Wanita yang memakai tag nama yang tergantung kemas di dada pada sebelah kanannya berjalan beriringan dengan lelaki yang sedikit lebih dewasa daripadanya. Tag nama itu tertera namanya. Doktor Aina. Langkahan kakinya bersama teman sekerja memasuki ruang bangunan yang dihuni oleh pesakit-pesakit. Doktor Hisyam menemani kawan sekerjanya yang baru berpindah ke hospital itu pada awal pagi tadi. Bantuan dipinta untuk lebih mengenali pesakit. Itulah alasan yang diberikan kepada doktor Hisyam supaya lelaki itu menemaninya melawat kawasan hospital.
Saat langkahan melepasi wad yang bernombor 38, kaki doktor Aina terhenti. Seakan ada sesuatu yang menarik perhatiannya untuk mendiamkan rentaknya untuk terus berada di situ. Dijenguk seketika ke dalam wad itu melalui cermin pintu. Dilihatnya seorang lelaki yang sedang memandang ke luar tingkap dengan ditemani air mata yang menodai pipinya. Pandangannya dialihkan kepada doktor Hisyam. Lelaki itu seakan mengerti maksud pandangan itu. Dengan isyarat mata, doktor Hisyam membenarkan tangan doktor wanita itu memulas tombol pintu.
Perlahan-lahan doktor muda itu mendekati pesakit yang masih tidak diketahui namanya. Pandangan yang sayu dihadiahkan kepada lelaki yang kini bakal menjadi pesakitnya. Pandangan yang langsung tidak dibalas. Lelaki itu hanya setia dengan titisan air mata yang masih bersisa menodai pipinya.
Doktor Hisyam melabuhkan duduknya di sebelah doktor Aina.
“ Kenapa? Itu yang menjadi persoalan di benak awak kan?” Anggukan diberikan sebagai jawapan kepada persoalan yang diutarakan.
“ Namanya Yusri. Selama berada di sini sejak dua tahun yang lepas, air matanya akan menitis setiap hari.” Pandangan doktor Aina terus menikam tepat wajah doktor Hisyam. Tidak menimbulkan persoalan. Hanya menunggu temannya itu membicarakan apa yang selanjutnya.
“ Selama itu jugalah saya tidak pernah mendengar sepatah perkataan pun yang keluar daripada mulutnya. Apa yang saya dengar daripada ahli keluarganya, dia mempunyai kisah yang tragis. Sebab itulah dia ditempatkan di Hospital Jiwa ini.”
“ Pakar mengesahkan dia gila. Tapi saya sendiri tidak pasti sama ada mahu bersetuju atau tidak dengan kenyataan tersebut. Keadaannya hanya begini sejak dimasukkan ke sini. Hidupnya hanya dengan air mata. Dua minggu yang lepas, dia jatuh di dalam bilik air. Kepalanya mengalami gegaran yang agak kuat. Seminggu yang lepas dia tersedar dari koma.” Serentak itu, telefon bimbit doktor Hisyam menjerit minta diangkat. Beberapa ketika kemudian, doktor Hisyam memberitahu ada kecemasan yang perlu diuruskan. Doktor Aina hanya mengangguk memahami keadaan. Dirinya ditinggalkan dengan persoalan yang masih tidak terjawab.
Perlahan-lahan doktor Aina melabuhkan duduknya di hadapan pesakit yang hanya dikenali sebagai Yusri. Kisahnya? Masih menjadi persoalan. Dilihat raut wajah yang tidak menghiraukan kehadirannya itu. Seakan ada satu bebanan berat yang ditanggung oleh anak muda yang disahkan gila itu. Hatinya berdetak hebat untuk mengetahui kisah yang terpenjara di dalam diri lelaki itu. Apa yang terlalu membebani jiwanya sehingga dia hilang dalam dunianya sendiri.
Pintu wad dikuak dari luar. Doktor Aina memanjangkan lehernya memandang wajah yang terjengul di sebalik daun pintu. Muncul seorang wanita tua yang tidak dikenali dengan seorang jururawat wanita. Doktor Aina bangun dari duduknya menghormati akan kehadiran insan yang tidak dikenalinya itu.
“ Doktor, ini emak kepada pesakit.” Seakan memahami, jururawat tersebut menerangkan kepada doktor Aina tentang status wanita tua tersebut. Doktor Aina melemparkan senyumannya dan menghulurkan tangan sebagai salam pertemuan yang tidak disengajakan itu. Doktor Aina memberikan isyarat supaya mereka ditinggalkan.
“ Doktor ni baru kat sini ya?” Doktor Aina mengangguk dengan senyuman sebagai tanda mengiyakan.
“ Saya baru sampai di sini pagi tadi. Mak cik selalu datang sini?”
“ Hari-hari mak cik datang sini. Sejak dua tahun yang lepas. Agaknya semua orang dah jemu tengok muka mak cik.”
“ Ishk kenapa pulak mak cik cakap macam tu. Pengorbanan ibu tak akan pernah dipandang serong oleh manusia yang punya hati.”
“ Kalaulah semua orang macam yang doktor cakap.” Pandangan wanita tua itu melirik ke arah anak lelakinya. Wajahnya bertukar sayu. Sangat jelas di pandangan doktor Aina.
“ Dia kenal mak cik?”
“ Mak cik pun tak pasti. Dia tak pernah bersuara untuk memberitahu yang dia mengenali mak cik. Tetapi, sejak berada di sini, dia hanya akan makan kalau mak cik yang menyuapnya.” Ada senyuman di wajah yang keruh itu.
“ Saya dengar yang ada kisah yang membuatkan dia jadi macam tu. Maaf kalau saya menyinggung perasaan mak cik.” Wanita tua itu bangun dari labuhan duduknya dan mendekati anak muda yang tidak memberikan apa-apa reaksi itu. Hanya terleka dalam dunianya sendiri. Dimainkan telapak tangan mengusap kepala anak tunggal kesayangannya yang masih berbalut kerana kejadian dua minggu lepas.
“ Dia tewas dengan perasaan. Hanya kerana terlalu mencintai, dia mendapat hukuman yang sebegini. Mak cik bukan ingin menyalahkan takdir. Cuma sekadar terkilan dengan kejadian yang tersembunyi hikmahnya ini.”
“ Kerana terlalu mencintai?” Wajah tua itu mengangguk sambil tangannya menyapu lembut kesan air mata yang masih tersisa di pipi anak tunggalnya itu.
“ Kesucian cinta yang dirasainya terhadap seorang gadis. Tetapi malangnya, telah diputuskan oleh si gadis tanpa alasan yang dia sendiri tidak dapat menerimanya. Puas dirinya memujuk dengan penuh kesabaran. Apa yang dia lakukan, langsung tidak terkesan di hati si gadis.”
“ Hatinya ikhlas menyintai. Terlalu tulus. Bahagia yang dia dapat hanya sementara. Hanya sekejap. Semua itu menghilang dengan keputusan si gadis yang nekad memutuskan hubungan. Hubungan yang telah dikukuhkan dengan ikatan pertunangan. Dia sendiri tidak tahu punca. Puas diberi segala pujukan. Hati si gadis tetap berdegil. Pengorbanannya selama ini hanya dipandang kosong. Tanpa sebarang makna.”
“ Tetapi, dia tetap bersabar. Sehinggalah pada suatu hari. Kesabarannya benar-benar teruji.” Doktor Aina mendengar dengan penuh minat. Kisah itu menggamit hatinya untuk mengetahui dengan lebih mendalam.
Kedinginan malam yang mendung membuatkan Yusri memandu keretanya dengan lebih berhati-hati. Kabus malam yang seakan mahu mengundang hujan menambahkan lagi keraguannya untuk menaikkan meter kereta. Dalam kepekatan malam itu, di bahu jalan, terlihat di pandangannya akan susuk tubuh yang sangat dikenalinya. Insan yang dikenali sebagai tunangnya. Namun itu dulu, gadis itu telah memutuskan ikatan itu sebulan yang lalu. Sebabnya? Yusri sendiri tidak tahu akan usulnya. Gadis yang dicintainya itu tidak keseorangan. Ditemani oleh seorang lelaki yang tidak dikenali olehnya. Tempikan suara yang lahir daripada gadis itu memeranjatkan Yusri. Tempikan yang dibalas dengan ejekan. Yusri memberhentikan keretanya.
“ Aku nak kau bertanggungjawab. Aku takkan lepaskan kau dengan mudah. Kau jangan ingat dengan apa yang kau dah buat dengan aku akan membebaskan kau dari segala hukuman.”
“ Kau tak payahlah nak berceramah kat sini. Aku takkan bertanggungjawab. Entah-entah hasil tu daripada tunang kau sendiri.”
“ Jantan bangsat. Sanggup kau perlakukan aku sebegini. Aku tinggalkan dia hanya kerana terlena dengan pujukan cinta kau. Sekarang, bila kau dah dapat apa yang kau nak, kau buat aku macam sampah.”
“ Kau yang relakan. Aku tak menjanjikan apa-apa pun. Apa sekalipun, aku takkan pernah bertanggungjawab. Senang-senang, kau gugurkan saja kandungan tu. Habis cerita. Lepas tu kau kembali pada tunang kau.” Hati Yusri tersentak. Kandungan? Ini bermakna? Fikirannya kalut. Dipanjangkan langkahnya mendekati si gadis yang masih tidak menyedari akan kehadirannya. Dipegang bahu itu dan dipalingkan wajah yang cantik itu menghadapnya. Ada riak terkejut yang terpampang pada wajah itu dan lelaki yang bersama mereka kala ini.
“ Apa semua ni? Apa yang kau dah buat?” Tiada balasan suara. Lelaki yang tidak dikenali Yusri itu hanya mencebik.
“ Kau mengandung?” Sentakan yang agak kuat singgah di bahu si gadis. Namun, masih tiada balasan suara.
“ Ya. Dia mengandung. Kalau kau nak kan dia sangat, kau ambik je lah benih tu.” Yusri memegang kepalanya. Rambutnya diramas kuat. Kawalan emosinya mula hilang. Tanpa sebarang amaran, tangannya mencapai sebatang besi di dalam tompokan sampah di kakinya. Sepantas kilat dihunus besi itu menyinggahi dada lelaki yang hebat dengan percakapannya seketika tadi. Darah membuak tanpa diundang. Serta merta langkahannya rebah. Si gadis panik. Apa yang dilihat di hadapan matanya seakan bukan Yusri yang dikenalinya.
Apa yang menyinggah matanya di ketika ini memberikan sejuta ketakutan yang tidak pernah dirasai. Lariannya dilakukan. Namun tidak panjang. Larian Yusri terlebih dahulu menyaingi langkahannya.
“ Kenapa kau sanggup buat aku macam ni? Kenapa kau jadikan maruah kau terlalu murah hanya kerana lelaki durjana tu? Kenapa kau biarkan ada benih lain yang subur dalam rahim kau? Kenapa?” Tempikan dari kotak suara Yusri bergema hebat. Si gadis cuba mengawal nafasnya yang semakin tidak teratur. Besi yang tergenggam kemas di tangan bekas tunangnya itu dikotori oleh darah merah yang masih menitik. Tangisannya mula kedengaran. Ketakutannya berganda. Matanya memandang pandangan Yusri yang melihat perutnya dengan gelengan kepala yang bertalu-talu. Memperlihatkan kekecewaannya yang tiada batasan.
“ Tolong jangan….” Ayat si gadis ternoktah hanya dengan dua perkataan. Perutnya ditusuk ganas dengan besi yang telah meragut nyawa teman lelakinya seketika tadi. Raungan Yusri bergema. Serentak itu tusukan dilakukan lagi untuk kali kedua. Darah membuak mengotori jalan. Dengan esakan tangis yang semakin menggila, tangannya menampung tubuh si gadis yang telah direntap roh daripada jasadnya.
“ Kenapa kau lakukan begini pada aku? Kenapa sanggup kau serahkan mahkota kau kepada yang tak berhak? Aku sedaya upaya menjaga kesucian cinta kita. Aku sedaya upaya berusaha supaya kita menjalinkan hubungan yang halal di sisi Allah.”
“ Kenapa kau tidak pernah cuba untuk mengenali hati aku? Aku hanya mahukan rasa kecintaan kita untuk kita bersama-sama menuju jalan yang suci. Sesuci perasaan yang aku berikan pada kau. Mengapa kau kecewakan aku sebegini? Apa yang kurangnya pada aku sehingga kau sanggup buat aku macam ni? Di mana kurangnya cinta aku?”
“ Tak pernah aku pertikaikan segala kekurangan kau. Tak pernah aku bangkitkan segala keperitan yang aku rasa. Tapi kenapa sanggup kau lakukan macam ni? Salahkah aku kerana terlalu mencintai? Inikah hukuman terhadap kasih sayang yang aku berikan selama ini? Ke mana menghilangnya segala cinta yang kau berikan dulu. Betapa hati ini sakit dengan apa yang kau berikan sekarang.” Tangisan terus bergema. Esakan tak pernah kering. Kekecewaan terus diluahkan kepada jasad yang kaku itu.
“ Sejak malam tu, dia tenggelam dalam dunianya sendiri. Hukuman penjara yang dikenakan akhirnya menempatkan dia di sini apabila pakar psikatri mengesahkan yang dia tidak normal.” Wanita tua itu menyapu air jernih yang mengalir dari kelopak matanya. Doktor Aina menundukkan wajah. Turut sama terkesan di hatinya dengan cerita yang baru didengarinya. Langkahnya menggamit mendekati Yusri. Pesakit pertama yang diperdengarkan kisah kepadanya di hospital jiwa itu.
Deringan jam dinding yang menandakan tepat jam lima menyedarkan kedua-dua insan normal yang berada di dalam bilik itu. Menandakan masa lawatan yang telah berakhir. Setelah mencium pipi anak tunggal kesayangan, wanita tua itu melangkah menuju pintu keluar bersama doktor Aina. Sebelum daun pintu ditutup rapat, sekali lagi doktor Aina memandang ke arah pesakitnya itu. Azamnya kukuh agar dia akan dapat membantu insan yang terluka itu.
Yusri mengalihkan pandangannya ke arah daun pintu yang tertutup rapat. Sejak seminggu yang lalu, apabila tersedar daripada koma, dia telah mendapat dunia realitinya kembali. Ketenangan jiwanya telah dilakar kembali oleh yang Maha Esa. Namun, dia lebih rela memenjarakan dirinya di tempat itu. Biarlah dirinya dikenali sebagai seorang yang tidak waras di pandangan dunia. Dia lebih rela begitu. Sedetik selepas itu, kolam matanya kembali terisi dengan genangan air mata yang entah bila akan kering.
Bicara Malam,
Nurul jannah binti mat sidik
Universiti Malaysia sabah
10 november 2010
3.40am
No comments:
Post a Comment