Saturday, January 1, 2011

KELEWATAN SEBUAH PENGERTIAN

Puan Salbiah tergocoh-gocoh menuruni anak tangga rumahnya sambil tangannya memegang kemas telefon bimbit anak lelakinya. Mulutnya tak henti-henti memanggil suaminya.
            “ Bang!” Entah laungan itu untuk kali yang ke berapa. Encik Asmadi yang melabuhkan duduk di atas sofa di ruang tamu memandang isterinya dengan pandangan ingin tahu. Seakan apa yang bakal diluahkan oleh isterinya mempunyai maksud tersirat yang akan memberi khabar kejutan. Kakinya kini sudah menginjak lantai ruang tamu. Tidak lagi melabuhkan duduknya di sofa. Pandangannya tidak terlepas dari memandang anak mata isterinya yang makin mendekat.
            “ Abang baca mesej si Kamal ni.”
            “ Apa yang tak kena?”
Puan Salbiah tidak mengendahkan soalan itu. terus diunjukkan telefon bimbit di tangannya tepat ke dada suaminya. Encik Asmadi menekan-nekan punat telefon. Ada kejutan yang terpamer di wajah itu. memandang muka isterinya yang sudahpun kemerahan. Panas kerana dikuasai rasa geram.
            “ Kamal”. Laungan Encik Asmadi bergema untuk beberapa kali. Kamal tergocoh-gocoh dari tingkat atas dan mematikan lariannya di anak tangga paling bawah. Hairan dengan gemaan suara ayahnya yang memanggil namanya. Seakan ada kesalahan besar yang dilakukannya. Fikirannya ligat memikirkan apa yang dibuatnya. Namun, dia tetap buntu.
            “ Kenapa ayah?” terkeluar soalan itu walaupun dirasakannya sedikit bodoh.
            “ Kau tanya aku kenapa? Siapa Lia? Kau bercinta dengan anak Rashdan? Kau nak cari nahas? Kau sendiri tahu yang keluarga kita bermusuh dengan keluarga si Rashdan tu. Kau nak malukan aku? mereka bukan sebulu dengan kita. Aku benci orang yang sokong UMNO. Mereka pemusnah. Makan duit rakyat.”
Kamal mengerti kini. Matanya terpandang telefon bimbitnya yang tergenggam kemas di tangan ayahnya. Mungkin kesemua pesanan ringkas yang berada di dalam simpanannya dibaca oleh ayah dan emaknya. Seketika tadi sebelum kakinya melangkah masuk ke dalam bilik air, dia sempat menghantar dan membalas pesanan ringkas yang datangnya daripada Lia. Kekasih hatinya. Anak kepada musuh ayahnya. Permusuhan yang melibatkan parti politik. Mungkin ayahnya begitu pasti bahawa Lia yang menjadi  kekasihnya ialah anak kepada Encik Rashdan kerana dalam pesanan ringkas yang dihantar kepada kekasihnya tadi, mereka ada berjanji untuk sama-sama bertolak ke universiti pada petang nanti. Dan perjumpaan akan dilakukan di hujung simpang.
“ Kenapa kau diam?” Jerkahan ayahnya membuatkan Kamal sedikit tersentak.
“ Maafkan Kamal. Ayah yang bermusuh dengan Encik Rashdan. Bukan saya. Saya cintakan Lia. Saya takkan bebankan diri saya dengan masalah ayah yang timbul dengan Encik Rashdan. Kamu terlalu taksub pada politik. Sedangkan semua itu bukanlah bekalan untuk ke akhirat. Bukan permusuhan yang akan menempatkan syurga untuk satu masa nanti.”
“ Kamu sedar ke apa yang kamu cakap ni Kamal? Sejak bila kamu jadi anak yang kurang ajar macam ni? Tak tahu mengenang jasa orang tua?”
“ Saya bukan nak jadi kurang ajar. Selama ini saya tak pernah tolak dan tak pernah tak lakukan apa saja yang mak dan ayah minta. Saya turut semuanya. Tapi bukan dengan perkara ini. Kami saling menyintai. Kami tahu yang masa ini akan tiba. Tapi saya tak sangka yang semuanya berlaku terlalu cepat. Saya cuba bernafas sendiri untuk mencari apa yang mampu membahagiakan saya. Dan saya temui Lia.”
“ Jadi kamu nak ketepikan kami?”
“ Saya bukan nak membuat pilihan. Sebab saya memang takkan ada pilihan. Saya sayang apa yang terbina di antara kita dan saya sayang apa yang telah saya bina dengan Lia.”
“ Kau jangan pernah fikir pun benda yang mengarut ni Kamal. Keluarga kita takkan pernah ada pertalian dengan keluarga Rashdan. Pemikiran mereka sonsang.” Kali ini Puan Salbiah mula campur tangan.
“ Pemikiran mereka sonsang kerana mereka memihak kepada UMNO? Jadi! Pemikiran mak dan ayah tak sonsang kerana memihak kepada PAS?” Persoalan yang diajukan Kamal itu dibalas dengan tamparan yang tepat mengena pipi kanannya. Kamal menyentuh perlahan pipinya yang terasa pejal. Perit. Tangan Puan Salbiah sedikit menggeletar kerana tindakan spontan itu. Namun, dia tidak menyesal. Kerana tamparan itu mungkin akan menyedarkan anaknya. Anak tunggal yang disayanginya. Dia tidak mahu insan yang disayanginya itu tenggelam dalam percintaan yang tidak direstuinya.
“ Kau jangan nak jadi kurang ajar dengan kami. Kami takkan benarkan kau bercinta dengan anak Rashdan. Mereka tak layak untuk kita.”
“ Sekeras mana pun hati ayah dan mak, sekeras itu jugalah hati saya. Saya takkan putuskan hubungan suci kami. Takkan sekali-kali.” Kamal mengatur langkah mendekati ayahnya. Ditentang seketika renungan tajam ayahnya dengan pandangan yang kosong.
“ Maafkan Kamal.” Tangannya mengambil telefon miliknya yang kemas di gengaman Encik Asmadi. Terus diatur langkah menaiki anak tangga menuju ke kamarnya. Dia perlu bersiap untuk kembali ke universiti setelah sebulan dia menghabiskan masa di kampung halamannya. Perginya nanti akan dipastikan agar langkahannya seiring dengan orang yang dicintainya.
Puan Salbiah dan Encik Asmadi saling berpandangan. Wajah kedua-duanya menunjukkan rasa tidak puas hati. Seakan mahu diamuk sahaja anak lelaki tunggal itu. namun. Fikiran kedua-duanya masih waras. Puan salbiah melabuhkan duduknya. Akalnya ligat memberitahu. Pasti ada jalan dan caranya.

Encik Rashdan membunyikan hon kereta beberapa kali. Bunyinya bingit dengan nada yang berpanjangan. Kedatangannya ke rumah Encik Asmadi kali ini sudah kali yang ketiga. Dia benci menjejakkan kakinya ke rumah itu namun, perkara yang penting perlu didahulukan.
Encik Asmadi melangkah keluar dengan perasaan cuak yang membuak.
“ Kalau kau datang nak buat kacau kat sini baik kau balik sebelum aku halau kau dengan belakang parang. Aku tak perlukan tetamu yang macam kau.”
“ Aku pun tak ingin nak datang kat sini. Terutama pandang muka kau. Aku nak kau ajar anak kau. Mana dia sembunyikan anak aku?”
“ Kau jangan nak merepek benda yang bukan-bukan. Baik kau balik.”
“ Aku dapat panggilan daripada universiti. Sudah seminggu Lia tak hadiri kuliah. Dalam universiti pun dia tak dapat dikesan. Hari terakhir orang Nampak dia, dia bersama dengan anak kau. Mana lagi dia pergi kalau anak kau tak larikan dia?”
“ Inilah orang yang tak tahu politik macam kau. Cakap main redah je. Semua benda nak betul. Padahal pentingkan diri sendiri. Suka letakkan kesalahan pada orang lain.”
“ Siapa yang tak betul sebenarnya? Kau atau aku? aku benci dengan orang yang cakap je pandai. Padahal…..”
“ Ah sudah. Baik kau balik sebelum aku mengamuk.” Percakapan Encik Rashdan pantas dipotong.
“ Aku nak kau cari anak kau. Pulangkan anak aku sebelum aku buat laporan polis. Aku bagi masa sampai petang ni. Kalau aku tak dengar apa-apa berita daripada Lia, aku akan buat laporan.” Pintu kereta dikuak kasar. Enjin terus dihidupkan dan segera minyak ditekan. Sesaat kemudian, terus diluncurkan kereta dengan meninggalkan sisa deruman enjin.
“ Apa yang kecoh-kecoh ni bang?” Encik Asmadi memandang isterinya yang entah bila sudah berada di sebelahnya.
“ Awak call Kamal sekarang. Tanya kat mana dia sembunyikan budak Lia tu.”
“ Apa?”
“ Dah seminggu budak dua orang tu hilang. Entah ke sudut mana yang mereka pergi. Menyusahkan betul. Macam tak ada perempuan lain.” Terus dipanjangkan langkahnya memasuki pintu rumah. Puan Salbiah tercengang.

Entah untuk kali yang ke berapa butang hijau di telefon bimbit Puan Salbiah ditekan. Masih juga tidak ada sahutan di hujung talian. Namun, tangannya terus mencuba. Usahanya tidak padam. Dicuba lagi dan terus dicuba. Saat mahu ditekan butang merah di telefon itu, kedengaran suara Kamal di hujung talian.
“ Apa yang kau buat ni Kamal? Kau balik sekarang” kasar suara Puan Salbiah.
“ Saya hanya akan balik kalau mak dan ayah setuju hubungan saya dengan Lia. Cara mak untuk takut-takutkan Lia takkan berkesan. Kamal dah faham dengan cara mak. Kami lebih rela tinggalkan keluarga untuk mengejar kebahagiaan kami. kami tak kisah dengan permusuhan keluarga yang mak dan ayah buat. Saya tak minta lebih pun mak. Cuma restui hubungan kami.”
“ Kalau kau tak balik petang ni, mak takkan mengaku kau anak mak.”
“ Ugutan mak takkan memberi kesan di hati saya. Selama ini sudah puas saya ikut telunjuk mak. Saya mahukan hidup saya. Saya berhak tentukan hidup saya.” Talian terus dimatikan. Puan Salbiah membaling telefon di tangannya. Geram.
“ Kamal memang dah tak dengar cakap saya. Entah apa yang buat dia cinta sangat dengan budak perempuan tu. Sampai sanggup tinggalkan universiti dan keluarga.”
“ Apa yang awak dah buat sebenarnya?” Encik Asmadi merenung tajam wajah isterinya. Dia cukup kenal dengan sikap isterinya yang tak mahu kalah. Pasti ada saja caranya untuk mendapat apa yang diingininya.
“ Saya buat apa?”
“ Bukannya saya tak kenal awak. Apa yang awak lakukan sampai budak-budak tu larikan diri?”
“ Mana ada….”
“ Salbiah!” Suara Encik Asmadi agak meninggi.
“ Beberapa minggu lepas saya selalu call Lia supaya tinggalkan Kamal. Kalau tidak saya akan buat dia dikeluarkan daripada universiti.”
“ Awak yang mendesak mereka. Sekarang dengan rela hati mereka tinggalkan universiti. Dengan awak sekali Kamal sanggup tinggalkan. Kalau budak-budak tu tak balik petang ni, si Rashdan akan bawa perkara ni ke balai polis. Anak kita akan dituduh melarikan anak orang. Kita akan dapat malu.” Puan Salbiah melabuhkan duduknya. Pening dengan tingkah anak lelaki tunggalnya. Encik Asmadi menjeling seketika dan memanjangkan langkahnya. Menghilang di sebalik ruang dapur.

Deringan telefon yang kedengaran benar-benar mengganggu konsentrasi Encik Asmadi untuk menyiapkan laporan kerjanya. Namun, diangkat juga telefon itu.
“ Asmadi aku Rashdan”
“ Hah kenapa kau telefon aku? mimpi? Kalau kau nak ceramah dan cairkan tahi telinga aku ni baik kau off je. Aku tak ada masa.”
“ Kau dengar dulu apa aku nak cakap.”
“ Penting ke untuk aku dengar. Antara kita aku rasa langsung tak ada apa yang penting untuk dibicarakan.”
“ Asmadi. Anak kita kemalangan. Aku kat hospital sekarang. Kau datanglah sini dengan segera.” Senyum sinis yang lebar di bibir Encik Asmadi terus mati. Tiada lagi suara ejekan yang mampu terkeluar. Gagang telefon dibiarkan sepi. Tangannya seakan tiada daya untuk memegang gagang yang ringan itu.

Kedengaran derapan langkah yang laju mencecah lantai bangunan hospital. Kerisauan yang terpancar di wajah Encik Asmadi dan Puan Salbiah jelas kelihatan. Kakinya terus melangkah mendekati jasad Lia yang lemah di satu sudut dinding. Encik Rashdan menapak beberapa langkah mendekati Encik Asmadi.
“ Lia macam mana dengan Kamal?” Puan Salbiah menuturkan bicara. Cemas. Esakan Lia mendebarkan Puan Salbiah.
“ Apa lagi yang mak cik mahu? Segalanya telah dirampas dari saya. Apa salahnya kalau mak cik restui hubungan kami? kemalangan ini takkan berlaku. Kamal takkan tinggalkan saya.”
“ Apa maksud kau Lia?” Puan Salbiah menggoncang kuat bahu Lia. Dia takut mendengar ayat terakhir yang dituturkan oleh gadis itu. Apakah Kamal telah dirampas daripadanya?
“ Apa yang berlaku Rashdan? Macam mana dengan Kamal?”
“ Bawa bersabar Asmadi. Sebenarnya Kamal meninggal di tempat kejadian.”
“ Tidak!” Lauangan Puan Salbiah kedengaran bingit. Bergema memenuhi ruang bangunan. Badannya lemah tanpa sokongan. Rebah tanpa amaran. Duduknya penuh rasa tanpa dapat menerima kenyataan. Encik Asmadi juga hampir rebah. Kakinya tidak dapat menampung berat badannya. Segalanya lemah. Sokongan Encik Rashdan di lengannya sedikit membantu.

Bacaan yaasin yang kedengaran mengundang lebat air mata Lia. Jasad kamal yang kaku di pembaringan yang dikelilingi oleh sanak saudara membuatkan badannya lemah. Encik Rashdan memeluk kemas bahu anak kesayangan yang memerlukan sokongannya.
“ Kalau kami tak ambil tindakan dengan melarikan diri, semua ini takkan berlaku. Kalau kami tidak terlalu ikutkan hati, Kamal takkan pergi.” Sedu-sedan yang kedengaran semakin jelas. Setitis air mata yang sejak tadi bergenang menitik di pipi Encik Rashdan. Dia sedar yang setiap orang ada silap masing-masing. Mereka terlalu taksub pada hal duniawi sehingga mereka kalah dengan percaturan yang telah diatur untuk mereka. Keinsafan yang terdetik di hati mereka sudah terlambat. Sesuatu yang bernilai telah dirampas.
Puan Salbiah memeluk jasad Kamal yang sudah tidak bersatu dengan rohnya. Hanya sebatang jasad yang kaku. Detikan keinsafan menguasai diri dengan apa salah yang telah diperbuat. Namun, kehilangan Kamal bagaikan rohnya sendiri yang terpisah dari jasad. Perlahan-lahan Puan Salbiah memandang wajah Lia. Seribu penyesalan dilontarkan bersama. Deraian air mata mereka bergabung. kesal dalam ketaajuban yang hanya mereka sendiri fahami.  

NURUL JANNAH BINTI MAT SIDIK
SEKOLAH PENGAJIAN SENI
UNIVERSITI MALAYSIA SABAH


No comments:

Post a Comment