Wardati menyapu lembut air mata yang menodai pipi gebunya. Dipejamkan matanya sambil sedutan nafas dilembutkan sedalam mungkin. Seketika kemudian, dihembus kembali nafas yang bertarung hebat di rongga badannya. Matanya yang kuyu memandang sayu ke arah rumah yang bercat hijau di hujung jalan yang berhadapan rumahnya. Kisahnya bukan kepada rumah itu. Tetapi kisahnya tersemai dengan penghuni yang menghuni rumah dua tingkat itu. Hatinya semakin sayu apabila memikirkan tentang kisah hidupnya yang tidak seindah seperti yang diimpikannya.
Kepalanya disandarkan di tiang jendela yang terbuka luas. Hanya pandangan sahaja yang dapat dilakukannya untuk menutup ruang hatinya yang sedang rawan. Senyumannya sedikit terbangkit apabila ingatannya melayang mengingati wajah lelaki yang dicintainya.
Bunyi engsel pintu yang berkeriuk pada daun pintunya menyebabkan Wardati sedikit tersentak. Wajahnya yang seketika tadi baru sahaja memperolehi sedikit ketenangan kini cemas. Melihat kepada reaksi emaknya, seperti menepatkan jangkaannya bahawa baran emaknya menyerang lagi. Tangannya ditarik kasar dan mengikut rentak badannya yang tidak ketentuan. Terjelopok tubuh kecil itu di birai katil. Esakannya kembali lagi.
“ Dah berapa kali aku cakap. Jangan sesekali kau bukak tingkap ni. Apa kau tak ada telinga? Kau dah pekak? Jangan kau nak malukan aku dengan apa yang ada dalam hati kau tu. Kau tu masih mentah. Tak layak untuk malukan aku dengan perasaan cinta kau yang entah apa-apa tu.”
“ Perasaan saya suci mak. Ikatan yang terbina antara saya dengan Syed adalah satu pemberian daripada Ilahi. Kami bukan melakukan sesuatu yang salah. Hubungan kami tak pernah sumbang dan seiring dengan apa yang dimurkai Allah.”
“ Kau tak payah nak cakap hal agama dengan aku. Aku lebih dulu makan garam daripada kau. Aku lebih tahu tentang dunia ni. Perasaan suci konon. Perasaan tu takkan pernah suci selagi aku sebagai ibu kau tak merestui hubungan kamu. Dan jangan sesekali pun kau fikir yang hubungan kamu akan pergi lebih jauh.”
“ Apa salah kami mak? Syed dan keluarganya bukan orang lain. Saudara kita sendiri. Mak cik Ramlah adik mak. Kenapa perlu diwujudkan permusuhan hanya kerana harta? Silaturrahim yang mak dan mak cik Ramlah putuskan hanya menambahkan ruang dosa untuk dihuni syaitan.”
“ Amboi! Pandainya kau mengajar aku. Hei Wada. Aku ni mak kau. Tak payah kau nak bersyarah dengan aku dan nak menghakimi aku dengan apa yang aku lakukan. Tanah yang mak saudara yang lahirkan buah hati kau duduk sekarang ni sepatutnya jadi hak milik aku. Kau tahu sekarang berapa harga tanah tu? Kalau ikutkan keluasannya, apek cina bagitahu aku harganya sekarang dah dekat satu juta. Mana aku makin tak angin dengan mak saudara bodoh kau tu. Jadi kau tak payahlah susah-susah nak sambungkan balik silaturrahim kami.”
Esakan Wardati semakin kedengaran apabila emaknya masih merajakan tanah yang telah menjadi milik emak saudaranya. Sejak seminggu yang lepas, selepas emaknya mengetahui tentang hubungan cintanya dengan Syed Amirul Amin, dunia Wardati hanya di bilik itu. Dia tidak dibenarkan keluar. Tingkap biliknya yang menghadap rumah tempat kediaman kekasih hatinya juga ditutup rapi. Baru sekejap tadi dia dapat membuka tingkap itu secara paksa. Tetapi, usahanya hanya seketika.
Pak Mail menghirup kopi panas yang dipesannya. Duduknya di situ kerana ada janji yang perlu dipenuhi. Pandangannya melilau ke arah jalan yang terbentang luas. Serentak itu, bibirnya sedikit menguntum senyum apabila orang yang ditunggu sudah menjelma di ruang matanya.
Syed Amirul Amin melabuhkan duduk dengan sopan selepas bersalaman dengan Pak Mail. Ayah kepada buah hatinya yang hampir sebulan tidak dijumpai.
“ Perkara apa yang penting sangat yang Syed nak bagitahu Pak Long?”
“ Saya sebenarnya segan dengan Pak Long. Maafkan saya sebab tak beritahu Pak Long dari awal lagi tentang hubungan saya dengan Wada.” Pak Mail melebarkan sengihnya. Menampakkan jelas giginya yang kekuningan.
“ Pak Long faham. Kamu risau yang rahsia kamu akan diketahui Mak Long kamu kan? Kamu tak salah. Memang betul cara kamu. Kamu sendiri tahu yang Pak Long ni takut dengan Mak Long kamu tu.” Gelaknya pecah apabila mengakui tentang apa yang menjadi kekurangannya. Syed Amirul Amin tersenyum.
“ Jadi apa yang kamu nak bagitahu Pak Long?”
Anak muda itu mengeluarkan sepucuk surat yang tersimpan kemas dalam kocek seluarnya.
“ Saya harap Pak Long dapat serahkan surat ni pada Wada. Saya berharap sangat.”
“ Baiklah. Pak Long akan sampaikan pada dia. Bersabarlah. Ini dugaan untuk kamu. Pak Long sentiasa menyokong apa yang baik.”
“ Terima kasih Pak Long. Walaupun hubungan kekeluargaan kita retak, Pak Long tetap baik dengan saya. Saya sendiri tak faham dengan emak dan Mak Long. Hanya kerana harta pusaka, sampai nak putuskan hubungan kekeluargaan.
“Biasalah Syed. Manusia. Takkan puas dengan apa yang ada. Kalau Pak Long bersuara nanti takut lain pulak jadinya.” Pak Mail tersenyum dengan kata-katanya sendiri. Mereka melayan perasaan masing-masing dengan apa yang sedang terbelai di dalam hati. Kedua-duanya mempunyai kedukaan. Terhadap kekasih dan terhadap isteri.
Pak Mail membuka pintu bilik yang dikunci daripada luar. Setelah memasuki ruang bilik yang sederhana besar, Pak Mail mengambil duduknya di sebuah kerusi yang tersedia di tepi meja solek. Matanya memerhatikan penuh sayu akan anak kesayangannya yang tidak berdaya dalam memperjuangkan perasaannya.
Apa yang lebih membuatkan hatinya terkilan, dia tidak berdaya untuk melawan kehendak isterinya yang selalu bertegas dengan caranya sendiri. Walaupun ada luka yang terbit di hati kecilnya, Pak Mail hanya menurut apa sahaja permintaan isteri kesayangannya.
“ Wada dah makan?” soalannya itu dibiarkan sepi. Pak Mail sedikit berdehem.
“ Jangan dilayan sangat perasaan tu. Diri sendiri jugak merana.” Wardati membuang pandang ke arah ayahnya. Menoleh seketika dengan pandangan yang kabur dek air mata.
“ Saya rindukan Syed ayah.” Suara milik badan kecil itu meluahkan. Untuk kali ini, Pak Mail pula yang tidak mengendahkan kata-kata itu. Dia sedar akan kelukaan hati yang ditanggung oleh anaknya. Namun segera ditepis untuk menutup rasa bersalah yang melanda hatinya kerana tidak berdaya untuk menghalang akan kehendak hati isteri yang disayangi.
“ Tadi ayah ke kedai. Jumpa Syed.” Pantas wajah Wardati sepenuhnya memandang wajah ayahnya.
“ Dia berikan surat ni pada ayah. Entah apa isinya. Kamu bacalah.” Surat yang tergengam di tangan Pak Mail bertukar tangan. Wardati membuka surat yang dibaluti sampul berwarna coklat itu dengan cermat. Dibaca patah perkataan yang tersurat.
Assalamualaikum,
Apa yang membebani hati kita sekarang terlalu sukar untuk dimengertikan. Tidak pernah terlintas di hati abang untuk diperlihatkan kejadian yang sebegini. Terlalu sukar untuk abang menghalang segala percaturan emak dan Mak Long. Abang tidak mahu mengejami mereka. Tetapi keputusan perlu diambil.
Kalau boleh, abang tidak mahu ada hati yang tercalar dengan keputusan yang abang buat. Dan mungkin juga dengan keputusan yang bakal Wada buat. Tetapi, abang terpaksa demi memperbetulkan cinta suci kita. Abang tidak sanggup lagi untuk terbeban dengan perasaan yang menyiksakan ini. Perjalanan hidup ini penuh dengan kerumitan.
Wada, kiranya cinta kita punya kekuatan, abang mahukan pengorbana tercipta antara kita. Lusa, watu zohor, abang akan menunggu Wada dan Pak Long di masjid kampung sebelah. Abang mahukan ikatan yang halal di sisi Allah. Restu emak dan Mak Long abang harap akan menyusul selepas itu. pujuklah Pak Long untuk mewalikan Wada. Abang ikhlas menerima Wada seadanya sebagai isteri abang kiranya ikatan itu akan menjadi kenyataan. Segala persiapan abang akan uruskan.
Sampaikan salam dan kemaafan abang pada Pak Long kerana abang membuat keputusan yang begini.
Salam kasih,
Syed Amirul Amin
Wardati memandang ayahnya dengan perasaan yang berbaur. Surat itu diserahkan kepada ayahnya. Kelihatan wajah Pak Mail yang sedikit kaget apabila noktah terakhir menjamah matanya. Kelu lidahnya untuk mengeluarkan kata.
Wardati meletakkan kepala di lutut ayahnya. Pak Mail dapat rasakan kain yang dipakainya hangat dengan air mata anak kesayangannya itu. Dia tahu akan harapan yang bersarang di hati anaknya. Dia perlukan kekuatan sekiranya bibir Wardati bersuara untuk membuat satu permintaan. Agak lama menunggu, tiada patah perkataan yang terkeluar dari mulut anaknya itu. Pak Mail sedar, dia yang harus memulakan patah untuk menutup kebisuan itu.
“ Kalau Wada rasa apa yang dilakukan oleh Syed itu betul, ayah akan restu.” Wardati memandang ayahnya dengan persoalan yang sarat di kepala. Rasa tidak percayanya melebihi segala apa yang tersirat dalam kata-kata yang dilontarkan ayahnya.
“ Betul ke ayah?” Pak Mail mengangguk dengan senyuman.
“ Tapi macam mana dengan mak?”
“ Kita buat majlis ni tanpa pengetahuannya. Lepas tu ayah akan pujuk mak.”
“ Tapi…”
“ Syyy! Ayah berhak untuk tentukan kebahagiaan hidup anak ayah.” Wardati kembali memaut kaki ayahnya dan disandarkan kembali kepalanya ke lutut itu. Esakannya kembali kuat.
“ Terima kasih ayah.” Hanya itu yang mampu terluah dalam sendu yang masih beraja.
Syed Amirul Amin menadahkan tangannya ke hadrat ilahi. Syukurnya tinggi melangit apabila matanya terpandang susuk tubuh cintanya dan juga bapa saudaranya. Dibawa langkahannya menuruni tangga masjid untuk menjemput kedua-dua mereka. Disalami tangan bakal ayah mentuanya dan dicium lembut sambil bibirnya mengucapkan terima kasih.
“ Ayuhlah! Kita percepatkan majlis.” Pak Mail bersuara. Kedua-dua anak muda di hadapannya hanya mengangguk. Bersetuju dengan kata-kata itu.
Mereka bertiga memasuki masjid dengan penuh tertib. Wardati melemparkan senyumannya kepada tetamu yang berada di situ. Walaupun tidak seramai seperti yang diimpikan dalam anganannya selama ini, dia redha. Dalam agakannya, hadirin yang hadir mungkin hanya dalam lingkungan tiga puluh orang. Tangannya dihulurkan untuk menyalami tangan hadirin yang berdekatan dengannya. Serentak itu anggukan wajahnya ditujukan kepada mereka yang tidak kesampaian oleh tangannya. Hanya itu yang mampu dilakukan.
Wardati menyempurnakan kelengkapan dirinya yang disedikan oleh Syed Amirul Amin. Di badannya kini tersarung kebaya putih yang sangat secocok dengan dirinya. Berpadanan dengan baju melayu putih yang dipakai oleh lelaki yang bakal menjadi suaminya.
Imam melakukan tugas dengan sempurna sekali. Lafaz yang telah dilakukan untuk mengijab kabulkan anak adam dan hawa disudahi dengan sempurna. Giliran Syed Amirul Amin untuk menbalas percakapan itu supaya memenuhi hukum Allah sebelum Wardati disahkan halal baginya.
“ Aku terima nikahnya, Wardati…”
“Berhenti.” Terdengar pintasan suara yang bergema. Laungan oleh dua suara yang dikenali oleh bakal pengantin. Suasana menjadi kalut. Pak Mail bangun mendekati isterinya yang seakan sedang kepanasan.
“ Jangan lah buat kecoh kat sini. Tak baik.ini masjid.”
“ Oh jadi awak buat benda ni baik lah? Menikahkan anak saya tanpa pengetahuan dan persetujuan saya?”
“ Awak ni…”
“ Tak payah nak cakap apa-apa lagi. Wada, kau balik sekarang. Aku takkan pernah restu dan setuju dengan pernikahan kamu. Aku tak ingin orang yang tamakkan harta yang sepatutnya jadi milik aku menjadi besan aku. Takkan sekali-kali. Tak payah kau nak mimpi.”
“ Habis kau ingat aku lapar sangat untuk berbesan dengan kau? Siapa sebenarnya yang tamak? Harta pusaka tu memang milik aku. Kau dapat bahagian kau dan aku dapat bahagian aku. Adillah tu!” pertengkaran mulut yang berlaku di antara kedua-dua adik beradik itu membingitkan telinga dan amat memberikan kepanasan di wajah Wardati. Terasa darah merah menerjah mukanya menahan malu dengan apa yang terjadi di hadapannya. Keaiban keluarga sendiri dibuka di depan ramai.
Tidak sanggup lagi untuk dia mendengar walaupun sepatah perkataan yang amat membebankan hati dan perasaannya. Bersama deraian air mata, kakinya diangkat menuju pintu keluar masjid. Panggilan daripada kekasih hatinya tidak diendahkan. Apa yang dia tahu, dia perlu segera keluar dari suasana yang memalukan itu.
Langkahnya diatur dengan larian yang tidak mengenal hentian. Tanpa disedari, dirinya dilambung hebat oleh kereta yang melintasi jalannya. Suasana yang kalut seketika tadi bisu dengan kekagetan yang mengejutkan. Sesaat kemudian, suara kasar Syed Amirul Amin bebas di udara. Memanggil nama insan yang disayanginya.
“ Wada…” Lauangan yang seakan tidak berpenghujung. Dipeluk erat badan kecil yang terlentang menghadap langit. Esakan lelakinya kedengaran. Warna putih bersih baju keduanya telah dinodai oleh darah yang saat ini amat dibenci oleh Syed Amirul Amin. Dia tidak merelakan darah merah yang membuak itu mengalir keluar daripada jasad insan kesayangannya.
“ Kenapa boleh jadi macam ni? Apa yang telah berlaku ni?” Ayat yang keluar dari mulutnya sudah tidak tersusun. Bagaikan hilang segala punca kekuatannya. Esakannya semakin jelas kedengaran apabila wajah yang ditampungnya itu seakan menahan kesakitan yang tidak terhingga.
“ Bertahan sayang. Jangan cakap apa-apa. Kita akan ke hospital.” Tindakan Syed Amirul Amin untuk mengangkat badan Wardati terhenti apabila gadis itu menahan.
“ Mungkin kita memang tak ada jodoh. Mungkin sampai di sini cinta kita akan ternoktah. Mungkin sudah sampai masanya Wada tinggalkan dunia yang kejam ini.” Percakapannya yang perlahan itu mendapat gelengan daripada Syed Amirul amin.
“ Tidak! Wada tak boleh tinggalkan abang. Abang takkan pernah izinkan….” Percakapannya terhenti apabila tangan lemah milik Wardati melekat di bibirnya.
“ Kita hanya pinjaman ilahi. Kesakitan ini…. seakan memberi erti yang perjalanan dunia sudah tamat untuk wada.”
“ Tidak! Tolong jangan cakap apa-apa. Bertahan. Tolonglah! Bertahan!”
“ Abang, apa yang…. berlaku selepas ini….” Nafasnya semakin sesak. Seakan tidak terdaya lagi untuk mengeluarkan bait ayat.
“ Jangan…pernah….kecewa…” Tangan yang lemah tadi kini terkulai. Menandakan kebenaran akan kata-katanya seketika tadi.
“ Tidak!!!” Raungan itu menggila. Tidak merestui akan kehendak takdir. Semua yang sejak tadi menjadi pemerhati hanya mampu bersimpati. Kedua-dua ibu kepada insan yang saling mencintai terkaku.
Syed Amirul Amin mengangkat badan yang tidak bernyawa itu. Dibawanya mengikut rentak jalannya yang dia sendiri fahami. Serentak itu…
“Dumm” Kekalutan semua yang ada berganda. Terpamer dengan jelas di pandangan mereka dua jasad sedang melayang di udara. Orang kampung yang baran dengan apa yang berlaku menyerbu kereta yang melanggar jasad kedua-duanya. Dipukul pemandu yang sedang khayal dengan alkohol.
Syed Amirul Amin merangkak dengan daya yang ada untuk mendekati kekasih hatinya yang telah dijemput ilahi. Tangannya menemui kesusahan yang sarat untuk dibawa menemui tangan yang telah lama terkulai milik gadis dicintainya. Setelah tangan itu berjaya digenggam, Syed Amirul Amin bersusah payah mengorak senyumnya. Memandang manis wajah Wardati.
‘ Abang dah cakap! Abang takkan pernah biarkan Wada tinggalkan abang’. Hati lelaki itu berbicara. Masa berlalu dengan kekalutan suara yang sudah tidak singgah di pandangan kedua-dua pengantin yang tidak bernyawa.
Untuk kali ini, kedua-dua penghalang cinta sejati turut sama rebah menyembah bumi. Mata terpejam rapat dengan nafas yang masih setia.
Bicara Malam,
Nurul jannah binti mat sidik
Universiti Malaysia sabah
14 November 2010
3.41am
No comments:
Post a Comment