Saturday, January 1, 2011

KEINDAHAN SEBUAH RASA

 Deringan jam loceng kedengaran bingit. Terasa amat kasar menerjah ke telinga Nadia. Diambil dan dimatikan jam loceng itu. Geram kerana mengganggu tidurnya yang nyenyak. Seketika kemudian, dia terlena kembali tanpa ada suara jam lagi. Entah berapa lama berlalu, Nadia sedar dan bangkit dari pembaringan. Dia seakan tersedar yang solat subuh belum ditunaikan. Pintu bilik dibuka dan segera bilik air dicari untuk mengambil wuduk. Nadia memejamkan matanya sambil menadah tangan ke hadrat Ilahi. Doa dipanjatkan setelah tamat mengerjakan solat subuh. Dengan penuh ketenangan, satu persatu patah perkataan dilafazkan. Meminta dan merayu kepada Yang Esa untuk satu kehidupan yang lebih baik. Pagi itu akan menamatkan penantiannya untuk jangka masa yang agak lama. Keputusan universiti akan dikeluarkan dan terlintas di fikirannya adakah namanya akan tersenarai dalam mana-mana Institusi Pengajian Tinggi Awam. Sememangnya dia tidak dapat mengagak. Pada masa ini, hanya doa dan tawakal sahaja yang mampu dilakukan setelah usahanya selama ini telah ditumpahkan di atas kertas peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

            Nadia mendekati ibunya yang sedang sibuk di dapur. Tengah hari itu dia tidak membantu ibunya seperti selalu.
“ Kau nak ke mana?”
“ Nak pergi jumpa cikgu sekejap. Cikgu ajak pergi taska untuk bantu buat kerja sikit-sikit.”
“Cikgu Adibah?”
“ Yelah mak. Cikgu mana lagi. Kan dah lima bulan saya kerja dengan cikgu Adibah. Jadi cikgu yang tak bertauliah dekat taska tu.”
“ Emm pergilah. Tapi jangan lewat balik pulak. Kalau dah cikgu yang minta tolong mak tak kisah. Kau jangan nak melencong ke lain pulak. Balik je taska terus pulang rumah.”
“ Yelah mak! Macam lah mak tak kenal dengan anak mak ni.”
“ Mak Cuma nak ingatkan je. Mak ni risau kalau jadi benda yang tak elok.”
“ Tak ada apa lah mak ni. Fikir yang bukan-bukan. Nanti kalau jadi kenyataan baru tahu.”
“ Emm dah lah tak payah nak membebel kat sini pulak.” Puan Asmah berkata selamba. Sememangnya ikatan anak beranak antara mereka kukuh. Selalu bergurau senda dengan nada yang mengejek. Mereka bahagia dengan semua tu.
“ Mak sebenarnya saya nak ke taska bukan cikgu yang ajak. Tipu je tadi.” Puan Asmah memandang pelik Nadia yang tersengih-sengih.
“ Sebenarnya hari ni keluar keputusan universiti. Saya nak buka internet dekat taska. Cikgu jugak yang suruh pergi tengok dekat sana. Tak perlu nak gi cyber café.”
“ Kenapa tak cakap awal-awal?”
“ Tak ada beza pun. Bukannya dah tahu keputusannya pun.”
 Percakapan Nadia terhenti apabila melihat kelibat Encik Asman yang melintas untuk ke bilik air. Puan Asmah menegur lembut.
“ Bang, Nadia nak keluar ni. Hari ni keluar keputusan universiti. Kalau dapat dapatlah. Kalau tak dapat tak dapatlah.”
“ Oh hari ni ke keluar?” Nadia sekadar mengangguk tanpa melihat wajah ayahnya. Perwatakan ayahnya yang sedikit garang tidak memberanikan diri Nadia untuk melihat wajah itu. Percakapan di antara mereka juga jarang. Memang secara kebiasaannya Puan Asmah yang akan menjadi orang tengah untuk Nadia dan Ayahnya berhubung. Namun peribadi Encik Asman baik.

Nadia melangkahkan kakinya memasuki taska yang terbina di hadapannya. Melemparkan senyum pada Puan Adibah yang berada di taska. Tangan disatukan sebagai tanda keikhlasan sebuah pertemuan.
“ Hmm macam mana?”
“ Macam mana apa. Tabah dalam debaran je ni.”
“ Rasanya dapat ker?”
“ Kalau fikirkan rasa tu tak dapat nak cakap apa-apa.”
“ Yakin dapat la tu. Mesti.”
“ Cikgu yang yakin. Saya ni entahkan dapat ke tak. Cikgu faham lah macam mana keputusan saya sebelum ni. Kalau dapat memang rezeki namanya. Saya pun datang sini dengan harapan kosong sebenarnya. Dapat pun tak apa tak dapat pun tak apa. Semuanya Allah dah tentukan.”
“ Kamu ni cara bercakap macam dah putus harapan. Tengok keputusan pun belum.”
“ Entah la cikgu. Saya ni sebenarnya lima puluh peratus jer yang menjurus ke arah dapat. Dan separuh lagi menjurus ke arah tak dapat.”
“ Hmm daripada berteka-teki macam ni baik kita buka internet tu sekarang. Gagal ke berjaya ke semuanya dah tersurat. Jangan fikir apa yang tak sepatutnya kamu fikir.” Mereka terus menapak mendekati meja komputer. Alamat terus dicari dan nombor kad pengenalan terus dimasukkan untuk mendapat keputusan. Dengan lafaz ke hadrat Ilahi yang tak lekang dari bibir, mata dipejamkan. Seketika kemudian dia tersentak apabila jeritan Puan Adibah terngiang di telinganya. Tahniah! Itulah apa yang dibaca di skrin komputer. Mata Nadia segera tercari-cari perkataan itu. Akhirnya matanya menjamah perkataan itu. Bibirnya melebarkan senyum. Puan Adibah membaca nama institusi yang telah memilih Nadia sebagai salah seorang bakal mahasiswi. Universiti Malaysia Sabah. Senyuman yang terpamer seketika tadi segera mati. Apa yang terlintas di hatinya Sabah satu tempat yang jauh dan perbelanjaan tinggi. Jiwanya kosong. Keputusan yang sepatutnya menggembirakan hatinya itu seakan melayang. Menghilang entah ke mana. Hatinya juga terdetik akan kata-kata emaknya supaya tidak memohon universiti yang luar dari semenanjung apabila hasratnya untuk keluar semenanjung diutarakan. Apakah kakinya akan menjejak bumi negeri di bawah bayu? Fikirannya ligat memikirkan apakah langkahannya nanti. Adakah akan terhenti atau terus maju?

            Nadia memasuki rumah dengan wajah yang tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Pandangan ayahnya dibiarkan sepi. Emaknya yang sedang berbaring  di ambal tidak dipandang. Langkahnya terus maju masuk ke dalam bilik. Nadia menghempaskan tubuhnya di atas katil. Sekejap kemudian dia bangun dan mundar mandir di dalam bilik. Kedudukannya amat tidak selesa. Kepalanya pusing. Apakah yang harus diberitahu? Apakah kemahuannya untuk ke menara gading akan terbantut? Lama dirinya berkeadaan begitu, dibaringkan dirinya sekali lagi. Namun, dia tidak tenang. Akhirnya pintu bilik dikuak dan langkahnya terus mendekati Puan Asmah yang sedang berbaring. Nadia tahu yang emaknya tidak tidur. Cuma memejamkan mata mungkin untuk menanti tindakan daripadanya. Perlahan-lahan Nadia membaringkan badannya di sebelah Puan Asmah. Tidur berkongsi bantal. Lama ditenung mata Puan Asmah dan akhirnya bibirnya bersuara jua.
“ Mak, saya dah tahu keputusan universiti.”
“ Jadi macam mana?”
“ Macam mana kalau saya tak dapat?”
“ Tak ada rezeki kau la tu.”
“ Kalau saya dapat?” Puan Asmah bangun menongkat dagu. Memandang wajah Nadia.
“ Dapat ke tak sebenarnya ni?” Nadia merenung mata Puan Asmah tanpa ada apa-apa perasaan. Entah berita gembira atau hampa yang akan singgah di telinga emaknya. Nafasnya ditarik dalam-dalam dan perlahan-lahan dihembuskan.
“ Dapat. Kat Sabah.” Hampir tidak terkeluar apa yang dituturkan oleh Nadia. Dilihat Puan Asmah menjuihkan bibir. Puan Asmah kembali membaringkan dirinya. Senyap. Tiada apa-apa reaksi lagi.
“ Mak tak benarkan saya pergi?” Puan Asmah kembali menongkat dagunya. Wajahnya berkerut seakan hairan.
“ Pergi mana?”
“ Sabah la.”
“ Sabah?” Sedikit nada terkejut.
“ Yalah kan tadi saya beritahu yang saya dapat universiti sabah. Mak dengar ke tak?”
“ Laa mak ingatkan kau cakap kau tak dapat.”
“ Dah tu mak benarkan saya pergi ke tak?”
“ Memang niat kau dari awal kau nak pergi sana kan? Apa yang mak boleh buat. Dah mak pesan awal-awal lagi jangan minta yang jauh-jauh. Sekarang niat kau dah termakbul. Apa yang mak boleh cakap.”
“ Mak benarkan ke tak ni?” Puan Asmah tidak menghiraukan pertanyaan Nadia. Perlahan-lahan dia bangun dan melangkah mendekati Encik Asman yang berada di bahagian hadapan rumah. Nadia turut sama melangkah membuntuti langkahan emaknya.
“ Bang, Nadia dah tahu keputusan universiti.”
“ Jadi macam mana?”
“ Dapat. Dekat Sabah.”
“ Sabah?”
“ Dia risau kita tak benarkan dia pergi.”
“ Nadia, kalau setakat Sabah ayah dan mak langsung tak kisah sebenarnya. Kau pergi sana sebab nak belajar. Takkan kami tak benarkan. Kalau luar Negara sekalipun ayah dan mak akan benarkan. Kau dah berjaya dapat tujuan sebenar kau untuk apa kau belajar di sekolah selama ini. Kau nak naik ke menara gading. Takkan kami nak halang perjalanan kau. Mak kau tak mahu kau keluar dari semenanjung sebab dia tak mahu kau jauh daripadanya. Sebelum ni kau tak pernah berpisah dengannya dalam masa yang lama. Jarak pun tak pernah jauh. Walau apa pun, kau dapat kat sana sebab tu dah memang rezeki kau. Dengan kejayaan kau ni, kau dah buat kami bahagia. Kami bangga dengan kau.” Senyuman terlukis di wajah usang orang tua Nadia. Nadia menjuihkan bibirnya dan mengesat air jernih yang keluar dari kelopak matanya dengan belakang tangan. Geram kerana dipermainkan emak dan ayahnya. Dia memandang senyuman yang terakam di bibir emaknya. Ayahnya turut sama melempiaskan senyum. Nadia semakin sebak.

Bangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur akhirnya dijejak buat pertama kali. Nadia dikerumuni keluarga, saudara dan kawan-kawan. Mereka ketawa senang hati dengan setiap gelagat. Banyak celoteh yang menerjah masuk di telinga Nadia. Dia gembira dalam debaran. Debaran yang akan membawanya ke negeri di bawah bayu. Dengan tiada sokongan sesiapa yang dikenali. Walaupun seorang kawan. Perginya nanti akan mengajarnya satu kehidupan yang betul-betul berdikari.
Panggilan terakhir untuk penerbangan ke Sabah dibuat. Nadia memeluk setiap ahli keluarganya. Cuba ditahan sebak yang menggila. Tiba masa tubuhnya disatukan dengan tubuh emaknya, sebaknya masih cuba ditahan. Dia tidak mahu mereka semua melihat dirinya lemah saat itu. Dia cuba bertahan. Dicium wajah emaknya sepuas hati. Segenap tempat di mana sahaja yang bibirnya mahu singgah. Pelukan dieratkan seerat mungkin. Seakan tidak mahu dilepaskan. Ada air jernih yang bergenang di kelopak mata kakaknya. Nadia sedar tentang itu. Namun, dia masih kuat. Cuba menahan sebaknya dari terus terhambur.
Dengan kucupan mesra dan penuh kasih di tangan Puan Asmah, Nadia melangkah kemas ke balai berlepas. Lambaian diselitkan dengan penuh kehibaan. Laungan anak saudara yang berusia setahun lebih yang seakan-akan mengerti perpisahan itu sayup-sayup singgah di telingannya. Memanggil-manggil namanya walaupun tidak kedengaran jelas perkataannya. Setelah jauh jarak yang memisahkan mereka, Nadia berpaling membelakangi ahli keluarganya yang kelihatan samar-samar di pandangan. Saat ini, kolam matanya sudah tidak dapat menahan godaan air jernih yang mahu keluar. Akhirnya dia merelakan air jernih itu keluar. Menghambur segalanya. Dia begitu sebak dengan perpisahan ini. Hatinya berdoa kepada Ilahi, semoga perjalanannya ini akan membawa erti untuk segala pengorbanan keluarganya. Dia tidak sekali-kali akan mensia-siakan harapan yang diberikan kepadanya. Dia tidak akan sekali-kali menodai rasa tanggungjawab untuk membahagiakan kedua orang tuanya. Azamnya kukuh. Sekukuh benteng yang takkan pernah tumbang. Matanya memandang ke arah pesawat yang akan dinaikinya sebentar nanti. Sambil memejamkan mata untuk mendapat sedikit ketenangan, sekaligus hatinya berkata. ‘ Tunggu aku Sabah. Realisasikan impianku dan balasi setiap jerih setiap orang yang menyayangi aku. Gapaikan diriku setinggi aku menggapai awan untuk menemuimu. ’ Dengan berbekalkan semangat itu, langkahan kaki Nadia terus diatur.

NURUL JANNAH BINTI MAT SIDIK
SEKOLAH PENGAJIAN SENI(PENULISAN KREATIF)
UNIVERSITI MALAYSIA SABAH

No comments:

Post a Comment