Rindu....
Kian menyentak dada
Tanpa pernah sunyi mengunjung tiba
Sentiasa menerjah dalam kemelut sejuta rasa
Membingitkan jiwa dengan kewujudannya
Menghambat perjuangan yang mahukan dusta
Resah....
Tidak pernah rebah dalam ketaajubannya
Tidak pernah luntur dalam kemelut jiwa
Tidak pernah terbuang dengan dendam sementara
Tidak pernah menghilang dengan kemasan udaranya
Tidak pernah tenggelam dengan karam lautannya
Tidak pernah memahami detakan kezahirannya
Pedih....
Tatkala hati membenci kehadirannya
Tatkala Rindu beraja di nusantara dilema
Tatkala resah mendampir megah dalam keasyikannya
Hati....
Mula menyedari keanehan itu
Mula mengenali erti ketewasan itu
Mula menghampiri rentak kemelut itu
Mula bermesra dengan kepahitan itu
Dan...
Hati mula memberikan nama
Kepada rasa yang meruntun dada
Jiwa menyokong dengan perjalanannya
Lantas menyahut rela menerima
Itulah CINTA
Monday, January 10, 2011
PENGORBANAN
Dulu....
Bersisakan peluh yang menitik
Membasahi menodai lekukan bumi
Langkahan kaki dan kudrat diteruskan
Tanpa pernah melemparkan keluhan
Tanpa pernah mendambakan belas kasihan
Kini....
Peluh itu masih dengan kemegahannya
Tidak pernah mahu mengundur diri
Untuk memberikan simpati
Walau hanya sedetik cuma
Esok....
Peluh itu akan terus menghantui
Tanpa pernah menghilangkan kehadirannya
Hanya kerana setulus rasa kejujuran
Untuk melihat secebis kejayaan
Yang dihadiahkan oleh puteri kesayangan
Pabila....
Keringat yang selautan itu
Menyinggah hebat di benua fikiran
Si anak menyedari erti pengorbanan
Lantas....
Si anak menggenggam azam
Menjadikan kejayaan bebanan cabaran
Yang tidak akan pernah dirinya ditewaskan
Oleh segala rentak yang sumbang
Bersisakan peluh yang menitik
Membasahi menodai lekukan bumi
Langkahan kaki dan kudrat diteruskan
Tanpa pernah melemparkan keluhan
Tanpa pernah mendambakan belas kasihan
Kini....
Peluh itu masih dengan kemegahannya
Tidak pernah mahu mengundur diri
Untuk memberikan simpati
Walau hanya sedetik cuma
Esok....
Peluh itu akan terus menghantui
Tanpa pernah menghilangkan kehadirannya
Hanya kerana setulus rasa kejujuran
Untuk melihat secebis kejayaan
Yang dihadiahkan oleh puteri kesayangan
Pabila....
Keringat yang selautan itu
Menyinggah hebat di benua fikiran
Si anak menyedari erti pengorbanan
Lantas....
Si anak menggenggam azam
Menjadikan kejayaan bebanan cabaran
Yang tidak akan pernah dirinya ditewaskan
Oleh segala rentak yang sumbang
SURATAN ITU
Di ruang itu...
aku menangisi satu kesedihan
menghambat erti sebuah kehilangan
kepahitan yang sisanya kengerian
bertaburan titisan ikhlas kegersangan
Di sudut itu....
aku melontarkan payahnya penderitaan
berpaut pada dahan kedukaan
dalam kekaburan tangisan
Rasa ini....
meletakkan aku dalam kekejaman
menghina aku dalam erti perhubungan
mengalahkan aku dalam kehidupan
memperkecilkan aku dalam kebahagiaan
Di sudut dan ruang itu...
mewujudkan rasa yang bertemankan ketewasan
menggapai jiwa dengan lurah kepincangan
menodai titisan air mata tanpa belas kasihan
kini....
rasa itu milikku lagi....
aku menangisi satu kesedihan
menghambat erti sebuah kehilangan
kepahitan yang sisanya kengerian
bertaburan titisan ikhlas kegersangan
Di sudut itu....
aku melontarkan payahnya penderitaan
berpaut pada dahan kedukaan
dalam kekaburan tangisan
Rasa ini....
meletakkan aku dalam kekejaman
menghina aku dalam erti perhubungan
mengalahkan aku dalam kehidupan
memperkecilkan aku dalam kebahagiaan
Di sudut dan ruang itu...
mewujudkan rasa yang bertemankan ketewasan
menggapai jiwa dengan lurah kepincangan
menodai titisan air mata tanpa belas kasihan
kini....
rasa itu milikku lagi....
Sunday, January 2, 2011
UNIVERSITI MALAYSIA SABAH
Di sini
Langkah kakiku ku atur gagah
Mengenal perjuangan tanpa rasa lelah
Mengharungi onak dan duri tanpa rebah
Untuk ku sematkan kejayaan yang indah
Di sini
Dalam kemelut suasana yang agung
Dalam nafas yang adakalanya tergantung
Dalam hembusan bayu yang menyapa
Dalam perjalanan reality yang teristimewa
Ku kenali universiti kampus ceria
Di sini
Ada keindahan seindah yang terindah
Ada kemerduan nasihat dan madah
Ada keselesaan tanpa rasa gundah
Ada keceriaan tanpa ulitan resah
Di sini
Universiti Malaysia sabah
Perjalananku ku ukir megah
Bukan untuk sebuah kebanggaan
Tetapi kekaguman untuk bakal kejayaan.
UMS
Ku jejakkan kakiku
Ku rasakan kerataan bumimu
Ku hirup kesegaran udaramu
Memberiku kemegahan menggapaimu
UMS
Terdetik indah saat ku taklukimu
Terusik jiwa saat meninggalkan bumiku
Terubat hati saat ku kenali budayamu
Terangan impian saat ku selamu perjuanganku
UMS
Rasa sayang bersemi kini buatmu
Kerana cintaku sudah menjengah langkahku
Budaya dan ajaranmu tersentuh dijiwaku
Indah, mesra, suka, duka, terharu
Segalanya tersemi menyentak benakku
UMS
Keranamu langkahku terus maju
Ku harap
Selamanya akan begitu….
TITIPAN CINTA
Dalam dakapan syahdu membelaiku
Ku titipkan setia pada yang Satu
Dalam putaran nasibku
Dalam lambaian takdirku
Ku pasrah anugerah realiti itu
Biarkan waktu teruslah berputar
Mencari langkah tanpa hatiku gentar
keredhaanNya yang ku perlu
agar diriku terus dipandu
mencari sisa jalan hidupku
jasadku layu dalam kesulitan
Kau pandu dengan kebangkitan
Deruan nafas yang ku genggam
Kini karam dengan keasyikan
Ketabahan diri pula kau sematkan
Oh Tuhanku
Hanya padaMu cintaku berpadu
Hanya diriMu kuikhlaskan jiwaku
Berilah ku petunujukMu
Luruskanlah langkahanku
Agar ku temui nikmat yang hakiki…
TITIK-TITIK NODA
Dalam menakluki jalan hati yang mula terbabas
Perjuanganku adakalanya dihempas kalah
Putaran keinsafan yang berputik indah
Pergi dengan kekecewaaan tanpa sempat aku singgah
Leka aku hanyut dalam bayangan kepalsuan
Menambahkan sisa-sisa noda yang berpanjangan
Menyerah pada sesuatu yang bercambah kesulitan
Dalam menyempurnakan setiap bayangan langkahan
Aku yang wujud pada hari semalam
Adalah seseorang yang mempunyai hati
yang berlorongkan kesuraman
sentiasa kalah dengan panggilan dan hasutan
sentiasa tewas dengan godaan syaitan
yang sentiasa membawa diriku dalam lurah keduniaan
tempat yang bersisa dengan kebodohan
sudut yang dihuni dengan kegilaan
aku yang wujud pada hari ini
menemui jalan untuk satu kepulangan
namun masih tidak rela dalam langkahan
walaupun terbentang sinar keinsafan
terlalu banyak aku diberi peluang
terlampau banyak keikhlasan kasih Tuhan
namun aku terus hanyut dalam kebodohan
terlena dan asyik dengan kepuraan
betapa aku seorang insan yang kalah dalam perjuangan
untuk menebus realiti sebuah kehidupan
untuk kehidupan yang berpanjangan
untuk kenikmatan yang Allah janjikan
ya Allah
andai aku mampu menewaskan kepalsuan
andai aku mampu memartabatkan keagungan
andai aku mampu menyuarakan semua rasa yang terbeban
andai aku mampu mengejarMu penuh kerelaan
pasti aku saat ini seorang yang terlalu kudus
dalam menempuhi sisa-sia kehidupan
pasti aku saat ini seorang yang terlalu suci
dalam memperlihatkan redha ilahi
saat ini air mata kejujuran menguasai diri
menjatuhkan titisan bersih kurniaan ilahi
membuatkan aku sedar dalam realiti
betapa tangisan itu sebenarnya nikmat yang tidak disedari
aku puas dengan rasa ini
aku menyerah dengan penuh rendah diri
batinku menjerit dengan keinsafan hati
jiwaku menangis dalam ketaajuban nikmat yang diberi
betapa Allah itu maha pemurah
menghalalkan caraku sebelum aku terngadah
betapa aku bersyukur dalam dakapan anugerah
sememangnya nikmat yang diberikan ini indah
TENTANG SATU KISAH
Tentang satu kisah
Aku mula belajar bertatih
Dalam menggapai dunia tanpa rasa letih
Beriramakan pengorbanan ibu tanpa jerih
Akhirnya aku berdiri dengan semangat yang gigih
Tentang satu kisah
Dunia semakin ku kenali
Dengan sokongan udara dan denyut nadi
Erti persahabatan mula ku selami
Namun adakalanya keikhlasanku dikejami
Tentang satu kisah
Kematangan mendewasakan perjalanan
Namun ada cerita yang sakit dan memeritkan
Tapi ku tenang meniti onak dugaan
Bangkit dari sebuah kegagalan
Tentang satu kisah
Ku temui sesuatu yang membahagiakan
Senyuman terukir di wajah usang insan kesayangan
Perjuanganku menerbitkan sebuah kehidupan
Tentang satu kisah
Pengorbanan yang sesuci salju
Mewujudkan erti yang seindah irama dan lagu
Wajah usang orang tuaku menghembuskan restu
Mengiringi perjuangan dalam setiap gerak langkahku
SENTUHAN NURANI
Deruan angin yang ku hirup kala ini
Membuatkan bercambahnya rasa bangga di hati orang tuaku
Meletakkan diriku diantara orang yang mampu untuk dihargai
Memberikan kemenangan kepada perjuanganku
Menderukan nafas yang senang untuk aku ketawa dan bercerita
Tentang diriku yang kini menjadi kebanggaan
Untuk aku kekalkan senyuman
Di wajah usang yang sering aku rindu
Deruan angin yang ku hirup kala ini
Pernah menerbitkan air jernih di wajah itu
Yang membuatkan aku bangga dengan diriku
Dengan setiap apa yang berlaku
Membuatkan hati ini terus maju
Agar aku terus disini
Meneruskan sesuatu yang berguna untuk masa depan
Deruan angin yang ku hirup kala ini
Membuatkan aku terbang jauh di angkasa
Membawa aku ke suatu tempat yang amat berguna
Yang meletakkan aku teratas
Di antara insan lain yang turut sama disayangi
Oleh wajah usang itu….
Deruan angin yang ku hirup kala ini
Ku gapai satu impian
Untuk meneraju satu teras kejayaan
Menempatkan diriku di menara gading
Universiti Malaysia sabah
Ku gapaimu indah penuh kesyukuran…..
SATU RASA
Terdengar derap langkah yang menyentak lamunanku
Terdengar suara bergema yang menyedarkan diriku
Terdengar usikan kawan yang menjengah telingaku
Terdengar keceriaan yang menghuni dewan itu
Tersedar aku dari mimpi ku angankan
Memberikan aku satu kebahagiaan
Meletakkan diriku di antara beribu insan
Satu kerusi yang tersedia milikku berpanjangan
Satu anganan yang melempiaskan kewarasan
Satu realiti yang memberikan sinar harapan
Satu perjuangan yang sejati kuteruskan
Bersama cahaya yang tulus berlimpahan
Universiti yang menjadi lambang kemanisan langkahan
Meletakkan diri ini bernafas dalam impian
Universiti Malaysia sabah
Meletakkan diriku dalam senyuman…
RETAK
Dalam kepayahan hembusan nafas
Ada hati yang semakin tercalar
Dalam kerinduan dakapan bayu
Ada parah yang sentiasa bersisa
Mengapa hati mengkhianati diri
Menusuk gagah menikam naluri
Ada keretakan yang semakin menghampiri
Dalam terciptanya kenakalan realiti
Mana tempat untuk ku hamburkan madah
Mana ruang untuk ku lakarkan resah
Mana sudut untuk ku tempiaskan gundah
Mana jurang untuk ku lemparkan panah
Hubungan itu mula mengkhianatiku
Membebankan segala keperitan
Duilit dengan keresahan yang memenjarakan
Dalam dodoian indah yang memenatkan
Andai retak itu mampu ku perbaiki
Andai retak itu mampu ku halangi
Andai retak itu mampu ku nodai
Andai retak itu mampu ku galasi
Pasti deritanya takkan setinggi awan
Pasti kesakitannya takkan sedalam lautan
Saturday, January 1, 2011
PENGEMBARA ILMU
Ada waktu….
Senyuman terukir kala penantian sementara
Kaki diangkat mendaki setiap binaan tangga
Mata galak menjemput suka
Labuhan duduk terbangkit selesa
Ada ketika….
Derapan langkah diatur lemah
Deruan nafas mengundang mengah
Debaran dada mekar bercambah
Denyutan nadi berganda terserlah
Realiti….
Akan satu perjalanan insani
Menghiasi hari bergelar mahasiswi
Perjalanan singkat andai pengangkutan dimiliki
Pemandangan luas andai kaki sebagai ganti
Pengembara ilmu…
Gelaran diri sepanjang hari
Dalam memperhebatkan kehidupan kala nanti
Kabus perjuangan sentiasa menyinggahi
Mengukuhkan azam mengejar seadanya duniawi
NILAI SEBUAH ILMU
Betapa
Tingginya nilai sebuah ilmu
Terkapai-kapai dalam kebanggaan
Bagi mereka yang berjaya menggapainya
Beroleh kesejahteraan dan keseronokan
Betapa
Ilmu itu satu anugerah
Lahirnya dari yang maha kuasa
Memberikan rasa yang indah
Dalam pemikiran yang seindah rasa
Betapa
Menjadi kebanggaan pada wajah usang
Kerana kejayaan si anak yang mengangkat kehidupan
Bertunjangkan ilmu dan keilmuan
Memberi tempat dalam pelayaran keduniaan
Betapa
Pemimpin itu mampu bermegah
Pendidik itu mampu berbangga
Dengan ilmu yang pesat di dada
Iklasnya berbakti untuk anak bangsa
Tanpa meminta balasan yang istimewa
Betapa
Lancar lidah untuk bersuara
Laju bibir untuk berbicara
Tenang hati untuk bermula
Andai ilmu itu tetap di dada
Tanpa wujudnya resah di jiwa
Betapa
Ilmu itu tingginya yang teristimewa
Tanpa ada yang mampu untuk menghalangnya
Sememangnya ilmu untuk penghuni dunia
Yang mampu berfikir untuk kewarasan jiwa
MALAM
malam...
dalam kedinginan dipeluk deruan anginmu
terbuai keindahan seakan mimpi yang membelaiku
menghirup kedamaian dalam kenikmatan kegelapanmu
membawa aku karam dengan kemanisan angananku
malam...
menghayatimu tidak pernah menjemukan rasa yang indah
kesunyianmu diisi dengan sinaran bulan yang memancar gagah
berhambatan insan menjemputmu dengan megah
bisikan hatiku jua menggapaimu tanpa gundah
malam...
semarak kerdipan bintang di angkasa
menerbitkan kebahagiaan di hati pencinta
realiti yang tak pernah lelah berganti masa
seisi alam tersenyum menepis hampa
malam...
keindahan maha pencipta
tidak terjangkau makhluk hebat dunia
seindah yang terindah terlebar di angkasa
mengubat kepenatan seluruh samudera...
dalam kedinginan dipeluk deruan anginmu
terbuai keindahan seakan mimpi yang membelaiku
menghirup kedamaian dalam kenikmatan kegelapanmu
membawa aku karam dengan kemanisan angananku
malam...
menghayatimu tidak pernah menjemukan rasa yang indah
kesunyianmu diisi dengan sinaran bulan yang memancar gagah
berhambatan insan menjemputmu dengan megah
bisikan hatiku jua menggapaimu tanpa gundah
malam...
semarak kerdipan bintang di angkasa
menerbitkan kebahagiaan di hati pencinta
realiti yang tak pernah lelah berganti masa
seisi alam tersenyum menepis hampa
malam...
keindahan maha pencipta
tidak terjangkau makhluk hebat dunia
seindah yang terindah terlebar di angkasa
mengubat kepenatan seluruh samudera...
KISAH SEMALAM DAN HARAPAN ESOK
Semalam….
Aku benci menempuhi waktu yang berlalu
Aku sakit dengan kepahitan yang aku tak restu
Aku menangis dengan derita yang menyinggahiku
Aku terdera dengan kenyataan yang membebankanku
Hari ini….
Aku cuba untuk mencari sinar keredhaanMu
Aku cuba menjadi yang terbaik sebagai hambaMu
Aku cuba menentang tempias kemarahan terhadap dugaanMu
Aku cuba memperindahkan hatiku dengan mengingatiMu
Esok….
Mungkin sinar akan menyelubungiku
Mungkin ketenangan akan mendakapku
Mungkin kecintaanMu akan menyerap hatiku
Mungkin senyuman akan kembali menyentuh bibirku
Mungkin segalanya akan menjadi cabang restuMu
Mungkin….
Aku mengharapkan itu
Terakam terus di sudut sanubariku
Aku mahukan itu
Untuk selamanya….
KETENANGAN SEBUAH SENJA
Di lembayung senja yang sering membuatkan aku termenung
Sekali lagi menyapa aku untuk terus begitu
Kuhadapkan pandangan ke arah sesuatu
Sesuatu yang mampu menyenangkanku
Kuhirup udara itu
Ku mencari di setiap penjuru
Aku memang terlalu mahukannya
Tapi…
Kenapa begitu sukar untuk aku menjemputnya
Langsung tiada walaupun secalit cuma
Aku begitu merinduinya
Aku mahukan apa yang mampu membuatkan aku tenang
Setenang kedamaian senja itu
Aku mahukannya…
Dihadapan laut yang bertentangan dengan mataku
Aku rindukan ketenagan itu lagi
Seperti pantai merindukan ombak laut
Seperti hujung laut yang merindukan senja itu
Seperti diriku yang kadangkala membuat aku bahagia
Datanglah padaku…
Ku mahukan rasa itu
Agar aku bisa sentiasa karam
Dan terus terkubur di dalam kebahagiaan
Yang setiap hati dan jiwa mahukan.
KEINDAHAN YANG BERSULAMKAN KESAKITAN
Saat dia mula menjengah hatiku
Terbit kerinduan tanpa disedari
Tatkala rindu mula membara
Menyimpul kasih menyulam cinta
Lautan yang luas kita selami bersama
Kita baja bersama menanam cinta
Agar pucuk dan bunganya mekar selama-lama
Dalam keikhlasan menyemai ikatan kasih
Kita saling mengerti dan sentiasa berdamba
Atas ikatan suci yang dibina di lantai abadi
Menyemai bersama menilai ikatan cinta
Bersatu menghambur sejernih udara yang dihirup
Dalam menggapai untaian rindu
Terus membajai tanpa pernah berdusta
Seindah ikatan yang terindah
Untuk ketulusan dalam mendamba keduniaan
Namun….
Aku mula termimpikan kisah duka
Kisah kesakitan hati yang aku alami
Saat dia mula menjauh
Aku dirundum resah dan rindu
Bila hatiku teringat akan dirinya
Ada rindu yang kutemui
Dulu, kini dan mungkin selamanya
Aku belajar bagaimana untuk mencintai
Aku mula mengenali erti kesakitan
Aku mula merasai erti kerinduan
Aku mula menghayati erti keindahan
Aku mula mendalami erti kepiluan
Aku mula menjiwai erti kekecewaan
Kesemua rasa itu penuh dengan keserabutan
Keserabutan yang kian menghantui jiwaku
Menyebabkan diriku tidak tenteram
Mampu mewujudkan kekacauan jiwaku
Duka kian menimpa diriku
Yang ku rasakan tiada hentinya
Sampai bilakah harus dibiarkan perasaan menguasai diriku??
Adakah kerana aku serba kekurangan
Atau aku sekadar teman persimpangan
Yang hadir bila diperlukan
Dan pergi bila dibuang
Saat ini….
Tiada lagi rasa kesakitan
Segalanya sudah penuh dengan kehancuran
Mengapa dia tidak pernah mengerti
Menyelami hati yang serba kerdil ini….
Sampai bilakah aku harus bertatih
Dengan pelabuhan kelumatan perasaan
Yang penuh dengan sisa-sisa kesakitan….
KALA KAU BERDUKA
Kala kau berduka
Semua bahagia menghilang lara
Semua taat menjadi derhaka
Semua emosi dendam beraja
Semua minit bergerak menyiksa
Kala kau berduka
Tiada senyuman yang mampu tersisa
Tiada puncak menuju bahagia
Tiada seorangpun yang menyapa
Tiada satu pun yang indah di mata
Kala kau berduka
Setiap orang seakan mengejami dunia
Setiap detik menjadi milik air mata
Setiap perkara dalam keasyikan dusta
Kala kau berduka
Itulah saat membuatkan kau sedar
Tiada apa yang perlu dikejar
Kala kau berduka
Itulah waktu membuat kau berkata
Betapa selama ini kau terleka
Dalam mencari kasih sang pencipta
ILMU
Ilmu
Dalam bayangan ku menggapaimu
Dalam lamunan ku mengangankanmu
Dalam bisikan bayu ku seru namamu
Dalam suasana keinsafan ku kejar dirimu
Ilmu
Berbekalkan pengorbanan orang tuaku
Bertunjangkan kesedaran memeluk dakapanmu
Beriramakan jerih wajah usang yang menyayangiku
Bernafaskan kesyahduan kepayahan mengejarmu
Bernadikan kudrat setiap denyut jantungku
Aku bersujud memohon mendekatimu
Ilmu
Dari ku bertatih aku belajar mengenalmu
Tak pernah engkau cuba berlari dariku
Hanya nafsu yang menewaskan diriku
Adakalanya membelai dan melalaikanku
Sehingga aku leka dalam perjalanan menuju ke jalanmu
Ilmu
Kau bertamu di segenap ketika
Kau dodoikan belaian mesra
Kau sambut lapang lorong jiwa
Kau tak pernah jemu mendidik anak bangsa
Ilmu
Kau kukuhkan martabat kebanggaan
Kau satukan jiwa yang berpeleseran
Kau tamatkan isu yang melibatkan perbalahan
Kau agungkan seseorang yang dalam kepayahan
Kau sedekahkan dirimu untuk masa depan
Kau jernihkan segalanya untuk satu kehidupan
HARI INI
Hari ini
Dalam jerat dunia yang bertopengkan dusta
Ramai yang tewas dalam mengejar harta
Ilmu di dada dibuang tanpa curiga
Rasa keinsafan entah menghilang ke mana
Hari ini
Dalam kemelut dunia yang berbisa
Ramai yang rebah dalam mengharap cinta
Ilmu yang terisi bagaikan tidak bermakna apa-apa
Kematian diseiringkan dengan rasa kecewa
Hari ini
Dalam suasana dunia yang beriramakan keindahan
Ramai yang kalah dalam kehidupan
Ilmu yang dituntut dilempar tanpa pendirian
Alam rumahtangga dinikmati tanpa ikatan
Hari ini
Dalam ketinggian menggapai ilmu
Manusia tetap tewas
Manusia tetap rebah
Manusia tetap kalah
Tanpa mengenal erti kehidupan
Untuk kesejahteraan akhirat yang berpanjangan.
ESOK MASIH ADA
semalam...
langkahan kaki dalam lenguhan
hati tuntuh dengan kepiluan
jiwa dihiasi dengan deraan
pasrah penerimaan dalam keterpaksaan
hari ini....
masa diisi zarah dugaan
berhambatan lagi ledakan tangisan
rebahan merajai tanpa kebangkitan
lena disambut dengan penderitaan
esok....
mungkin kesakitan diubati Tuhan
mungkin dugaan diracuni harapan
mungkin tangisan dipeluk senyuman
mungkin penderitaan disulami keindahan
apa yang pasti....
esok masih ada
ERTI SECEBIS ILMU
Dulu
Ilmu yang bergema hanya A B C
Lafaz yang lahir hanya sekadar ucapan
Deraian air mata tidak mematangkan
Namun ilmu telah disebarkan
Kini
Merebaknya ilmu di dada
Menjerumus diriku ke kancah istimewa
Guru sebagai pembimbing setia
Memotivasikan diri tanpa curiga
Ilmu
Meraihkan jawapan kepada persoalan
Menciptakan seni yang mampu diagung-agungkan
Menarik berbagai kisah untuk diberi penghargaan
Melakarkan senyuman dalam keindahan
Ilmu
Bermula dengan sebuah buku
Bernaung di akal melakarkan sesuatu
Mengelokkan pandangan masyarakat yang maju
Membawa kebanggaan di hati penaung ilmu
Melayakkan mereka berbangga kerana sentuhanmu
Menyalakan lampu kehidupan dengan ajaranmu
Ku percaya
Selagi dunia terus berengsot mencari penghujungnya
Kau akan terus berpijak di hati setiap ketika
Akan terus berlabuh untuk memberi jasa
Kepada seluruh penghuni yang bernama manusia
DIRI, KAMU DAN TUHAN
Diri…
Seorang insan yang mahukan sokongan
Keteguhan dalam memartabatkan kehidupan
Berpegang pada kasih dan sayang tanpa kehampaan
Dalam merempuhi segala ranjau keduniaan
Kamu…
Satu harapan yang mampu ku angankan
Dalam dakapan senyuman yang penuh kerinduan
Dalam keindahan nafas yang penuh kedamaian
Dalam kematangan hidup yang penuh percaturan
Tuhan…
Tiada perkataan yang akan mencapai keagunganMu
Tiada pertalian yang akan melebihi keizinanMu
Tiada percintaan yang akan melebihi kecintaanMu
Tiada perdebatan yang akan melebihi keesaanMu
Dunia…
Kehidupan adakalanya ternoda dalam realiti
Kepahitan adakalanya panahan kehidupan sementara ini
Aku dan kamu wujud dalam perhubungan duniawi
Adakalanya terlupa Tuhan wujud untuk akhirat yang hakiki
Diri, kamu dan Tuhan…
Diri… sememangnya insan yang lemah seadanya
Kamu…mampu hilang dalam sesaat cuma
Tuhan…tidak pernah curang dalam ketaajubanNya
Apa yang pasti…
Dicintai jasad yang bernyawa takkan untuk selamanya
Dicintai kesucian cinta yang esa tidak untuk sementara
DIA
Kata-kata yang selalu berkiaskan sindiran
Senyuman yang selalu menunjukkan keperibadian
Pandangan mata yang penuh dengan pengamatan
Langkahan kaki yang seringkali menampakkan kematangan
Dia….
Tuturnya manja dengan semangat kewibawaan
Madahnya membakar dalam kiasan
Kiasan yang selalu mengindahkan pendengaran
Melebarkan senyuman di bibir insan
Dia…
Jiwa seninya mekar tanpa berkesudahan
Tidak ternoda dengan sifat kemegahan
Menerbitkan berbagai jenis sentuhan kekaguman
Di hati kami yang mendamba pelajaran
Dia….
Selayaknya diangkat penuh kebanggaan
Seharusnya dikagumi penuh kecintaan
Sejujurnya dikenali penuh keamatan
Sematangnya didalami penuh penghargaan
Di saat….
Pendengaranku mencecah dengungan suaranya
Terbit kekaguman dengan bahasa kiasannya
Jiwaku indah dengan mesra ucapan madahnya
Hatiku tersenyum dengan lagak dan caranya
Ku sedar….
Insan itu punya kekuatan
Diri itu ada keistimewaan
Sehingga mampu menerbitkan kekaguman
Hatiku meletakkannya teratas dengan kerelaan
AKU
Aku
Hidup berlandaskan jurang kekuatan dan kelemahan
Bertunjangkan pelbagai rasa menempuhi kehidupan
Beriramakan ketenangan akan ku hamburkan perasaan
Mungkin inilah bermulanya satu permulaan
Sememangnya hidup ini melampaui keburukan
Di sini….
Ku selami diri yang serba kerdil
Ku luahkan sikap dan sifat yang jahil
Selalu tewas dengan sifat kemarahan
Sentiasa karam dengan hentaman kemalasan
Sememangnya manja dengan belaian rajukan
Sejujurnya kalah dengan laungan teguran
Di sini….
Di lubuk hati dan sanubari
Amukan perasaan selalu membuak
Keburukan yang kadangkala membuat ramai yang cuak
Lemas dengan keegoan yang selalu merebak
Aku…
Ingin diri adanya sifat yang mahukan kesempurnaan
Namun kesempurnaan itu puncanya raja keburukan
Malas, pemarah, tidak suka ditegur, sifat keegoan
Cukup sempurna menyerikan kehidupan
Kehidupan yang menampakkan sifat keduniaan
Aku…
Itulah aku sebenarnya
Yang sentiasa terbeban dengan kesenangan
Yang selalu sumbang di pandangan
Sesat dalam lurah keduniaan
Hanyut dengan sifat kepura-puraan.
AKU, IBU DAN ILMU
Aku
Dalam dakapan rindu
Dalam belaian syahdu
Dalam iringan restumu
Dalam pengorbanan jasadmu
Dalam keringat lelahmu
Kau manjakan aku dengan ilmu
Ibu
Kau tak pernah jemu dalam hembusan nafasmu
Kau sentiasa perjuangkan perjalananku
Kau dodoikan usiaku dengan ilmu
Kau selimutkan diriku dengan restumu
Ilmu
Dirimu ku cari tanpa jemu
Langkahan kaki tak pernah berhenti tanpamu
Dari seawal usia hingga ke saat ini
Kau sentiasa setia menemani
Aku, ibu dan ilmu
Mencipta kenangan dalam perjalananku
Segalanya menusuk di kamar memori
Dalam melalui rasa kehidupan yang seketika abadi
AKU DAN DIRINYA
Ku pandang matanya
Matanya membalas bahagia
Ku senyum padanya
Bibirnya membalas mesra
Ku dekat dengannya
Dirinya membalas manja
Ku hayati setiap tingkahnya
Tiada apa yang tidak menyenangiku
Ku turuti setiap langkahannya
Tiada apa yang sumbang di pandanganku
Ku dengari setiap tutur katanya
Tiada apa yang tidak mendebarkan hatiku
Ku soroti setiap apa tindakannya
Tiada apa yang tidak melebarkan senyumanku
Ku melagukan irama manja untuknya
Senyuman indah yang dilemparkan untukku
Ku lafazkan rasa sayang padanya
Perasaan terbeban seakan menghuni hati itu
Ku fikirkan rasa ini berkali-kali
Apakah salahku kerana mencintai
Ku renungkan perasaan ini beribu kali
Apakah salahku kerana menyayangi
Ku titipkan kebenaran perasaan ini berjuta kali
Apakah dosaku kerana mengasihi
Ku selami hakikat yang terbuku ini
Tiada ku temui jawapan yang pasti
Ku dalami kenyataan yang terbeban ini
Tiada ku temui rasa yang menyenangi
Keresahan kerinduan kesyahduan
Keasyikan kepayahan kebisingan
Bersatu dalam realiti hatiku
Yang entah bila akan surut
Yang entah bila akan berlabuh
Yang entah bila akan tenang
Yang entah bila akan karam
Yang entah bila akan berteman
Atau….
Berkemungkinan yang segalanya takkan berkesudahan…
NURUL JANNAH BINTI MAT SIDIK
TAHUN 1 SENI KREATIF
SEKOLAH PENGAJIAN SENI
UNIVERSITI MALAYSIA SABAH
TITIPAN KEINSAFAN
Firdaus memandang jauh. Pandangan itu seakan menembusi dinding yang terbina di hadapannya. Semakin jauh dan semakin jauh. Wajah layunya saat ini, mata kuyunya kala ini mampu meretakkan dinding simen itu. kepalanya ligat memutarkan kembali memori tentang satu realiti yang hukumannya menyeksakan. Dada yang bidang itu mengundang sebak. Membekam kuat di pangkal hatinya yang bersalut dengan kesakitan. Kesakitan dalaman dan luaran. Mata kuyu itu pula mula bertukar warna. Dari cahaya yang putih bersih menjadi merah. Menjemput mesra titisan air mata menuruni lekuk pipi yang kini dinodai oleh kepalsuan duniawi. Pandangannya kabur dek air jernih yang semakin menyesakkan nafasnya. Disatukan kedua-dua kelopak mata. Menggamit air jernih itu semakin laju menyembah bumi. Kegelapan pandangannya kini menampakkan satu persatu apa salah yang telah diperbuat. Kenangan terimbau lagi. Seperti hari kelmarin yang sentiasa menjengah dirinya. Setelah puas kesakitan itu berlabuh, panahan realiti itu akan pergi meninggalkannya dengan senyuman. Seakan gembira dengan apa yang dilalui oleh anak muda itu. Perginya hanya sementara kerana hari-hari kelmarin, kesakitan itu sentiasa menemani. Tidak terlepas juga untuk hari esok. Akalnya pasti.
Suasana yang sesak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menampakkan susuk tubuh Firdaus yang berusaha melepaskan diri dari kesesakan itu. bagasinya ditarik menuju pintu keluar. 15 minit yang lalu pesawat dari Mesir yang membawa dirinya selamat mendarat. Pandangannya dilontarkan ke kiri dan kanan. Mencari keluarganya. Tepukan lembut di bahunya dari bahagian belakang mengundang anak muda itu untuk memalingkan wajah. Wajah itu terus tersenyum apabila wajah usang kedua-dua orang tuanya memandangnya mesra. Senyumannya semakin marak apabila terpandang kawan-kawan dan bakal isterinya turut sama berada di situ. Entah bagaimana dia terlepas pandang tadi. Pelukan dihadiahkan untuk orang tua dan kawan-kawannya yang muhrim.
“ Tahniah ustaz. Lepas ni tanggungjawab kau untuk pastikan anak bangsa kita takkan terbabas dari landasan ilahi. Itu perjuangan kau. Jangan sia-siakan apa yang kau dapat selama ini. Bantu anak bangsa kita untuk sentiasa membawa bekalan ke akhirat kelak.” Karim menoktahkan kata-kata itu dengan mengeratkan pelukannya sekali lagi di badan Firdaus.
“ Kau ni ada-ada je la. Kita semua sama jer. Tak de beza pun. Apa yang aku dapat sekarang ni rezeki daripada Allah.” Firdaus memperdengarkan ayat untuk indah di pendengaran semua.
“ Mak harap kau akan sentiasa ingat anugerah Allah ini. Mak hantar kau belajar di Mesir supaya kau takkan terpesong. Semoga lepas ni kau akan bantu semua insan yang lalai. Mak doakan kau.” Firdaus sekali lagi memeluk mesra ibunya. Dulu perginya ke Mesir dengan iringan doa yang tidak pernah pudar dari bibir kedua-dua orang tuanya. Untuk sentiasa memberinya kesedaran agar sentiasa berjalan lurus menuju pintu ilahi. Kini pulangnya seakan selangkah ke depan apabila dia pulang dengan gelaran baru di pangkal namanya. Ustaz.
“ Woi! Orang macam kau ni tak layak untuk bagi ceramah depan semua orang. Kau patut ceramah diri kau sendiri. Belajar je tinggi-tinggi tapi…..”
“ Encik jangan nak buat kecoh kat sini. Ini tempat untuk penyebaran ilmu akhirat.” Kata-kata lelaki yang tidak dikenali itu dipotong. Pegawai keselamatan yang bertindak pantas itu terus menyeret lelaki yang tidak dikenali itu keluar dewan.
“ Ustaz kenal ke dengan lelaki tu? Apa yang dia cakap tadi? Ada masalah ker?”
“ Saya tak kenal lelaki tu. Entah apa yang dia cakap pun saya tak tahu. Itu baru saya nampak muka dia. Selama ini rasanya tak pernah jumpa lagi. Tak apalah ustaz. Mungkin salah orang tu.” Firdaus menepuk bahu kawan yang turut sama dijemput oleh ahli jawatankuasa dewan bagi menyampaikan ceramah pada petang itu.
Setelah menghabiskan sesi ceramahnya pada petang itu, Firdaus melangkah gagah ke arah kereta yang diparkir elok di kawasan yang disediakan. Namun dia mengeluh saat kakinya menyentuh simen yang setapak menghampiri tayar keretanya. Keluhannya sedikit kasar. Tayar keretanya pancit. Entah bagaimana tayar itu pancit dia sendiri tidak mahu memikirkannya. Alasannya mudah. Mungkin kerana terkena paku atau sesuatu yang tajam sehingga mampu mencacatkan tiub keretanya. Namun dahinya berkerut apabila terpandang sekeping kertas yang diselitkan di celahan bahagian depan keretanya. Diambil kertas itu dan dibuka perlahan-lahan. Dibaca satu persatu apa yang tertera.
“ Ini amaran untuk kau kali yang pertama. Kau dah sesatkan aku. Aku takkan lepaskan kau. Kau akan dapat balasan yang setimpal dengan apa yang kau lakukan. Aku takkan pernah maafkan kau untuk seumur hidup ni. Mungkin sekarang kau masih boleh bersenang lenang. Tapi aku akan pastikan langkahan kaki kau akan menuju ke tempat yang selayaknya untuk kau selepas ini. Kau jadikan aku mangsa. Dan aku juga akan lakukan perkara yang sama pada kau. Jangan sekali-kali fikir yang kau akan terlepas. Untuk hukuman dunia dan juga akhirat.”
Firdaus melipat kembali kertas yang tertera nota daripada insan yang tidak meninggalkan nama itu. Otaknya ligat berpusing. Memikirkan apa salah yang telah diperbuat kepada lelaki itu. Namun tidak lama. Hanya sesaat cuma. Mungkin hanya sekadar ugutan yang tidak akan memberikan kesan yang berpanjangan. Fikirnya lagi. Terus dibuka kot yang tersarung kemas di badannya. Diletakkan di dalam kereta. Selepas itu langkahnya menuju ke bonet kereta untuk mencari tayar ganti yang tersedia. Dia perlu melakukan kerja itu seorang diri. Hatinya berbelah bagi. Melemparkan rungutan seketika. Kemudian tidak melayani perasaan itu. malas untuk bersangka buruk bahawa tayar keretanya pancit kerana dikhianati walaupun sudah jelas dengan apa yang dibaca di dalam kertas yang ditinggalkan untuknya.
Setelah memperdengarkan ceramah yang dirasakan hebat di pendengaran semua yang hadir, Firdaus melemparkan senyuman untuk tepukan gemuruh yang diterimanya. salam tangan yang dihulurkan disambut mesra apabila pandangannya terpaut pada rakan ulama di sebelahnya. Mengucapkan tahniah. Ceramah yang disampaikan dengan penuh kepandaian dan diisi dengan keilmuan yang memberikan kekaguman. Tiada apa yang kurang dan sumbang dirasakannya. Melihat kepuasan di wajah hadirin yang hadir seakan memberikan kemenangan di hatinya. Dirinya diangkat sebagai ustaz muda yang dikagumi kerana mampu memberikan kesan terhadap setiap ceramah yang diperdengarkannya. Kadangkala memberikan keinsafan terhadap insan yang terbabas dan diselaputi dengan kepalsuan duniawi. Ramai yang mengangkatnya untuk dijadikan sebagai satu ikon yang mampu untuk memperjuangkan anak bangsa dalam memartabatkan jalan keduniaan yang setepatnya.
Ketukan yang bertalu-talu di pintu hadapan rumah menghilangkan kesabaran Firdaus. Dipandang wajah Kamarul di hadapannya. Seorang anak murid yang kini dalam kesusahan. Firdaus memandang wajah itu yang ketakutan. Diunjukkan telunjuknya sebagai amaran untuk lelaki itu mengetahui batasnya. Firdaus bangun apabila lelaki itu memberikan persetujuan. Setelah mempersiapkan diri, langkah kaki menuju ke pintu utama dilakukan. Saat matanya tepat memandang wajah mereka yang berdiri di luar rumahnya, wajah Firdaus bertukar warna. Debaran mula menghuni hatinya. Namun dia berusaha untuk tenang dan cuba mewaraskan kembali situasi yang berada di hadapannya sekarang.
“ Ustaz Firdaus. Kami daripada Jais. Kami mendapat maklumat bahawa di rumah ini ada berlaku perbuatan maksiat. Boleh kami masuk?” Firdaus menelan liurnya berkali-kali. Manik-manik peluh mula menghiasi dahinya. Sedaya-upaya dia cuba bertenang. Diperhatikan setiap mata tetamu yang tak diundang. Kesemuanya memandang dirinya dari atas ke bawah. Memandang yang dirinya tidak lengkap berpakaian. Hanya dibaluti dengan sehelai tuala.
“ Mungkin kamu semua sudah salah faham. Takkanlah orang seperti saya akan lakukan apa yang kamu fikir. Saya orang yang dihormati. Untuk itu, saya harapkan kerjasama dari pihak encik untuk turut melakukan perkara yang sama. Saya orang yang dikenali. Bukan sahaja pada pendidikan saya. Tetapi juga dengan kerja saya sebagai seorang penceramah agama.”
“ Kami hanya menjalankan tugas kami. Ustaz juga takkan terlepas dari hukum seandainya maklumat yang kami terima tidak salah. Tolong berikan kerjasama. Dan jika sebaliknya yang kami dapat, kami terpaksa melakukan kekasaran. Bukan untuk kurang ajar dan bersikap tidak menghormati. Tetapi untuk membetulkan apa yang salah seandainya benar ada yang perlu diperbetulkan.”
“ Kamu tak boleh buat saya macam ni.”
“ Kalau Ustaz betul. Apa yang Ustaz khuatirkan?”
“ Kamu bukan tetamu saya dan saya tak mahu berlaku apa-apa yang tidak menyenangkan berlaku di sini.”
“ Buktikan kami kalau kami salah.” Setelah diungkap kata-kata itu, badan Firdaus yang menghalangi pintu dirempuh sedikit kasar. Tanpa sebarang amaran, Firdaus hanya mampu kaku saat rumahnya diceroboh.
“ Memang kamu semua tak salah.” Semua mata yang ada memandang ke arah lontaran suara itu. Kamarul perlahan-lahan melabuhkan duduknya di atas sofa di ruang tamu. Dirinya dibaluti selimut.
“ Saya telah dikejami dengan cara yang tidak sepatutnya ada pada diri seorang Ustaz. Saya telah dikhianati hanya kerana keikhlasan saya untuk mendapatkan ilmu. Saya telah diugut untuk bersubahat dengan lelaki jijik yang selama ini menjadi kemuliaan di sisi semua orang. Lelaki itu tidak layak mendapat apa yang dirinya ada sekarang. Dia tidak layak untuk mendapat tempat di sisi masyarakat. Walaupun hanya sebagai seorang yang hina. Kerana dirinya lebih jijik daripada itu.” Ada titisan air mata yang menuruni pipi lelaki yang bernama Kamarul.
“ Boleh terangkan dengan lebih jelas tentang apa sebenarnya yang berlaku?” Salah seorang lelaki yang berkopiah putih itu mengutarakan soalan untuk sebuah jawapan.
“ Saya telah diliwat. Dan pelakunya adalah lelaki yang kononnya dihormati oleh semua orang itu.” Jari telunjuk diangkat dan dituding tepat ke arah Ustaz Firdaus yang selama ini dikagumi. Firdaus memejamkan matanya. Dia terperangkap kini. Gelap pandangannya yang terpejam itu seakan gelap yang akan menyinari harinya pada hari esok. Debaran hatinya terundang lagi. Kali ini lama untuk surut. Kakinya seakan tidak mempunyai kekuatan untuk menampung badannya. Segalanya lembik. Terduduk dalam keresahan dan ketakutan yang kian menghuni jiwanya.
Firdaus memicit kepalanya yang dirasakan pening. Pening dengan apa yang sedang melanda hidupnya. Dirasakan nafasnya sesak. Ketukan di pintu yang kedengaran sedikit mambuatnya tersentak apabila mata yang layu itu mahu sahaja terlelap. Digagahkan kakinya untuk menuju destinasi.
Pintu dibuka dan pandangannya kian kabur apabila dilihat dua orang tetamu yang berpakaian seragam. Bersama seorang lelaki yang seakan pernah dilihatnya sebelum ini. Ya! Lelaki itu yang pernah membuat kecoh semasa penyampaian ceramahnya satu masa dulu. Apa lagi musibah yang bakal berlaku padanya kali ini?
“ Kenapa Encik?”
“ Kami mempunyai waran tangkap terhadap Ustaz.”
“ Waran tangkap?”
“ Ya! Untuk semua jenayah yang telah Ustaz lakukan. Kami mempunyai laporan daripada mangsa yang telah dikhianati oleh Ustaz. Banyak laporan yang kononnya menjadi mangsa liwat Ustaz.”
“ Mungkin kau dah lupakan aku. Tetapi aku takkan pernah lupakan kau. Perbuatan kau untuk membawa aku ke jalan yang terpesong dengan menjebakkan diri aku ke dalam kancah hubungan sonsang takkan pernah aku lupakan.” Lelaki yang tidak dikenali itu memperdengarkan apa yang terbuku di hatinya selama ini. Untuk kali ini, tanpa sebarang amaran, lelaki yang dikenali sebagai Ustaz itu tersungkur ke lantai. Rebah menyembah bumi. Pandangannya gelap.
“Firdaus kamu ada pelawat.” Suara kasar pegawai penjara yang menegurnya itu membawa kembali lelaki itu ke alam realiti. Juraian air mata yang menghiasi wajahnya disapu dengan belakang tangan. Ruangan keinsafan yang mengisi lubuk hatinya kini membawa dirinya kembali ke pangkal jalan ilahi. Sudah enam bulan dirinya berada di dalam ruang yang bertiraikan besi itu. Buat pertama kalinya dirinya mmempunyai pelawat.
“ Siapa?” pertanyaan itu hanya dibiarkan sepi. Langkahan kakinya dibawa menuju tempat pelawat.
“ Mak” deraian air mata yang laju membawa dirinya untuk memeluk tubuh yang selama ini tidak pernah curang dengan kasihnya. Dilihat di sisi wanita tua itu berdiri seorang wanita yang dulu dikenali sebagai bakal isterinya.
“ Maafkan saya mak. Saya terpesong dan kalah dengan percaturan ilahi. Saya sedar sekarang mak. Selama ini saya gunakan agama untuk mendapat kemewahan. Saya minta duit dengan orang ramai. Saya banyak berdosa dengan semua orang.”
“ Baguslah kalau kau sudah insaf. Mak tak harapkan anak mak melakukan kesalahan yang sebegini berat. Selama ini mak percaya yang ada orang yang menggunakan agama untuk kepentingan di dunia akhir zaman ini. Tapi mak tak sangka langsung yang anak mak yang mak tatang selama ini curang dengan keberkatan ilahi. Mak doakan kau nak. Mak ampunkan segala salah silap kau. Mak mahukan anak mak yang mak kenali dulu. Bukan Ustaz Firdaus yang diagung-agungkan. Mak hanya nak anak mak. Mak akan sentiasa sokong kau. Mak Cuma harap kau kembali. Maafkan mak kerana bersikap tidak peduli selama enam bulan kamu menjalani nasib di sini.”
Deraian air mata yang menghuni wajah ketiga-tiga insan yang berada di situ turut memberikan tempias kepada pegawai penjara yang menemani langkahan Firdaus sebentar tadi.
“ Keinsafan yang saya dapat sekarang mungkin adalah bekal untuk saya menuju akhirat. Saya takkan terpesong lagi kali ini mak. insyaAllah. Nurul, maafkan semua salah dan silap saya. Seandainya saya bukan yang terbaik untuk Nurul, bawalah langkahan kaki Nurul untuk mencari kebahagiaan yang jauh lebih baik daripada apa yang saya boleh berikan. Saya redha dengan semua yang ditakdirkan olehNya”
“ InsyaAllah apa yang ditunjukkan ilahi di dunia yang nyata ini akan memperlihatkan peribadi yang seeloknya untuk kita di akhirat nanti. Selagi saya berdaya untuk menghadapi semua kerumitan, selagi itu kasih saya takkan tumpah untuk seseorang yang lain. insyaAllah.”
Kata-kata yang singgah di telinganya itu seakan memberikan satu lagi kenikmatan yang perlu disedari. Cinta ilahi tidak pernah mengkhianatinya. Cinta kekasih hatinya tidak pernah dirampas oleh percaturan takdir. Semoga cinta itu akan menjadi bekalannya jua untuk ke akhirat kelak. InsyaAllah.
Sahabat pena;
NURUL JANNAH BINTI MAT SIDIK
SEKOLAH PENGAJIAN SENI (PENULISAN)
UNIVERSITI MALAYSIA SABAH
Subscribe to:
Posts (Atom)