Saturday, January 1, 2011

SEBUAH KISAH TENTANG CINTA

Khalid melemparkan senyumannya kepada semua anak-anak mata yang memandangnya. Pandangan mata yang berganda dihadapannya itu juga memandangnya dengan senyuman yang penuh erti. Dirinya kini berada di hadapan hampir seribu orang anak-anak muda yang merupakan pelajar sekolah menengah. Seminggu yang lepas, dia mendapat jemputan daripada sekolah tersebut untuk menyampaikan sesi motivasi pagi yang telah menjadi aktiviti mingguan di sekolah tersebut. Kerana jemputan itulah dirinya berada di atas pentas kini. Berhadapan dengan sebahagian kecil generasi muda. Setelah menghembuskan nafasnya untuk seketika, kakinya melangkah mengambil alat pembesar suara yang tersedia. Dia tidak mengehadkan langkahannya apabila mengambil alat pembesar suara itu dan mengatur langkahnya dengan bersahaja. Berjalan mendekati pelajar-pelajar sekolah yang membuat satu kelompok yang agak besar di hadapannya.
            “ Ayuh kita biarkan sesi motivasi kita pada pagi ini berada dalam keadaan santai.” Para pelajar menyahutnya sebagai persetujuan.
            “ Saya mendapat jemputan lebih kurang seminggu yang lepas untuk menyampaikan ceramah pada pagi ini. Tentu adik-adik semua akan lebih bergembira dengan tajuk yang akan saya motivasikan pada pagi ini. Cinta.” Kedengaran suara-suara yang agak bising sebagai respon untuk tajuk yang diberikan.  Sebahagian besar dari mereka bersetuju dengan tajuk yang akan dimotivasikan. Khalid semakin melebarkan senyumannya apabila mendapat respon yang sebegitu. Sememangnya anak-anak muda pada hari ini akan merasa terhibur apabila perkataan cinta dijadikan isu.
            “ Cerita ini tidaklah menarik. Hanya sekadar diperdengarkan untuk mengisi ruang jiwa adik-adik untuk lebih mengenali erti cinta. Mungkin. Saya tidaklah pandai untuk menyusun kata yang terbaik untuk meraih perhatian kalian semua, namun, saya cuba untuk menjadikan kisah ini sebagai satu kisah yang sebati dan terlakar indah di hati kalian semua.”. Khalid melarikan pandangannya ke arah setiap sudut. Ditarik nafasnya untuk seketika dan dihembuskan perlahan.
            “ Ada satu kisah. Dengarlah!”. Semua mata yang ada kini tertumpu jelas ke arah jasadnya.
            “ Pada satu pagi yang amat dingin, seorang insan yang tidak dibaluti dengan Seurat  benang pun di badannya terkial-kial dalam melihat apa yang ada di sekelilingnya. Dengan tangan dan kaki yang tidak berdaya, dengan tenaga yang tidak berupaya, dengan kesejukan pagi yang amat menyiksa, insan itu hanya mampu menangis. Mencari simpati seseorang insan lain yang begitu mulia yang sanggup membantunya. Tangisan suaranya semakin dikuatkan apabila tiada yang mendekat untuk menjengahnya. Mata yang separuh terbuka membantunya melihat persekitaran yang dirasakan ganjil. Bau yang tidak menyenangkan yang menusuk ke hidungnya semakin membuatkan insan itu terseksa.”
            “ Laungan dari insan itu terus bergema memecahkan suasana pagi yang kini kejam dengan dirinya. Seakan membekukan dirinya dalam dakapan pagi yang amat mengghairahkan. Titis-titis embun pagi memberinya penyiksaan yang berganda. Simpati terus diminta. Jeritan zahir dan batinnya semakin memecahkan kesunyian. Dengan tiba-tiba terdengar derapan langkah seakan menghampiri dirinya. Terdengar di telinganya satu ucapan yang indah. Ucapan pada yang maha esa. Ucapan yang membuatkan insan yang menemui dirinya itu terperanjat. Dirinya diangkat. Digendong dan ditenangkan. Akhirnya suara tangisan insan itu semakin kecil. Lama kelamaan, terus senyap. Merasakan dirinya selamat dalam dakapan insan mulia yang sanggup mendakap dirinya.”
            “ Tahun demi tahun berlalu. Pada satu petang yang hampir melabuhkan senjanya, insan tadi termenung di serambi rumah. Matanya merah. Badannya lemah. Insan itu baru sahaja menangisi tentang sesuatu kisah yang terngiang-ngiang di telinganya. Dirinya menjadi bahan ejekan kawan-kawan yang dijumpai di sekolah. Banyak persoalan yang bermain di akal kecilnya. Dan persoalan terbesar, apakah patut disuarakan segala persoalan kepada kedua ibu bapanya? Sisa-sisa air jernih yang terbit dari kelopak matanya terus setia menemani. Tanpa menyedari akan kehadiran si ibu yang berada di belakangnya. Sentuhan penuh kelembutan si ibu di bahunya menyedarkannya agar kembali ke alam realiti. Segera disapu titisan air jernih yang sejak tadi menuruni lekuk pipinya.”
            “ Namun, si ibu bukanlah seseorang yang tidak memahami. Cuba dicungkil rahsia yang mampu membuatkan anak lelakinya itu dilanda kesedihan. Namun, ketulusan hati si anak yang menimbangkan segala pengorbanan si ibu tidak mampu untuk menyuarakan kebenaran. Semua kasih sayang yang dicurahkan untuknya tidak akan dikejami hanya dengan persoalannya nanti. Tidak sekali-kali. Tekadnya. Namun, si ibu terus memujuk. Lalu si anak berkata.”
“ ‘ Saya takut seandainya kata-kata saya nanti akan membuatkan saya derhaka dengan ibu. Saya tak mahu lakukan sesuatu yang seperti itu. Saya tak mahu mengecewakan ibu walaupun dengan sepatah perkataan yang akan terkeluar dari bibir saya.’ Si ibu membalasnya.”
“ ‘ kasih sayang yang terbina antara kita takkan pernah membuat ibu kecewa dengan apa yang akan kamu perkatakan. Seandainya ibu masih juga terasa, hanya untuk saat ini. Ibu janji, yang segalanya akan bermula dan berakhir di sini. Cakaplah! Ibu takkan pernah salahkan kamu.’ Mendengarkan jawapan itu, si anak memeluk ibunya erat. Lidahnya masih kaku dengan keyakinan yang diberikan ibunya. Patutkah disuarakan rasa itu? pujukan seorang ibu akhirnya mengalahkan kekerasan hati seorang anak. Perlahan-lahan anak itu cuba menyusun katanya.”
            “ ‘ Maafkan saya jika apa yang bakal saya tanyakan akan mencalari sekeping hati ibu.’ Si ibu mengangguk sambil tersenyum. Dibawa anaknya itu ke dalam lautan dakapan kasihnya.
‘Tanyalah!’ Ungkap si ibu apabila menyedari akan kegagapan yang ada di bibir anak tunggalnya itu.”
            “ Si anak memejamkan matanya untuk seketika. Perbuatan yang agak matang bagi insan yang berumur belasan tahun sepertinya. Ditelan liurnya yang dirasakan pahit.
‘ Kawan-kawan sekolah selalu mengejek saya. Mereka mengatakan yang saya tak sempurna. Tidak seperti kanak-kanak lain yang lahir dari rahim ibu.’ Debaran di dada si ibu memuncak.
‘ Betulkah saya anak pungut ibu?’ untuk kali ini seakan renjatan elektrik yang memanah hati si ibu.
‘ Siapa yang cakap macam tu? Kamu anak ibu.’ ”
“ ‘ Saya akan selamanya menjadi anak ibu jika itu yang ditakdirkan ilahi. Saya hanya memerlukan kebenaran untuk soalan itu. Ampunkan saya jika saya menghancurkan hati ibu.’ Dada si ibu sebak. Putaran nafas yang tidak seimbang sejak tadi tidak dapat ditahan. Akhirnya memburaikan titisan jernih dari tubir matanya.”
“ ‘ Baiklah. Izinkan ibu untuk mengukir kembali kebenaran sebagai jawapan untuk persoalan itu. Lima belas tahun yang lalu, di pagi yang hening, Sewaktu ibu pulang dari kerja, ibu terdengar tangisan bayi. Ibu mendekat dan ibu nampak kamu sedang kesejukan. Ditingalkan tanpa Seurat benang pun membaluti tubuh kamu. Dengan tali pusat yang masih tidak tertanggal, dengan kesan tompokan darah yang masih bersisa, kamu dibiarkan kesejukan. Pantas ibu angkat dan memeluk kamu memberikan sedikit kehangatan. Kamu selesa. Ibu mengucapkan syukur pada yang esa kerana mengizinkan ibu menemui kamu. Seandai ibu terlewat, atau ibu terlepas dari mendengar tangisan itu, ibu tak mahu memikirkan apa yang akan berlaku. Ibu menangis melihat bayi secantik kamu dibiarkan sebegitu. Ibu ambil dan menyerahkan kamu kepada yang berhak untuk diberi perlindungan. Tapi tidak lama, ibu tidak dapat melelapkan mata akibat teringatkan kamu. Ibu menguruskan segalanya untuk menjadikan kamu anak ibu. Ibu lakukan segala yang halal di sisi kerajaan. Ibu dan ayah janji yang kami takkan pernah sia-siakan kamu. Kasih dan cinta kami dibalas dengan kejujuran hati kamu. Ketulusan sikap kamu. Betapa ibu amat bersyukur dengan kurniaan ilahi kerana mendapat insan sebaik kamu.’ Si anak tersenyum pahit. Kebenaran itu semakin menyesakkan dadanya.”
“ ‘ Boleh saya tahu di mana saya ditemui?’ Si ibu terdiam seketika. Memejamkan matanya. Titisan air mata semakin laju menuruni pipinya.
‘ Di tempat pembuangan sampah.’ Si anak tersedu. Betapa kelahirannya di dunia ini tidak dihargai oleh insan yang mengusungnya ke sana ke mari di dalam rahimnya selama Sembilan bulan.”
“ ‘ Maafkan saya ibu. Izinkan saya untuk menanyakan soalan yang terakhir.’ Si ibu mengangguk dengan dadanya yang masih sebak.
‘ Pernahkah ibu bertemu pandangan dengan insan yang membawa saya ke dunia ini?’ Untuk kali ini juga, si ibu mengangguk.”
“ ‘ Pernah. Selepas tiga minggu ibu menemui kamu, ibu kandungmu ditahan. Ibu berjumpanya untuk meminta keizinan supaya ibu dapat menggantikan tempatnya. Ibu mahukan kamu menjadi seperti anak kandung ibu. Maafkan ibu. Ibu bukan tamak. Cuma, ibu mahu kamu menjadi insan yang sempurna. Sama seperti kawan-kawan kamu katakan. Lengkap sebagai sebuah keluarga. Mempunyai ibu dan ayah. Ibu bertanyakan alasan kenapa kamu tidak diterima selepas dilahirkan. Jawapannya kerana dia masih tidak bersedia. Menjalani usia keremajaan membuatkan jiwanya tewas dengan cinta. Cinta yang bersatu di antara dua hati yang mewujudkan kamu.’ Si anak meneruskan sendunya tanpa kerelaan. Ia hadir tanpa dapat dikawal.”

Situasi yang menghiasi tapak perhimpunan sekolah bertukar menjadi sayu. Sunyi keadaannya. Ada hati insan yang tersentuh dengan apa yang didengari. Menghamburkan air mata dengan kerelaan. Khalid menarik nafasnya sedalam mungkin.
“ Itulah kisah cinta yang saya mahu ceritakan. Seandainya ditanya pendapat kalian, apakah pandangan kalian tentang erti cinta? Adakah dengan membuktikan rasa cinta sesama manusia. Melakukan sesuatu yang hina sehingga menerbitkan benih di dalam rahim dan Sembilan bulan kemudian, membuang benih itu di tempat yang jijik? Atau adakah seperti kasih si ibu terhadap anaknya dalam kisah tadi? Mana satu yang memberikan erti cinta di hati kalian? Fikir-fikirkanlah.” Semua yang mendengar terdiam. Tiada balasan jawapan.
“Kisah si anak dan si ibu tidak berakhir di situ. Si anak menanyakan soalan yang benar-benar terakhir. Si anak memandang sayu ibunya sambil berkata.
‘ Kerana itukah saya tidak di bin kan dengan nama ayah? Kerana itukah nama saya Khalid bin Abdullah?’ ”
“Si ibu mengangguk dalam kesedihan yang teramat.”
Kata-kata terakhir pakar motivasi itu membuatkan semua yang ada terkaku. Terpempan dengan kenyataan yang baru terkeluar dari bibir itu yang menembusi alat pembesar suara. Untuk kali ini, insan yang turut sama mendengar motivasi pada pagi itu menerbitkan titisan air jernih dari kolam mata. Tidak terkecuali guru yang menjadi pendidik di sekolah itu.
“ Itulah kenyataannya. Itulah diri saya. Seorang anak yang dibuang kerana cinta. Cinta yang diagung-agungkan sehingga tidak menyedari akan hadirnya syaitan di antara mereka. Renunglah kisah ini. Sebuah cerita yang kebenarannya pahit untuk ditelan. Hargailah cinta. Pilihlah jalan yang betul agar cinta itu menghalalkan cara. Semoga kalian dilindungi oleh yang maha esa. InsyaAllah.” Khalid membuat langkahannya menuju ke pentas. Memalingkan wajah dari pandangan generasi muda. Seketika kemudian, mengangkat belakang tangannya untuk menyentuh kelopak matanya yang mula bergenang.  

NURUL JANNAH BINTI MAT SIDIK
SEKOLAH PENGAJIAN SENI(PENULISAN KREATIF)
UNIVERSITI MALAYSIA SABAH
    

No comments:

Post a Comment