Saturday, January 1, 2011

MENCINTAI SATU NAMA TANPA WAJAH

Amir menyapu air jernih yang berada di hujung dagunya. Hampir menitik menemui lantai tempatnya berdiri. Dia memandang di kejauhan. Melihat alam ciptaan ilahi yang terbentang di hadapan mata. Hatinya saat ini dipenuhi dengan duka. Perasaan itu merajai segala emosi yang ada di dalam dirinya. Kesedihannya jelas. Memorinya dengan sendiri mengimbau kembali tentang kisah seseorang yang sangat bermakna dalam jangkau hayatnya yang dikecapi selama ini.
           
            “ Daniel, maaf seandainya aku berbicara tentang apa yang kau tidak senang.” Kawan yang diberi gelaran Daniel itu tergelak. Suasana kafeteria yang sedia kalut semakin bising dengan gelaknya yang berbaur sinis.
            “ Cakap je lah apa yang kau nak cakap. Macam lah kau tak biasa dengan aku. Kita dah berkawan lama. Sejak setahun yang lepas, pertama kali aku menjejakkan kaki ke universiti ini, kau lah orang pertama yang menghulurkan salam persahabatan pada aku. Aneh sekiranya aku tidak senang dengan perbicaraan kau. Itu bukan diri aku yang kau kenal.”
            “ Aku senang dengan peribadi kau. Terlalu baik pada pandangan aku.”
            “ Apa yang kau nak cakapkan sebenarnya?”
            “ Setiap manusia akan ada kepercayaannya yang tersendiri. Dan aku yakin yang kau juga tidak terkecuali.”
            “ Maksud kau?” Amir menarik nafasnya dalam. Seakan meraih kekuatan untuk memperdebatkan tentang apa yang bergolak di hatinya kini. Bukan sahaja pada masa ini tetapi sejak pertama kali mengetahui tentang kebenaran lelaki yang menjadi sahabat baiknya yang sedang memandang tepat wajahnya pada saat ini.
            “ Aku…” Percakapannya terhenti. Seakan ada sesuatu yang menyekat katanya di kerongkong.
            “ Kau cakap je lah Mir. Entah apa yang kau nak segan sangat. Aku bukannya akan marah kau tak tentu sebab.”
            “ Bukan kemarahan kau yang aku takutkan. Aku cuma risaukan hati kau tersentuh dengan apa yang bakal aku perkatakan.”
            “ Aku yakin tak. Cakaplah!” Amir meneguk air minuman yang terisi di dalam gelas di hadapannya. Disedut air itu melepasi anak tekaknya.
            “ Kau percaya dengan cinta?”
            “ Cinta?”
            “ Cinta yang meluas. Bukan cinta sesama manusia. Tetapi cinta yang dirasakan oleh seorang hamba.”
            “ Cinta itu?” Amir menganggukkan wajahnya.
            “ Ada ke cinta seperti itu?”
            “ Dalam hidup ni kan Daniel. Secara logiknya, kita wujud kerana adanya yang mencipta. Dan…” percakapan itu terhenti. Bibir Daniel mengeluarkan bicara.
            “ Aku faham apa yang kau nak sampaikan. Aku tidak percaya kepada apa yang aku tidak dapat lihat. Seperti agama kau. Aku tidak bersetuju dengan ‘sesuatu’ yang kamu sembah. Kamu tidak dapat melihatnya. Untuk siapa kamu memperlakukan sedemikian?”
            “ Allah itu wujud Daniel.”
            “ Hati aku tidak merelakan untuk aku membuat seperti apa yang kamu semua lakukan. Aku sendiri sebenarnya hairan dengan semua orang di dunia ini yang menganggap apa yang mereka sembah itu sangat agung. Aku tidak nampak di mana nikmatnya apabila kamu melakukan semua itu.” Amir memejamkan matanya seketika. Berisghtifar di dalam hati. Memuji kebesaran Allah. Berdoa supaya dirinya sentiasa berdiri di landasan yang betul.
            “ Beginilah. Semenjak aku mengenali kau, banyak kebaikan yang aku dapat lihat yang kau buat. Setiap perbuatan kau kadangkala amat menyentuh hati aku. Untuk apa kau lakukan semua itu?”
            “ Aku merasa senang dengan apa yang aku lakukan. Hanya itu. tidak mempunyai kaitan dengan kepercayaan aku.”
            “ Hati kau tidak terbit rasa cinta kepada setiap kebaikan yang kau lakukan?” Amir membetulkan duduknya. Dia perlu melakukan sesuatu yang dirasakan murni di hatinya. Bukan untuk melakukan sebarang paksaan atau apa-apa yang memberikan maksud yang seerti dengannya. Hanya untuk memperdengarkan tentang apa yang terkaram di sudut hati kecilnya.
            “ Ikhlas lah aku cakap. Hati aku terkesan dengan semua tu. Hati aku lembut. Menjadi tenang. Rasa cinta itu wujud. Tetapi kepada apa? Atau siapa?”
            “ Kita diberikan akal untuk mempertimbangkan setiap perkara. Apa yang menerbitkan rasa cinta di hati kau itu adalah apa yang sebenarnya kau perlu selami.”
            “ Kau nak beritahu aku yang agama islam yang kau pegang itu benar kan? Kalaulah ia benar, di mana Allah yang kamu sembah itu? Kenapa tidak pernah dia muncul untuk menunjukkan wajahnya? Memang kita diberikan akal. Dengan akal jugalah aku berfikir untuk melihat ke dalam hatiku tentang apa yang setiap orang di dunia ini percayai. Tetapi, hati aku tidak dapat menerima cinta yang wujud di hati aku ini adalah datang dari apa yang kamu semua percaya. Pada aku, sesuatu yang tidak berwajah bukanlah sesuatu yang berhak untuk aku percaya.”
            “ Astagfirullahalazim.” Bibir Amir diperhalusi dengan sebutan perkataan yang suci itu.
            “ Sudahlah Mir. Aku tahu apa yang aku perlu tahu. Aku senang dengan apa yang aku ada sekarang. Aku lebih senang dengan kehidupan yang tidak terikat dengan apa-apa agama. Ayuhlah! Habiskan makanan kau. Bilik kuliah sedang menunggu.” Amir memandang wajah temannya itu dengan pandangan yang penuh kelembutan. Penuh ketenangan. Dilemparkan senyuman sebagai tanda tidak membantah apa yang diperkatakan oleh Daniel.
            ‘ Tak apalah! Masih banyak masa.’ Kata-kata itu diluahkan Amir kepada dirinya sendiri. Perlahan melepasi bibirnya dan terus tertanam kukuh di hati kudusnya.

            Laluan di bandar yang penuh sesak turut menyesakkan nafas Amir dan Daniel. Perjalanan mereka kadangkala terbatas dengan susuk tubuh manusia yang turut sama mencari destinasi mereka dalam suasana bandar yang bercelaru. Keadaan yang sebegitu mendesak mereka untuk mengasingkan diri agar melalui jalan yang agak jauh. Mereka meredah jalanraya untuk menuju ke arah ruangan pejalan kaki di seberang lebuhraya.
            Amir melajukan langkahnya agar perjalanan mereka dapat diseiringkan dengan perjalanan masa yang tidak terbuang. Seketika kemudian langkahannya terhenti apabila menyedari akan Daniel yang tidak berada di sebelahnya. Dicari susuk jasad kawannya itu dalam lautan manusia. Sesaat kemudian, jasad itu menerpa pandangan matanya. Dihampiri dengan gerak langkah yang diseiringkan dengan senyuman.
            Daniel memasukkan not sepuluh ringgit ke dalam balang yang dipegang oleh seorang pengemis tua. Dijabat tangan yang tidak berdaya itu dan ditepuk perlahan-lahan belakang badan yang mengjangkau usia lewat warga emas itu. Setelah itu, dicium tangan yang menampakkan kuku yang serba kehitaman. Tidak memberikan kejijikan di hati Daniel. Sungguh memberikan kekaguman kepada Amir yang sedang memandang situasi yang berlaku di hadapannya.
            “ Di dalam dunia ini, perjalanan anak akan menjadi indah kerana mengasihi pengemis sejijik pak cik. Percayalah, di dunia ini dan di akhirat nanti, cinta yang maha mencintai akan selamanya untuk insan seperti anak.”
            “ Perjalanan saya sudah terlalu indah dengan apa yang terdaya yang dapat saya berikan pada pak cik.”
            “ Anak punya hati yang sangat mulia. Allah itu sememangnya maha berkuasa. Ikutilah jalanNya.”
            “ Allah?” Daniel mengungkapkan nama itu. Sesaat kemudian, dia melebarkan senyum tanpa sebarang perasaan. Memberikan ayat yang terakhir sebelum kakinya melangkah sejajar dengan Amir. Mencari kembali destinasi yang tertangguh.
            Hati Amir sejuk dengan sikap temannya yang tidak pernah merasa terbuai dengan kejijikan manusia lain. Sungguh indah sikap itu. Amir memalingkan wajahnya untuk menghadiahkan senyuman kepada insan lemah yang mendapat rasa cinta daripada Daniel seketika tadi. Malangnya senyumannya tidak menemui insan yang layak. Jasad pengemis tua tadi telah menghilang. Amir hanya mengangkat bahunya sebagai tanda tidak mahu mengambil kisah tentang apa yang dilihat oleh pandangan matanya.

            Deringan telefon yang tidak berhenti sejak tadi akhirnya senyap apabila Amir menekapkan telefon bimbit itu ke telinganya.
            “ Maaf Daniel. Aku solat tadi. Kenapa? Apa yang mustahak sangat sampai waktu subuh macam ni kau telefon aku?” Namun situasi gurauan yang cuba ditimbulkan oleh Amir tidak menjadi apabila Amir menyedari akan esakan yang berada di hujung talian.
            “ Kenapa dengan kau Daniel?”
            “ Kau datang bilik aku sekarang Mir. Aku perlukan pertolongan kau.” Sebaknya jelas kedengaran.
            “ Okey!okey! aku datang sekarang.” Serentak itu dimatikan panggilan dan kakinya terus mencari pintu keluar dari bilik asrama yang dihuninya. Destinasi dicari menuju kediaman Daniel.

            “ Apa yang berlaku Daniel?”
            “ Aku mimpi Mir. Aku mimpi yang aku berjumpa dengan pak cik yang kita beri sedekah seminggu yang lepas. Kau masih ingat pak cik tu?”
            “ Ya! Aku ingat. Apa yang kau mimpi?”
            “ Aku mimpi dia tunjukkan aku jalan kebenaran. Jalan yang selama ini aku cari. Wajahnya terlalu bersih Mir. Pakaiannya tidak ternoda oleh apa pun. Terlalu bersih.” Tubir mata Daniel kembali menjemput air jernih untuk menuruni lekuk wajahnya.
            “ Apa yang dia beritahu kau? Jalan apa yang dia tunjukkan.”
            “ Dia menceritakan pada aku tentang kejadian yang menjadikan semua apa yang ada di dunia ini. Dia menceritakan bagaimana semasa aku berada di dalam rahim ibu aku, bagaimana roh dihembuskan ke jasad aku dan bagaimana perjanjian yang telah aku lakukan dengan pencipta.”
“ Dia berikan semua alasan yang logik dan mematahkan semua kekerasan yang ada pada diri aku selama ini. Dia membuatkan aku tewas dengan satu kuasa. Katanya jalan kebenaran yang aku inginkan selama ini sentiasa ada. Jalan itu menuju satu destinasi yang amat membahagiakan. Jalan itu menuju ke arah satu tempat yang adanya segala kebenaran. Katanya, setiap apa yang telah berlaku,sedang berlaku dan bakal berlaku adalah kerana satu kuasa dari yang paling berhak. Namanya Allah.”
            “ Subhanallah!” Kata-kata yang terlahir itu turut sama melahirkan air jernih dari kelopak mata Amir. Terharu dan bersyukur dengan apa yang dianugerahkan kepada kawannya itu. Diambil tubuh itu dan dipeluknya kemas.

            Amir memanjatkan doa kesyukuran apabila dia dan Daniel memijak tangga surau untuk mengerjakan solat. Seminggu yang lalu, dia menjadi saksi pengucapan dua kalimah syahadah yang dilafazkan oleh bibir Daniel. Seminggu yang lalu juga nama Daniel telah digantikan kepada Daniel Haikal bin Abdullah. Panggilan untuknya sekarang masih sama. Cuma dirinya sekarang mempunyai satu tunggak yang dipegang dengan sepenuh kepercayaan.
Daniel menjelaskan kepada Amir bahawa dia terkilan kerana tidak menyedari akan hikmah itu sejak lama dahulu. Selama dua puluh dua tahun dirinya hidup tanpa agama. Betapa sekarang dia bersyukur kerana mendapat nikmat yang  indah kerana mencintai satu nama yang tidak ada wajah. Yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar sekalian makhluk. Dirinya begitu bersyukur kerana dikurniakan hidayah yang agung untuk dipersembahkan kepada yang berhak.
Amir terlalu gembira dengan perubahan kawannya yang tidak pernah mensia-siakan hidayah yang diterimanya. Sama seperti hari-hari yang lepas sejak seminggu yang lalu, mereka pasti akan menjenguk surau lima kali sehari. Sama juga seperti hari ini yang mereka mulakan dengan melakukan solat subuh.
           
Amir menyudahkan solatnya dengan memanjatkan kesyukuran kepada yang Maha Esa. Dipandang Daniel yang sedang melakukan sujud. Amir tersenyum menumpang kegembiraan dan kebahagiaan kawan yang kini seagama dengannya itu.
Hampir memasuki minit yang ketiga, Daniel masih di dalam sujudnya. Terlihat jelas darah merah yang seakan terkumpul di bahagian dahi. Amir menelan liur. Nafasnya mula berombak. Dipanggil nama Daniel beberapa kali. Tiada sahutan. Amir memberanikan dirinya menyentuh jasad Daniel. Badan itu panas. Disentuh sedikit kuat. Badan yang sedang sujud itu rebah. Amir menggelengkan kepalanya menidakkan apa yang sedang berlaku di hadapannya.
“Daniel.” Nama itu diulanginya tanpa jemu. Digagahkan dirinya untuk merasai nadi insan itu. Tiada denyutan. Surau yang sunyi bergema dengan tangisan Amir. Beberapa orang yang turut berada di dalam surau terpaku dengan apa yang berlaku. Cuba ditenangkan Amir yang mula hanyut dengan percaturan takdir. Pelukan yang kuat diberikan kepada jasad yang telah kaku.
“ Innalillahiwainnalillahirojiun”. Amir mengucapkan kalimah itu dengan tangisan yang mula dikendurkan. Dicium wajah yang telah kembali kepada pencipta. Disedekahkan al-fatihah dengan bibirnya menyentuh telinga jasad kaku Daniel.

Amir bersandar pada dinding tempatnya berdiri. Ingatannya kembali menemui alam realiti. Air matanya masih bersisa. Disapunya dengan belakang tangan. Dipandang alam indah yang terbentang. Pandangannya kabur dengan air mata. Mulutnya dibuka perlahan-lahan. Membaca satu persatu ayat di dalam surah al-fatihah. Menyedekahkan kepada kawannya yang telah dijemput oleh Yang Esa.

Bicara Malam,
Nurul jannah binti mat sidik
Universiti Malaysia Sabah
12 november 2010
2.15am 

No comments:

Post a Comment