikgu kau. Jantan yang aku lempang hari tu pun ada sama. Aku nak keluar sekejap. Siap kalau kau mengadu dengan mereka.”
Pak Badar mendapatkan motosikalnya. Enjin dihidupkan dan sempat dijeling tetamu yang berada di halaman rumah sebelum berlalu. Pada masa ini, tidak ada apa yang boleh menyembunyikan kesan lebam di wajah Rina. Kerana itulah dia tidak ke sekolah sejak seminggu yang lalu. Terlihat jelas kesan lebam di pipinya. Lebam yang dihadiahkan ayahnya kerana baran yang tidak menentu. Rina yang dijadikan tempatnya melempiaskan marah dan geram apabila ada sahaja yang tidak disenangi oleh nafsu amarahnya.
“ Rina. Ya Allah. Kenapa ni?” Puan Zubaidah pantas meluru mendapatkan Rina Yng tidak jauh daripadanya. Segera tubuh kecil itu dipeluk. Adham memandang dengan belas yang teramat.
“ Ini mesti kerja ayah Rina kan?” Puan Zubaidah meneka. Rina hanya mampu menggeleng. Walaupun dia tahu yang pembohongannya tidak akan berjaya.
“ Saya jatuh cikgu.” Untuk kali ini, Puan Zubaidah pula yang menggeleng.
“ Cepat ikut cikgu. kita tak boleh biarkan perkara ni. Kita pergi balai buat laporan.” Rina tersentak. Tidak pernah terlintas di akalnya untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“ Jangan cikgu. tolonglah! Betul. Saya jatuh.”
“ Sampai bila awak nak hidup dalam keadaan yang macam ni? Satu tamparan yang singgah di pipi saya ni pun dah terlalu perit. Awak pula….” Kata- kata itu tidak dapat diteruskan. Wajah sayu Rina membuatkan dirinya tidak dapat meneruskan kata. Lidahnya kelu. Wajah itu seakan meminta simpati. Adham tunduk.
“ Pasti awak dah rasa lebih dari semua ni kan?” Cikgu perempuan itu menyoal. Rina hanya tunduk. Tidak memberikan sebarang jawapan.
“ Cepat ikut cikgu.” Tangan guru itu menarik perlahan lengan gadis itu. bimbang kiranya terkena pada bekas asakan yang dikejami oleh bapa anak muridnya itu. Langkahan Rina kaku. Rina mendongak.
“ Saya sayangkan ayah saya cikgu. Hanya dia yang saya ada dalam dunia ni. Saya dah tak ada sesiapa cikgu. Dia dah banyak berkorban untuk saya selama hayat saya ni.” Puan Zubaidah terduduk. Adham tewas. Usahanya untuk membawa Pak Badar ke muka pengadilan terhenti di tengah jalan dengan keengganan Rina.
‘ Betapa mulianya hati gadis ini.’ Jiwa lelakinya berbisik sendirian.
“ Rina cikgu tahu kamu…”
“ Saya sihat cikgu. Esok saya akan ke sekolah.” Rina memotong percakapan guru itu. Dia perlu menegaskan apa yang hatinya tidak relakan. Terlalu kejam jika hal  tentang ayahnya dilaporkan kepada pihak polis. Di mana dia akan bergantung nasib? Dan apa yang lebih penting. Dia sayangkan ayahnya. Ya! Dia sayangkan ayahnya.

“ Rina.” Panggilan itu menerpa ke gegendang telinga Rina. Ditoleh ke belakang mencari empunya suara itu. Terlihat di pandangannya Puan Zubaidah yang semakin menghampiri. Kaki itu terhenti apabila jarak yang memisahkan mereka tinggal semeter.
“ Awak sihat?” Persoalan itu hanya dibalas dengan senyuman.
“ Adham dah jelaskan semuanya kepada cikgu. Awak perlu bijak dalam membuat keputusan Rina. Tentang kehidupan awak selepas ni, awak tak perlu risau. Cikgu janji yang cikgu akan ganti tempat ayah awak. Cikgu akan lebih menyayangi awak.” Rina memandang wajah guru perempuan itu dengan pandangan yang dia sendiri sukar untuk menafsirkannya.
“ Cikgu tak main-main Rina. Ini janji cikgu.” Tanpa sepatah kata, Rina terus berlari menuju ke kelasnya. Perasaannya berbaur.  

“ Assalamuaikum cikgu.” Adham muncul di pintu bilik darjah Rina sambil termengah-mengah. Nafasnya tersekat-sekat. Tangan kanannya mengurut dada sambil tangan kirinya diangkat sebagai tanda ‘tunggu’.
“ Cikgu Zubaidah nak jumpa Rina sekarang. Ada hal mustahak.”
“ Okey.” Encik Hakim bersuara sambil mengjungkitkan bahu.
Rina melangkahkan kakinya mengikut rentak Adham walaupun hatinya berat selepas apa yang berlaku pagi tadi. Lidahnya juga kelu untuk berkata-kata.

“ Puan Zubaidah membuka pintu kereta sebelah pemandu untuk Rina. Dahi Rina berkerut seribu.
“ Kita nak ke mana cikgu?”
“ Ada hal mustahak. Pengetua pun dah benarkan.” Akhirnya Rina hanya mendiamkan diri.
Puan Zubaidah memusingkan stereng keretanya memasuki simpang yang dikhaskan untuk ke hospital. Rina semakin gelisah. Duduknya sudah tidak setia seperti tadi. Dia seperti cacing kepanasan. Adham di belakang hanya diam seribu bahasa.
“ Apa yang kita buat kat sini cikgu?” Rina bertanya memecahkan kesunyian. Walaupun kepalanya sudah terlalu bising dengan persoalan. Puan Zubaidah tidak membalas. Ditariknya tangan Rina supaya melangkah keluar dari kereta.
“ Rina. Banyakkan bersabar. Pagi tadi, semasa ayah awak dalam perjalanan ke tempat kerja, motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori.” Rina terkaku.
“ Maca mana dengan keadaannya sekarang cikgu?” Puan Zubaidah menggeleng lemah.
“Apa maksud gelengan tu cikgu?”
“ Dia tak dapat diselamatkan.” Bagaikan tidak berfungsi seluruh urat sarafnya. Tangan yang digenggam oleh Puan Zubaidah ditarik kasar. Lariannya laju menuju ke arah bilik mayat yang tidak jauh dari situ.

Tangisan Rina bergema di bilik asing itu. Puan Zubaidah pantas memeluk tubuh kecil itu sambil bersikap cuba menenangkan. Adham terduduk di penjuru bilik. Ada titisan air jernih yang mengalir keluar dari kelopak matanya.
Rina memeluk kuat jasad ayahnya yang telah kaku. Tidak langsung mempedulikan kesan darah yang menodai baju sekolahnya. Jasad Pak Badar dicium berkali-kali bersama rintihannya. Merayu supaya dirinya tidak ditinggalkan. Lama keadaannya begitu, lututnya lemah untuk menampung badan. Tubuh kecil itu rebah ke lantai.  Sedu-sedannya jelas kedengaran.
“ Cikgu, saya sayang ayah.” Suara Rina begitu perlahan.
“ Saya dah tak ada sesiapa cikgu.” Suara serak itu masih berbicara.
“ Jangan cakap macam tu sayang. Cikgu akan tunaikan janji cikgu. Jangan pernah fikir yang kamu keseorangan. Cikgu takkan pernah biarkan itu berlaku.” Puan Zubaidah cuba menahan sebak yang membukit di dadanya.
Tangisan Rina semakin hebat. Hujan yang mencurah-curah di luar bangunan hospital seakan turut sama bersimpati dengan nasib dirinya.

Bicara Malam,
Nurul jannah binti mat sidik
Universiti Malaysia sabah
15 November 2010
5.44am 

No comments:

Post a Comment